▪️Ṣurah Al-Fātiḥah merupakan surah pembuka kepada Al-Quran dan ia juga merupakan antara surah yang teragung. Padanya terdapat penekanan dan penjelasan terhadap beberapa perkara asas dalam agama Islam. Antaranya:
- Pujian kepada Allah SWT dan ianya mencangkupi separuh daripada surah ini.
- Keikhlasan dalam beribadat kepada Allah dan permohonan pertolongan hanya daripadanya.
- Penerangan terhadap hakikat petunjuk dan golongan golongan yang terhalang daripada meraihnya.
▪️Tema utama surah ini adalah penjelasan terhadap asas asas agama dan juga cabang cabangnya.
▪️Surah ini bermula dengan penerangan akidah kemudian kedudukan ibadah dan akhirnya penjelasan manhaj hidup seorang Muslim. - Ia bermula dengan menjelaskan akidah iaitu ayat الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ yang mengisyaratkan kepada tauhid ibadah dan tauhid penciptaan. Ayat الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ adalah isyarat kepada tauhid pada nama nama dan juga sifat. Manakala ayat مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ adalah isyarat kepada keimanan kepada hari akhirat. - Seterusnya surah ini menjelaskan kepentingan dan kedudukan ibadah pada ayat إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ. - Kemudian selepas ayat tersebut sehinggalah ke akhirnya surah ini berbicara tentang manhaj yang perlu diikuti oleh seorang Muslim iaitu bermula pada ayat اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ.
▪️Terdapat penekanan terhadap kesatuan umat Islam melalui penggunaan kata kerja jama’(plural) dan bukannya mufrad (singular) iaitu نعبد (kami menyembah) dan نستعين (kami memohon pertolongan).
▪Sepatutnya bagi seseorang yang mendengar atau membaca surah Al-Fātiḥah ini 17 kali sehari semalam untuk menjadi orang yang paling bersungguh menjaga dirinya daripada menyerupai Yahudi dan Nasrani sama ada dari sudut pegangan atau amalan kerana dirinya mengulang-ngulang ayat “Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”
Maka adakah patut selepas daripada membaca ayat ini dia mengikut jalan yang dirinya berlindung dengan Allah daripadanya?
▪️Surah Al-Baqarah adalah surah yang terpanjang di dalam Al-Quran dan pelbagai fadhilat yang sahih telah diriwayatkan tentangnya. Antara tujuan daripada surah ini adalah : - Mendidik hati orang orang yang beriman agar tunduk dan menerima segala perintah Allah dan larangannya walaupun sebanyak mana perintah dan larangan itu. - Peringatan agar tidak menyerupai golongan Yahudi yang telah gagal dalam satu ujian sahaja iaitu kegagalan melaksanakan perintah menyembelih lembu betina. - Manakala para sahabat رضي الله عنهم mereka telah berjaya melaksanakan segala perintah Allah yang telah diturunkan dalam surah ini sehinggalah Allah SWT memuji mereka pada akhir surah ini : آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ (Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman) sehinggalah ke akhir surah.
▪️ Pada permulaan surah Al-Baqarah dijelaskan tentang pendirian tiga golongan manusia iaitu orang beriman, orang kafir dan orang munafiq terhadap perutusan rasul dan wahyu. Disebabkan betapa bahayanya kewujudan mereka ke atas umat Islam dan juga disebabkan tersembunyinya niat dan tujuan mereka, ayat ayat yang seterusnya telah menerangkan secara terperinci sifat sifat orang munafiq dan bahawasanya mereka itu tidak tetap dalam pegangan dan sentiasa berlegar legar di antara golongan orang mu’min dan orang kafir.
▪️Terdapat kisah yang terperinci tentang Nabi Adam dan Hawa عليهما السلام dan kisah pemilihan baginda sebagai khalifah di bumi. Ianya juga merupakan kisah pertama yang disebutkan mengikut tertib mushaf Al-Quran.
Kisah ini merupakan pengenalan awal buat manusia tentang musuh mereka yang paling utama iaitu Iblis, yang mana sejarah permusuhan ini telah bermula semenjak kewujudan manusia yang pertama lagi.
▪️Pada surah ini terdapat kisah Bani Israel iaitu Yahudi secara khusus dan pegangan mereka terhadap Al-Quran dan para rasul secara umum dan pegangan mereka terhadap Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم secara khusus.
▪️Pada surah ini kita membaca juga kisah yang terperinci tentang perintah Allah terhadap bani Israel untuk menyembelih lembu betina.
Pengajaran daripada kisah ini adalah :- - Larangan daripada sikap teragak agak dan ragu ragu dalam menerima dan melaksanakan perintah atau larangan Allah SWT. Bahawasanya perbuatan ini adalah penyebab kepada kerasnya hati. - Sifat orang yang beriman ketika mana mereka diperintahkan Allah dengan sesuatu perkara adalah mereka akan terus tunduk dan menyerah diri kepadaNya. Maka kerana inilah Allah SWT memuji orang orang yang beriman di akhir surah ini.
▪️ Terdapat ayat ayat yang memperincikan jenayah dan penghinaan orang Yahudi terhadap para rasul dan malaikat-malaikatNya yang mulia.
▪️ Perbuatan menghalang zikir kepada Allah di dalam masjid masjid dan usaha untuk merobohkannya adalah daripada jenayah orang orang Nasrani. Maka umat Islam harus berhati hati daripada menyerupai mereka.
▪️Disebutkan juga tentang Al-Masjid Al-Ḥarām, siapakah yang membinanya dan bagaimanakah ia dibina.
▪ Kepemimpinan dalam agama tidak akan dicapai oleh orang yang zalim. قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ (Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.").
▪️ Usaha mendidik anak agar mereka berada dalam kebaikan tidak akan terhenti dan tidak ada penghujungnya bahkan berterusan sehingga ke saat penghembusan nafas yang terakhir. Firman Allah SWT: أَمْ كُنتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِن بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ “(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)".” [2:133]
▪️Pada firman Allah SWT : تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُم مَّا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ “Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.” [2:141] Ayat ini merupakan jawapan balas terhadap mereka yang hanya menyandarkan dirinya kepada keturunan yang baik semata mata sedangkan keturunan yang baik itu tidak akan memberikan manfaat sedikit pun andai tidak disusuli dengan amalan kebaikan.
▪️Fokus juzuk dua adalah dalam memberikan penerangan kepada Umat Islam apakah manhaj dan panduan kehidupan mereka bagi menegakkan tugas sebagai khalifah di muka bumi selepas Bani Israel telah gagal daripada memikul amanah ini.
▪️Pada juzuk ini terdapat penerangan hukum hakam yang berkaitan makanan, jenayah, ibadat puasa, perkahwinan, penceraian, jihad, ibadat haji dan perkara yang berkaitan dengan keluarga. Pada hukum hakam ini terdapat mesej yang jelas bahawa Islam mengambil cakna tentang seluruh urusan kehidupan manusia dan bukan hanya aspek yang tertentu sahaja seperti ibadat.
▪️Fokus surah juga kembali kepada Yahudi iaitu kritikan mereka terhadap perubahan kiblat dan jawapan balas ke atas mereka dan pemberitahuan tentang kelebihan umat ini iaitu mereka adalah sebaik baik umat yang telah diutuskan kepada manusia.
▪️ Bahawa memberikan perhatian terhadap usaha penyucian jiwa adalah lebih utama daripada memberikan perhatian kepada penukaran kiblat walaupun kedua dua perkara ini amatlah penting.
▪️Terdapat pesanan tentang kepentingan bersabar dan cara untuk memperolehinya serta kesannya terhadap seseorang. Kesemuanya ini disebutkan dalam beberapa ayat yang ringkas tetapi padat.
▪️Perbahasan yang tebeberapa perincian tentang puasa dan hukum hakamnya dan juga tujuan di sebalik pensyariatannya juga terdapat dalam juzuk ini. Apa yang menarik adalah hanya pada tempat ini sahaja disebutkan tentang puasa di dalam Al-Quran. Maka renungilah ayat ayat ini dengan sebaik baiknya.
▪️Penjelasan tentang beberapa hukum berkaitan amalan haji yang diperincikan dalam Surah Al-Haj. Di dalam surah ini penekanan adalah lebih kepada aspek amali ibadah haji manakala di dalam Surah Al-Haj ditekankan aspek haji yang berkaitan dengan amalan hati.
▪️Pada juzuk ini terdapat perbahasan yang luas dan terperinci tentang hukum hakam yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti perkahwinan, perceraian dan penyusuan dan hukum hukum ini dikaitkan dengan pengawasan Allah SWT dan sifat sifat ketakwaan.
▪️Penekanan tentang perkaitan antara perkahwinan dengan keimanan terhadap hari akhirat kerana besarnya kesan daripada perkahwinan terhadap kehidupan manusia.
▪️Pada kisah Jalut terdapat pengajaran yang besar tentang kesabaran dan bahawasanya kemenangan ke atas musuh bukanlah dengan jumlah yang ramai.
▪️Pada kisah ini terdapat contoh golongan yang gagal dan berjaya dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan agama.
▪️Golongan yang gagal adalah kerana mereka takut untuk berdepan dengan musuh, mengingkari arahan nabi mereka, melarikan diri dari medan peperangan dan menilai faktor kejayaan dan kegagalan hanya berdasarkan faktor luaran sahaja tanpa mengambil cakna tentang faktor keimanan.
▪️Manakala golongan yang berjaya adalah kerana mereka bersifat berani dalam menghadapi musuh, mematuhi arahan nabi mereka, tingginya tawakkal kepada Allah dan jujurnya mereka dalam melaksanakan perintah.
▪️Pada kisah ini juga terdapat isyarat tentang kepentingan peperangan untuk menjaga manhaj dan prinsip Islam dan mereka yang bersifat penakut dan pengecut tidak layak untuk memikul amanah yang berat ini.
▪️ Terdapat pengajaran kepada pendakwah agar tetap bersabar sehinggalah ke penghujung perjalanan dakwahnya walaupun pada pertengahannya dirinya mungkin akan berhadapan dengan mereka yang berputus asa dengannya.
▪️ Pada ayat sebelum yang terakhir pada juzuk ini terdapat penjelasan tentang sunnah Allah SWT dalam perciptaan. Firman Allah SWT : وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّفَسَدَتِ الْأَرْضُ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ "Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam."
▪️Pada juzuk ini terdapat ayat yang paling agung di dalam Al-Quran iaitu ayat al-kursi. Perhatikan berapa kalikah disebutkan al-asma' al-husna di dalam ayat ini dan renungilah kebesaran dan keagunganNya.
▪️Pada ayat kursi terdapat peringatan bahawa tiada siapa pun yang dapat memberikan syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. Ini menunjukkan kepada kebesaran dan keagungan Allah SWT; bahawa tidak ada makhluk yang berani dan sanggup untuk memberikan syafaat kepada makhluk yang lain tanpa izinNya.
▪️Selepas ayat al-kursi disebutkan bahawa tiada paksaan untuk menganut agama Islam (لا إكراه في الدين) kerana paksaan hanyalah akan berlaku pada perkara yang tidak jelas kebenaran dan kebaikannya. Ada pun agama Islam yang berada di atas jalan yang lurus; tanda tanda kebenarannya amat jelas dan dekat kepada akal dan jiwa seseorang. Seseorang yang benar niatnya dalam mencari kebenaran akan melihat kebenaran Islam dengan sekecil kecil pemerhatian. Manakala orang yang tidak jujur niatnya dalam mencari kebenaran akan cenderung untuk memilih kebatilan dan keburukan. Maka sebab itulah tidak ada keperluan untuk paksaan kerana sesuatu yang dipaksa tidak akan memberikan faedah dan kesan yang baik.
▪️Pada ayat yang seterusnya disifatkan kegelapan dan kesesatan dengan kata ganda iaitu الظلمات (kegelapan kegelapan) manakla cahaya dan kebenaran disifatkan dengan kata tunggal iaitu النور. Ini kerana jalan jalan yang membawa kepada kesesatan amatlah banyak dan tidak terkira manakala jalan yang membawa kepada kebenaran iaitu Islam hanyalah satu.
▪️Selepas daripada ayat kursi terdapat tiga kisah yang memerlukan kepada tadabbur dan renungan iaitu kisah Nabi Ibrahim bersama Raja Namrud, kisah lelaki yang melalui sebuah kampung dan kisah Nabi Ibrahim dan empat ekor burung. Ketiga tiga kisah ini sarat dengan pengajaran yang bermanfaat.
▪️Terdapat larangan terhadap pengungkitan pemberian dan sedekah kerana segala nikmat dan kurnian adalah daripada Allah swt semata mata maka tidaklah layak bagi seorang makhluk mengungkit ngungkit sesuatu yang bukan miliknya. Juga pada pengungkitan sesuatu nikmat terdapat unsur perhambaan terhadap orang lain dan ini hanyalah layak buat Allah SWT sahaja.
▪️Sesiapa yang diberikan oleh Allah SWT hikmah iaitu Al-Quran dan ilmu agama sesungguhnya dia telah dikurniakan nikmat yang paling besar di dunia kerana Allah SWT sifatkan nikmat dunia sebagai متاع الدنيا قليل (perhiasan dunia itu adalah sedikit) manakala Allah SWT sifatkan Al-Quran sebagai خيرا كثيرا (kebaikan yang banyak). Maka sesiapa yang dikurniakan hikmah ini hendaklah mengetahui kemuliaan dirinya dan tidak tertipu kepada perhiasan dunia yang sedikit.
▪️Seterusnya terdapat ayat yang menggalakkan pemberian pinjaman tanpa riba dan bersedekah dan terdapat peringatan bahawa syaitan sentiasa menakutkan manusia dengan kefakiran dan kemiskinan daripada dua amalan ini sedangkan Allah SWT menjanjikan buat hamba hambaNya rezeki yang luas.
▪️Larangan daripada riba dan bahawasanya ianya adalah dosa yang besar dan merupakan pengisytiharan perang terhadap Allah dan RasulNya.
▪️Ayat berkenaan hutang yang merupakan ayat yang terpanjang di dalam Al-Quran pula merupakan isyarat bahawa Islam mengambil berat tentang soal ekonomi.
▪️Allah SWT tidak membebankan hambaNya dengan sesuatu perintah dan larangan kerana pada hakikatnya setiap perintahNya dan laranganNya adalah rahmat buat hamba hambaNya dan perlindungan buat mereka daripada segala keburukan.
▪️Surah Al-Baqarah sebagaimana dimulakan tentang ciri ciri orang beriman; الذين يؤمنون بالغيب .. (mereka yang beriman dengan perkara ghaib ...) juga diakhiri dengan penerangan tentang ciri ciri orang beriman; آمن الرسول بما أنزل إليه من ربه والمؤمنون ... (Rasul telah beriman dengan apa yang diturunkan daripada tuhannya dan orang orang yang beriman). Ini menunjukkan kepada ketinggian dan kepentingan iman dan bahawa ianya adalah permulaan
▪️Juzuk ini bermula dengan menerangkan bahawa seseorang tidak akan mencapai status البر (kebajikan) sehinggalah dia mendermakan sebahagian harta yang dia cintai dan ini adalah antara sebaik baik amal kebajikan.
▪️Seterusnya terdapat ayat yang menjelaskan bahawa Kaabah adalah rumah ibadat pertama yang dibina dan ianya juga adalah salah satu dalil bagi kewajipan ibadat haji.
▪️ Berpegang teguh kepada agama Allah dan bersatu di atasnya dan tidak berpecah belah merupakan sebab kekuatan terbesar bagi umat Islam.
▪️ Pada firman Allah SWT : كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik." [Ali-Imran:110]
Dan ayat yang sebelumnya dan selepasnya merupakan isyarat yang jelas tentang kepentingan amar makruf dan nahi munkar sehinggakan Allah SWT mendahulukannya ke atas beriman kepadaNya.
Ini bagi menunjukkan bahawa ia adalah ciri ciri khas umat ini dan ia adalah tuntutan daripada iman yang terbesar kerana dengannya asas asas agama akan terpelihara.
▪️Pada firman Allah SWT : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِّن دُونِكُمْ لَا يَأْلُونَكُمْ خَبَالًا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ ۚ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الْآيَاتِ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْقِلُونَ "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu.
Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya." [Ali-Imran:118]
Dan juga ayat yang sebelum dan selepasnya adalah peringatan yang tegas akan bahayanya kewujudan "orang dalam" yang berniat jahat ke atas kepimpinan Umat Islam.
▪️Seterusnya bermula pada firman Allah SWT : وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ الْمُؤْمِنِينَ مَقَاعِدَ لِلْقِتَالِ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." [Ali-Imran:121]
Dan juga ayat ayat yang seterusnya mengisahkan tentang Perang Uhud yang berlaku pada tahun ketiga hijrah.
Renungilah kisah ini dan topik apakah yang ditekankan oleh ayat ayat ini. Antaranya adalah bagaimana dosa dan maksiat dapat melemahkan umat Islam dan yang paling besar daripadanya adalah kesan amalan riba dan cintakan dunia.
▪️Pada perang Uhud para sahabat telah pulang dari peperangan ini dengan kekalahan dan kesedihan. Perhatikan bagaimana ayat ayat di dalam juzuk ini dengan indah dan penuh hikmah telah mengubati kesedihan mereka. Iaitu dengan : memperingatkan mereka dengan kurniaan Allah ke atas mereka (ayat 122,124,25), perintah agar mereka kembali berharap kepada Allah (ayat 133 & 135), mengangkat kembali semangat mereka (ayat 139,140 & 142), teguran yang halus dan lembut daripada Allah (ayat 143, 144, 153, 154, 159).
Seterusnya menjelaskan sebab sebab yang membawa kepada kekalahan antaranya; berpecah belah (ayat 152), perbuatan dosa dan maksiat (ayat 155) dan kebergantungan kepada individu (ayat 144).
▪️Pada juzuk ini juga diterangkan cara cara untuk memperoleh keteguhan dalam beragama iaitu dengan berpegang teguh kepada Al-Quran dan Al-Sunnah (ayat 101), bertakwa kepada Allah (ayat 102), bergantung kepada Allah SWT dan melazimi jemaah muslim (ayat 103), mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar (ayat 104) dan meninggalkan perselisihan dalam urusan agama (ayat 105).
▪️Seterusnya terdapat ayat ayat yang menceritakan tentang sifat hamba Allah yang bertakwa dan berusahalah untuk mencontohinya. Ianya bermula daripada ayat 133 - ayat 188.
▪️Firman Allah SWT : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." [Ali-Imran:139]
Ayat ini merupakan peringatan yang jelas agar tidak sifat bersedih hati selagi mana kita beriman dan mengikuti Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Sesungguhnya apa sahaja ujian dan bala bencana yang berlaku tidak harus sama sekali menjadikan kita merasa lemah dan hina.
▪️Pada juzuk ini juga terdapat ayat yang memperincikan kontradiksi yang terdapat pada pegangan akidah Yahudi.
▪️Renungkan hasil didikan oleh ulama rabbani : وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ "Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar." [Ali-Imran:146]
Pada ayat ini mengisyaratkan bahawa jihad yang berjaya memerlukan kepada bimbingan para ulama yang rabbani.
▪️Penutup surah Ali-Imran : إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal" [Ali-Imran:190]
Sehinggalah ke akhir surah ini mengandungi fadhilat yang agung. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم akan membaca ayat ayat ini jika baginda terjaga dari tidur di tengah tengah malam.
▪️Pada surah ini Allah telah menjadikan dua wanita sebagai contoh teladan dalam keteguhan beragama. Wanita tersebut ialah Isteri Imran yang teguh dengan niat beliau yang ikhlas untuk berkhidmat kepada agama dan Maryam binti Imran yang mana anak beliau iaitu Nabi Isa عليه السلام telah dipilih menjadi rasul. Surah ini pula dinamakan dengan keluarga ini (keluarga imran) untuk memuliakan mereke. Maka lambang bagi keteguhan dalam beragama dalam surah ini adalah wanita.
▪️Topik surah ini adalah keadilan dan rahmat Allah SWT kepada manusia yang terzahir pada pembahagian harta pusaka dan perlindungan terhadap hak hak golongan yang lemah.
▪️Surah Al-Nisa ini merupakan surah yang menekankan pembelaan hak hak golongan yang lemah seperti orang orang miskin, anak anak yatim, wanita wanita dan mereka yang lemah yang tidak mampu berhijrah meninggalkan tempat asal mereka.
▪️Pada surah ini Allah SWT sendiri telah membahagikan bahagian harta pusaka bagi setiap daripada ahli keluarga bagi menghalang perselisihan dan permusuhan yang sering berlaku akibat daripada perebutan harta.
▪️Peruntukan terhadap hak hak wanita secara terperinci pada harta pusaka dan juga penurunan ayat ayat ini pada waktu dan zaman yang hak hak wanita dinafikan merupakan dalil yang jelas bahawa Syariah ini mengambil berat akan hak hak mereka dan juga memeliharanya.
▪️Kemuliaan dan ketinggian kedudukan wanita dalam Islam terzahir apabila mereka memiliki hak yang sama dengan lelaki dalam harta pusaka dan bahkan melebihi lelaki dalam beberapa situasi (ayat 7, 11 & 12).
▪️Dalam juzuk ini juga dijelaskan peringkat peringkat dalam pembinaan keluarga yang menjadi asas kekuatan masyarakat. Iaitu dengan membersihkan masyarakat daripada amalan keji (ayat 15.& 19), menyekat jalan jalan ke arah kekejian (ayat 23, 24 & 25) dan pengasingan golongan yang rosak dan pembukaan ruang untuk bertaubat bagi mereka (ayat 16, 17 & 18).
▪️Akhirnya pada penghujung juzuk empat ini terdapat ayat yang menjelaskan jenis jenis wanita yang haram dinikahi disebabkan kerana nasab iaitu: حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ "Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan," Seterusnya ayat ini menjelaskan wanita wanita yang diharamkan berkahwin dengannya disebabkan penyusuan dan persemendaan.
▪️ Syariat Islam semuanya bersifat rahmah dan bertujuan untuk mengangkat kesusahan dan memberikan keringanan kepada manusia. Ini dijelaskan pada ayat 26 - 27 pada surah ini.
▪️Pada juzuk ini terkandung panduan bagi hubungan kekeluargaan khususnya hubungan antara suami dan isteri serta bagaimana menyelesaikan perselisihan antara mereka dengan kaedah sulh (pendamaian).
▪️Terdapat perintah untuk memelihara hubungan silaturrahim dan memelihara kebajikan anak anak yatim serta ancaman yang dahsyat buat mereka yang mengabaikan hak hak ini.
▪️Pada juzuk ini juga terdapat ayat ayat yang menjelaskan penyelewengan golongan Yahudi, pembohongan dan juga hasad mereka. Bandingkan sifat golongan Yahudi terdahulu dengan Yahudi pada zaman sekarang adakah masih berbeza.
▪️Pada firman Allah SWT : وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri." [4 : 36]
Terdapat 10 hak golongan yang perlu ditunaikan. Perhatikan pada diri kita adakah telah tertunai hak hak ini dan berusahalah untuk menunaikannya.
▪️Rasulullah SAW mendengar ayat ini : فَكَيْفَ إِذَا جِئْنَا مِن كُلِّ أُمَّةٍ بِشَهِيدٍ وَجِئْنَا بِكَ عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ شَهِيدًا "Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?" [4:41] Lalu baginda terus menangis. Renungilah makna ayat dan fahamilah apakah sebab sebab yang menjadikan baginda menangis. Tidak lain tidak bukan adalah kerana kasih dan sayangnya baginda terhadap kita.
▪️Firman Allah SWT : وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوا ۖ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ ۚ وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِن فَضْلِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا - "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
Jika ini adalah larangan pada semata mata berharap bagaimana pula dengan mereka yang mengingkari wujudnya perbezaan hak antara lelaki dan wanita serta menyeru untuk menghapuskannya dan menuntut kesamarataan hak di antara mereka?
▪️Seterusnya pada juzuk ini terdapat ayat yang memerintahkan kita agar menunaikan amanah kepada orangnya yang berhak dan mencari keadilan ketika menjalankan hukum antara manusia. Firman Allah SWT: إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." [4 : 58]
Maka perhatikanlah bagaimana amanah kita dalam mendidik anak, amanah dalam menguruskan harta dan amanah menjaga diri yang diciptakan oleh Allah SWT. Serta perhatikan pula adakah kita benar benar adil dalam menjalankan hukum antara manusia walaupun mereka berbeza agama dengan kita.
▪️Perintah agar mentaati perintah Allah, Rasulullah dan Ulil Amri (pemimpin). Jika berlaku perselisihan maka rujukannya adalah Al-Quran dan As-Sunnah.
▪️Terdapat ayat yang memperincikan sifat sifat golongan munafiq yang berusaha untuk meruntuhkan dan menghancurkan Islam daripada dalam dan peringatan akan bahayanya kewujudan mereka.
▪️Antara sifat orang munafiq : berpegang kepada selain syariat Allah SWT dan berpaling daripadanya dengan bersungguh sungguh.
▪️Kewajipan mematuhi hukum Allah dan RasulNya.
▪️Pada juzuk ini terdapat juga ayat yang menegur mereka yang membaca Al-Quran tanpa merenungi isi kandungannya. Allah SWT berfirman : أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ ۚ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِندِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلَافًا كَثِيرًا "Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya." [4:82]
▪️Perintah untuk berhati hati terhadap musuh dan galakan untuk keluar berjihad di jalan Allah ketika terdapat sebab yang mewajibkannya dan ternafi halangan yang menghalangnya.
▪️Terdapat penerangan bahawa tujuan jihad dalam Islam adalah untuk membela golongan yang lemah, mempertahankan agama Islam dan kebebasan untuk menyampaikan dakwah.
▪️Peringatan tentang bahayanya hasutan syaitan dan kesungguhan mereka dalam menyesatkan kita.
▪️Besarnya kesan membunuh seorang Muslim tanpa sebarang hak dan ancaman azab yang dasyat ke atas pelakunya.
▪️Penjelasan tentang solat qasar dan juga solat khauf (ketika peperangan).
▪️Pada bahagian 1/4 terakhir surah Al-Nisa diperincikan hukum hakam yang berkaitan dengan perkahwinan seperti nusyuz dan perceraian dan disertakan dengan peringatan terhadap pemerhatian Allah SWT. Renungilah.
▪️Pada surah ini jelas terlihat kecaknaan Islam terhadap penyusunan sistem kekeluargaan dan pembahagian tanggungjawab di dalam keluarga dan القوامة (kepimpinan) yang mengambil cakna tentang hak hak para wanita, maka renungilah maka adakah lagi pada surah ini sesuatu yang bertentangan dengan hak mereka?
▪️Pada penghujung juzuk ini disebutkan lagi perincian tentang sifat orang munafiqin dan kesetiaan mereka terhadap musuh musuh Islam dan sifat malas mereka dalam melaksanakan ketaatan. Maka hendaklah kita menjauhkan diri daripada sifat sifat ini.
▪️Pada ayat 147 dijelaskan bahawa Allah SWT tidak menyukai perkataan buruk yang diucapkan secara terus terang melainkan jika dilakukan oleh orang yang dizalimi. Dapat difahami daripada ayat ini bahawa kita dituntut untuk sentiasa mengucapkan perkataan perkataan yang baik pada setiap masa dan keadaan.
▪️Adapun keringanan untuk mengucapkan perkataan yang buruk (seperti mendoakan kehancuran orang yang zalim atau menyebutkan secara terbuka perbuatan kezaliman) merupakan rukhsah (keringanan) yang Allah berikan kepada orang yang dizalimi agar dapat mengurangkan kemarahannya dan mengelakkan dirinya melakukan mudarat yang lebih besar iaitu jika dia memilih untuk membunuh atau membalas dengan kekasaran. Keringanan ini adalah bertujuan untuk menolak mudarat yang besar dengan melakukan mudarat yang lebih kecil.
▪️Tetapi ayat yang seterusnya memperingatkan bahawa jika seseorang memilih untuk memaafkan dalam keadaan dirinya mampu membalas maka ianya adalah lebih baik kerana kemaafan lebih dicintai oleh Allah daripada pembalasan. Hal ini kerana Allah SWT sendiri mampu untuk membalas segala kejahatan manusia tetapi Dia tetap memilih untuk memaafkan dan mengampuni mereka. فإن الله كان عفوا قديرا.
▪️Andai kita mahu Allah SWT mengampuni dan memaafkan segala dosa dan kesalahan kita terhadapNya maka kita terlebih dahulu perlu memaafkan kesalahan manusia lain ke atas kita kerana الجزاء من جنس العمل (balasan sesuatu amalan adalah bersesuaian dengan amalan tersebut).
▪️Pada penghujung Ṣurah An-Nisā’ disebutkan tentang perihal Ahl Al-Kitāb - permintaan mereka terhadap Nabi Mūsā dan juga pendirian mereka terhadap Nabi ‘īsā ‘alaihumā al-salām.
▪️Pada juzuk ini terdapat peringatan tentang bahayanya sikap ghulūw (kemelampauan) terhadap agama seseorang walaupun kemelampauan itu dipakaikan dengan wajah dan pakaian agama.
▪️Sebahagian besar juzuk enam ini terdiri daripada Ṣurah Al-Mā’idah dan ia adalah antara surah yang terakhir diturunkan, dan surah ini menekankan kepentingan memenuhi ‘aqad dan perjanjian sama ada dengan sesama muslim ataupun dengan bukan muslim. Maka melalui surah ini seorang Muslim mendidik dirinya dengan asas yang amat penting iaitu أَوْفُوا بِالْعُقُود (penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian).
▪️Ṣurah ini dinamakan Al-Mā’idah iaitu hidangan berdasarkan kisah Nabi ‘īsā عليه السلام bersama pengikut baginda di akhir surah ini yang mana mereka telah memohon agar Allah SWT menurunkan kepada mereka makanan dan Allah SWT telah mengabulkan permintaan mereka dan mengambil perjanjian daripada mereka andainya mereka melanggar janji tersebut mereka akan diazab oleh Allah SWT. Maka hidangan tersebut adalah lambang bagi perjanjian yang penting tersebut.
▪️Pada permulaan surah terdapat seruan kepada orang yang beriman agar memenuhi segala akad dan perjanjian mereka dan pada penghujung surah ditutup dengan kisah perjanjian yang telah dibuat oleh Nabi Isa terhadap kaum baginda sebelum baginda diangkat ke langit. Ini menunjukkan bahawa memenuhi perjanjian adalah sifat orang yang beriman.
▪️Jika menurut turutan mushaf, surah ini adalah surah yang pertama yang dimulakan dengan seruan يا أيها الذين آمنوا (wahai orang orang yang beriman) dan diulang ulang seruan ini sebanyak 16 kali di dalam surah ini. Seruan ini mengisyaratkan kepada kepentingan hukum hakam yang terdapat dalam surah ini bagi orang yang beriman.
▪️Pada surah ini terdapat 18 jenis hukum yang tidak terdapat pada surah surah yang lain dan ianya tidak pernah dimansūkhkan (dibatalkan), maka berusahalah ketika membacanya untuk memahaminya dan seterusnya mengamalkan.
▪️Surah ini dimulakan dengan penerangan yang terperinci tentang jenis makanan yang diharamkan dan juga jenis yang halal untuk dimakan.
▪️ Disebutkan juga ayat tentang pensyariatan wudhū’ dan perkara perkara yang mewajibkannya dan juga perkara yang mewajibkan mandi junub.
▪️Kepentingan melaksanakan persaksian hanya kerana Allāh SWT dan perintah untuk berlaku adil walaupun terhadap musuh yang dibenci kerana berlaku adil adalah wajib terhadap semua manusia.
▪️Surah ini juga menerangkan tentang tabiat hubungan antara Ahl Al-Kitāb terhadap Allāh SWT dan para rasulNya dan perkara ini penting untuk difahami bagi berinteraksi dengan mereka.
▪️Pada juzuk ini juga disebutkan kisah kemasukan Nabi Mūsā ke Bayt Al-Maqdis dan penerangan terhadap kelebihan berpegang dengan kebenaran dan kepentingan untuk bersegera menyeru manusia melakukan kebaikan dan kesan bertawakkal kepada Allah dalam meraih kejayaan dan kemenangan.
▪️Disebutkan juga kisah pembunuhan pertama yang berlaku dalam sejarah manusia iaitu yang melibatkan dua orang anak Nabi Adam عليه السلام. Pada kisah ini terdapat pengajaran tentang pentingnya sifat taqwa sebagai syarat penerimaan amal dan bahayanya sifat hasad dan dengki sesama manusia.
▪️Juga keburukan perbuatan membunuh tanpa hak dan keburukan fasād dan ifsād (perosakan) dan ganjaran menghidupkan jiwa jiwa manusia daripada kematian secara ma’nawi (membebaskan dari perhambaan) ataupun hakiki (tidak membunuh tanpa hak).
▪️Disebutkan penurunan kitab kitab samawiyah dan penjelasan secara terperinci terhadap mereka yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allāh.
▪️Pengharaman muwālāh (memberikan kesetian) kepada Yahūdi dan Naṣārā dan bahayanya para ulama yang bisu daripada menegur perkara perkara yang bercanggah dengan syariat.
▪️Penjelasan terhadap syubhat Naṣārā terhadap Nabi ‘Isā dan tawaran Allāh untuk menerima taubat mereka jika mereka bertaubat, ini menunjukkan betapa Maha Pengampunnya Allah SWT.
▪️ Antara perkara yang menjadikan surah ini istimewa adalah ia telah menyebutkan lima maqasid (tujuan) syariah secara jelas.
▪️ Maqasid yang pertama adalah hifz al-din (penjagaan agama) pada ayat 54 iaitu dengan membenarkan peperangan untuk menjaga asas agama. Maqasid yang kedua adalah hifz al-nafs (penjagaan nyawa) pada ayat 32 iaitu dengan mengharamkan pembunuhan nyawa yang dilindungi. Maqasid yang ketiga adalah hifz al-aql (penjagaan akal)pada ayat 90 iaitu dengan mengharamkan arak. Maqasid yang keempat adalah hifz al-nasab (penjagaan keturunan) iaitu pada ayat 5 dengan mengharamkan hubungan sebelum pernikahan. Maqasid yang kelima iaitu hifz al-mal (penjagaan harta) dengan pensyariatan hukum hudud dan ancaman azab terhadap mereka yang menceroboh harta orang lain.
▪️ Terdapat penerangan golongan Ahl Al-Kitāb manakah yang paling dekat dan jauh daripada kita.
▪️ Penerangan tentang beberapa hukum fekah. Antaranya: kaffarah sumpah, pengharaman arak dan judi, pengharaman memburu bagi orang yang berada dalam ihram dan hukumannya, pemberian wasiat sebelum kematian, sifat sifat orang yang memberikan kesaksian dan hukum jika tidak ada saksi dalam kalangan orang Islam.
▪️ Dialog di antara Nabi ‘īsā dan ḥawārī (pengikut) baginda, bagaimana mereka berkeras agar diturunkan satu petunjuk (makanan daripada langit) daripada Allāh SWT sebagai pendorong dan penguat semangat untuk mereka beriman. Pada kisah ini terdapat isyarat kepada kelebihan dan keistimewaan sahabat Nabi Muhammad ṣallā allāhu ‘alaihi wa sallam iaitu mereka amat bersegera dalam melakukan sesuatu kebaikan dan meninggalkan sesuatu keburukan apabila diperintahkan, tidak bertangguh tangguh dan tidak beralasan. Hal ini berbeza dengan pengikut para nabi nabi terdahulu seperti di dalam kisah ini (Naṣārā) dan juga kisah penyembelihan lembu betina (Yahudi).
▪️ Pada kisah dialog ini menunjukkan kepentingan sifat sabar bagi seoarang ‘ālim dan pendakwah dalam menghadapi kata kata dan perbuatan pengikut mereka. Walau bagaimana dirinya bersungguh dan berusaha untuk kebaikan mereka tetapi tetap dirinya akan menghadapi perkara yang tidak disenangi daripada persoalan dan perbuatan mereka.
▪️ Pada penghujung surah ini Allah SWT menceritakan dialogNya dengan Nabi ‘Īsā dan penerangan bahawa baginda berlepas diri daripada mendakwa memiliki apa apa sifat ketuhanan. Jadi bagaimanakah golongan Naṣārā boleh mendakwa Nabi ‘Īsā sebagai tuhan sedangkan baginda telah berlepas diri daripada dakwaan itu?
️▪ Jika direnungi daripada awal surah (Al-Baqarah - Al-Maidah) kita akan mendapati terdapat beberapa peringkat dalam berinteraksi dengan golongan ahli kitab. Surah Al-Baqarah menerangkan kesilapan ahli kitab dan menyeru orang Islam agar berbeza dengan mereka. Pada Surah Ali-Imran terdapat dialog yang lembut bersama ahli kitab bersama usaha mewujudkan titik persamaan agar mereka tertarik kepada Islam. Manakala pada Surah Al-Nisa' terdapat kritikan terhadap sikap ghuluw (kemelampauan) terhadap cara mereka beragama dan perbezaan akidah mereka. Manakala Surah Al-Maidah adalah pertembungan yang tegas terhadap mereka bagi menegakkan kebenaran, لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۚ (Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam").
▪️ Permulaan surah ini adalah menjelaskan tentang hakikat Tauḥīd dan Ba’ath (hari kebangkitan) dan Nubuwwah (kenabian). Manakala penutupnya juga berkisar tentang perkara yang sama iaitu : قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ ۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ قُلْ أَغَيْرَ اللَّهِ أَبْغِي رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَيْءٍ ۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.
️▪️ Juga terdapat munāsabah (perkaitan) di antara penghujung Ṣurah Al-Mā’idah dan Ṣurah Al-An’ām, iaitu pada penghujung Ṣurah Al-Mā’idah disebutkan bahawa Allah lah yang paling layak disembah sebagai tuhan dan bukan selainNya dan seterusnya permulaan Ṣurah Al-An’ām menegaskan lagi hakikat ini.
️▪️ Terdapat peringatan terhadap mereka yang berpaling daripada ayat ayat Allah dan mendustai agama yang benar dan ancaman azab terhadap mereka sebagaimana yang telah ditimpakan kepada umat terdahulu.
️▪ ️Kisah perdebatan di antara Nabi Ibrahīm dan kaum baginda. Perdebatan ini amat penting kerana ianya adalah penjelasan terhadap akidah yang benar dengan bukti bukti yang dapat dirasai dengan panca indera berserta dengan penghujahan logik akal.
️▪️ Pembinaan keimanan dengan merenungi alam semesta yang akan akan menghasilkan sifat membesarkan dan mengagungkan Allah di dalam jiwa manusia.
️▪️ Terdapat larangan daripada mencela sembahan sembahan golongan musyrikin kerana ianya akan menyebabkan mereka untuk mencela Allah SWT. Juga kerana perbuatan mencela ini akan semakin menjauhkan mereka daripada kebenaran dan menambah kekufuran mereka.
▪ ️Pada ayat 116 dijelaskan bahawa jumlah yang ramai bukanlah penentu kebenaran sesuatu perkara dan jumlah yang sedikit bukanlah penentu kebatilan sesuatu perkara.
▪ Antara sebab kenapakah lebih ramai manusia mengikuti kebatilan daripada kebenaran adalah kerana untuk mengikuti kebenaran memerlukan kepada akal yang sejahtera dan jiwa yang mulia, yang mempertimbangkan antara kebaikan dan kemudaratan, yang mengutamakan kebenaran ke atas hawa nafsu dan yang menginginkan kebaikan buat manusia. Andai berlakunya kerosakan atau kekurangan pada mana mana sifat ini maka kebatilan akan lebih mudah tersebar.
▪ Pada juzuk ini juga terdapat penjelasan beberapa hukum fiqh yang mempunyai hubung kait dengan akidah dan yang paling jelas adalah: penyebutan nama Allah ketika melakukan sembelihan, pengharaman sembelihan yang tidak disebutkan nama Allah apatah lagi jika disebutkan nama nama tuhan kaum musyrikin.
▪ Pada ayat 120 terdapat perintah untuk meninggalkan dosa yang terzahir ataupun yang tersembunyi. Bagi dapat melaksanakan perintah ini kita perlu mengetahui dan mempelajari apakah itu dosa yang zahir dan apakah itu dosa yang batin. Ayat ini menjadi dalil kepada kepentingan menuntut ilmu.
▪️ Kebergantungan hati terhadap Allah untuk dapat berada di dalam petunjuk atau kesesatan menjadikan kita sentiasa bergantung harap kepadaNya dan agar Dia sentiasa melapangkan dada kita dengan hidayah daripadaNya.
▪ Antara tanda tanda Allah SWT ingin mengurniakan kebahagian dan petunjuk kepada seorang hamba adalah dengan Dia melapangkan dadanya untuk menerima Islam. Dengan Islam hatinya akan bersinar dengan cahaya dan merasai ketenangan, mencintai kebaikan dan cenderung untuk melakukannya, merasai nikmat melakukan kebaikan dan tidak berasa berat dalam melaksanakannya.
▪ Terdapat perincian terhadap beberapa amalan orang orang musyrikin yang telah dijadikan indah oleh syaitan: وَكَذَٰلِكَ زَيَّنَ لِكَثِيرٍ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ (dan demikianlah berhala berhala mereka menjadikan indah perbuatan ….) dan kemudiannya diamalkan dengan oleh mereka, : فذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ (Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu). Ayat ayat seterusnya menjawab perbohongan mereka.
▪ Iman dan taubat akan diterima selagi mana tidak munculnya tanda tanda besar hari kiamat. Apabila munculnya tanda tanda besar hari kiamat, pintu iman dan taubat akan tertutup.
▪ Penutup Surah Al-‘An’ām mengandungi 10 pesanan yang penting. Ini menuntut kepada kefahaman dan pengamalan dalam kehidupan seharian kita.
▪ Firman Allah SWT قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ - 6:162 Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Ayat ini menggariskan manhaj hidup seorang Muslim iaitu tidak ada saat dalam kehidupannya dan kematiannya melainkan hanyalah kerana Allah semata mata. Semoga Allah menjadikan kita dalam golongan ini. Ameen.
▪️ Tema surah ini adalah kemenangan kebenaran terhadap kebatilan dan penjelasan terhadap balasan mereka yang sombong dengan kebenaran di dunia dan akhirat.
▪️ Surah Al-A’rāf bermula dengan dialog yang panjang di antara Syaitan dan Allah SWT. Ayat ayat ini menjelaskan kepada kita usaha Syaitan untuk memperdayakan kedua ibu bapa kita, Nabi Adam dan Hawa dan bagaimana dia berusaha untuk membuka aurat kedua dua mereka. Selepas membaca ayat ayat ini kita akan memahami bahawa jalan yang paling singkat dan cepat bagi syaitan memperdayakan kita adalah dengan menjadikan kita mendedahkan aurat kita.
▪️ Pada firman Allah SWT : ثُمَّ لَآتِيَنَّهُم مِّن بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَن شَمَائِلِهِمْ ۖ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ - 7:17
▪ "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". Ayat ini merupakan ringkasan kepada perancangan Iblis untuk memperdayakan umat manusia di dunia ini. Maka kita harus berhati hati daripada menjadi mangsa tipu daya mereka.
▪ Nabi Adam عليه السلام dan Iblis لعنة الله عليه kedua dua mereka telah melakukan kesilapan tetapi yang membezakan kedua dua mereka adalah Nabi Adam عليه السلام mengakui kesilapan dan kesalahan baginda dan bertaubat kepada Allah, dan taubat baginda diterima. Manakala Iblis لعنة الله عليه menyalahkan takdir Allah dan enggan untuk mengakui kesalahan dirinya maka dia telah dilaknat oleh Allah. Pengajarannya adalah; tiada sesiapa yang terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan dan yang lebih penting adalah apakah tindakan seseorang selepas melakukannya? Jika dia memilih untuk menjadi 'adam' maka dia akan dirahmati. Tetapi jika dia memilih menjadi 'iblis' maka dia akan semakin jauh daripada Allah.
▪ Selepas menceritakan kisah Nabi Adam dan Iblis Allah telah menyeru anak anak dengan empat seruan : يَا بَنِي آدَمَ (wahai anak anak Adam). Adakah terdapat dalam kalangan kita yang ingin mengambil peringatan dan pengajaran daripada ini?
▪ Dijelaskan bahawa pakaian taqwa adalah lebih baik daripada pakaian luaran. Ini kerana pakaian taqwa sentiasa bersama dengan seorang hamba sepanjang waktu; tidak lusuh dan tidak rosak, dan ia adalah tanda keindahan hati dan roh. Adapun pakaian luaran ianya adalah untuk menutup aurat hanya pada kebanyakan waktu dan merupakan keindahan luaran semata mata.
▪️ Kata para ulama tentang ayat ini : قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ - 7:33 Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Ayat ini merupakan usul atau asas bagi perkara perkara yang diharamkan di dalam agama Islam.
▪ Dalam surah ini juga terdapat perbualan di antara ahli syurga, ahli neraka dan ahli al-‘arāf. Berusahalah ketika membacanya untuk membayangkan diri kita berada pada setiap tempat ini.
▪ Pada kisah golongan Al-‘Arāf terdapat kisah yang memberikan kesan kepada jiwa tentang keluasan rahmat Allah terhadap hamba hambaNya.
▪ Terdapat perintah agar kita berdoa kepada Allah dengan penuh takut dan harap.
▪️ Ketika kita membaca bagaimana musuh para rasul menyifatkan rasul rasul yang diutuskan kepada mereka dengan : قَالَ الْمَلَأُ مِن قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ - 7:60 Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata". قَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ إِنَّا لَنَرَاكَ فِي سَفَاهَةٍ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ الْكَاذِبِينَ - 7:66 Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta". Kita memahami bahawa tabiat mereka dalam menolak kebenaran adalah melemparkan tomahan dan kejian terhadap para rasul walaupun pada hakikatnya ianya tidak benar. Apakah penilaian yang mereka gunakan untuk mengatakan para rasul itu bodoh dan berada dalam kesesatan? Tidak lain adalah semata mata kerana hawa nafsu dan kesombongan!
▪ Juzuk ini diakhiri dengan kisah lima orang nabi. Ketika membacanya renungilah sebab sebab kehancuran orang orang yang mendustai rasul mereka dan berhati hatilah daripada sebab sebab ini.
▪️Pada permulaan juzuk ini terdapat sambungan kisah Nabi Shuaib عليه السلام bersama dengan pembesar kaum baginda yang enggan menerima seruan dakwah yang disampaikan. Tindakan golongan yang angkuh pada mana mana zaman adalah sama; mereka akan berhujah mempertahankan kebatilan dan jika gagal, mereka akan mengancam dengan kuasa dan kekerasan.
▪️Adapun para nabi dan rasul mereka tidak sesekali gentar dan takut kepada ancaman golongan yang angkuh dan sombong itu kerana mereka mengetahui dan mengimani bahawa keteguhan mereka dalam berpegang kepada kebenaran adalah kerana bantuan dan izin Allah, dan bukannya daripada diri mereka sendiri.
▪️Antara hikmah daripada sesuatu bala dan ujian adalah supaya seseorang itu tunduk dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.
▪️Ayat ke-99 menjelaskan kepada kita bahawa tidak sepatutnya bagi seseorang merasa aman daripada azab dan seksa Allah dan seharusnya dirinya sentiasa merasa takut dan berharap kepada Allah SWT. Kata Hasan Al-Basri, "orang yang beriman melakukan ketaatan dalam keadaan mereka takut dan berharap kepada Allah manakala orang orang yang jahat melakukan maksiat dalam keadaan merasa aman."
▪️ Kisah Nabi Musā adalah kisah yang terpanjang di dalam surah Al-‘Arāf ini. Antara sebabnya adalah kerana Bani Israel pada setiap zaman berbeza beza akhlak dan juga perangai mereka. Maka pada kisah kisah ini terdapat pengajaran dan persiapan buat Umat Islam menghadapi pertembungan dengan kebatilan.
▪️Pada kisah Nabi Musā juga mengandungi ketenangan dan penguat semangat bagi Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bagi menghadapi ujian dan cabaran daripada umatnya.
▪️ Cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Nabi Musā dalam berdepan dengan Fir’aun dan kaum Yahudi amat berat dan besar. Setiap kali dugaan semakin kuat, pergantungan baginda kepada Allah SWT -yang tidak akan sesekali menghina dan melemahkan baginda- juga semakin kuat.
▪️Pada kisah ahli sihir firaun yang beriman terdapat pengajaran yang besar tentang peranan iman. Bagaimana iman mengubah cara pandang seseorang manusia. Ketika mereka diancam dengan azab oleh firaun kerana beriman, mereka memperingatkan diri mereka bahawa azab firaun ini hanyalah kecil jika dibandingkan dengan azab Allah dan bahawasanya mereka akan kembali kepada Allah SWT. Maka mereka telah memilih untuk menanggung azab firaun ini demi mempertahankan keimanan mereka.
▪️Antara pembohongan yang paling berbahaya adalah pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin kepada rakyat kerana ianya boleh mempengaruhi permikiran dan tindakan mereka. Seperti mana yang dilakukan oleh pembesar yang berada di sekeliling firaun yang telah membohongi rakyat mereka bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun ingin memporak perandakan negara mereka dan menghina sembahan mereka walhal yang sebenarnya bukanlah sedemikian.
▪️Renungilah kemuliaan ini : وَكَتَبْنَا لَهُ فِي الْأَلْوَاحِ مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْعِظَةً وَتَفْصِيلًا لِّكُلِّ شَيْءٍ فَخُذْهَا بِقُوَّةٍ وَأْمُرْ قَوْمَكَ يَأْخُذُوا بِأَحْسَنِهَا ۚ سَأُرِيكُمْ دَارَ الْفَاسِقِينَ - 7:145 “Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik - derhaka".” Tetapi hanya dengan kemuliaan kitab yang diturunkan tidaklah memadai bagi meningkatkan darjat seseorang melainkan jika dirinya mengamalkan ajaran kitab itu dengan bersungguh sungguh dan menyeru orang lain berpegang dan mengamalkannya dengan sebaik baiknya.
▪️ Ketika mana ujian semakin getir Nabi Musā telah membimbing pengikut baginda agar meminta bantuan daripada Allah dan bersabar, serta mengingatkan mereka bahawa bumi ini milik Allah SWT dan kemenangan adalah buat mereka yang bertakwa. Maka renungilah.
▪️ Rahmat Allah SWT meliputi segala perkara dan Allah SWT menyebutkan bahawa Dia akan mengurniakan rahmatNya kepada hambaNya yang terpilih. Renungilah sifat sifat mereka semoga kita juga tergolong dalam golongan ini.
▪️ Pada surah ini juga disebutkan kisah حاضرة البحر / penduduk yang tinggal di tepi pantai, yang diuji dengan ikan pada hari ibadat mereka iaitu hari sabtu. Disebutkan pada kisah ini pengakhiran bagi golongan yang menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada perbuatan mungkar dan pengakhiran golongan yang melampaui batas.
▪️ Juga terdapat kisah mereka yang dikurniakan oleh Allah petunjuk daripadaNya kemudian mereka berpaling daripadanya. Lihat bagaimana Allah telah menukar rupa bentuk mereka menjadi sehina hina haiwan selepas berada pada setinggi tinggi kedudukan.
▪️Seterusnya juzuk ini berbicara tentang permulaan perciptaan makhluk dan menafikan apa apa manfaat sembahan yang disembah selain Allah SWT.
▪️Topik utama surah ini adalah pengingatan terhadap orang orang Islam tentang nikmat nikmat Allah kepada mereka melalui kemenangan dalam perang Badar dan penerangan tentang sebab sebab kemenangan dan kekalahan.
▪️Pada permulaan ini disebutkan tentang pertanyaan sahabat tentang cara pembahagian harta rampasan perang. Maka untuk mengelakkan mereka daripada berselisih pendapat dalam perkara ini dan mengelakkan mereka daripada menyibukkan diri dengan urusan harta, Allah SWT telah meletakkan urusan pembahagian harta rampasan perang di tangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Pada perkara ini terkandung tarbiah pembinaan ketakwaan kepada Allah, ketaatan kepada Rasul dan pembaikan hubungan ukhuwwah sesama mereka.
▪️ Juga ketika para sahabat bertanya tentang Al-Anfāl (harta rampasan perang) surah ini memulakan penerangan tentang perkara yang lebih penting dan utama iaitu tentang ketaqwaan dan mendamaikan dua pihak yang bersengketa dan jawapan tetang al-anfāl ini datang selepas 40 ayat; jawapan kepada persoalan mereka : وَاعْلَمُوا أَنَّمَا غَنِمْتُم مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ لِلَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ (Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya).
▪️Disebutkan juga tentang ciri ciri orang beriman iaitu hati mereka akan menjadi takut dan gementar jika disebutkan nama Allah SWT. Didahulukan amalan hati ini berbanding dengan solat dan zakat adalah kerana hati adalah asas kepada amalan anggota luaran.
▪️Al-Quran memberikan perhatian yang besar kepada perbuatan mendamaikan dua pihak yang bersengketa sehingga menggandingkannya dengan ketakwaan secara umum kepada Allah SWT dan mendahulukan ke atas perintah mentaati Allah dan RasulNya.
▪️Perincian tentang peristiwa peperangan Badar dan bagaimana para sahabat keluar ke medan perang dan beberapa peristiwa yang berlaku pada peperangan ini yang menunjukkan tahap ketinggian iman mereka.
▪️Pada ayat ke-17 Umat Islam diperingatkan bahawa kemenangan ke atas golongan kuffar adalah kerana kekuatan dan bantuan daripada Allah SWT semata mata dan bukan kerana jumlah dan kekuatan mereka. Maka seseorang perlu menyandarkan segala nikmat dan kemenangan kepada Allah SWT.
▪️Pada ayat yang ke-29 diterangkan apakah faedah daripada ketakwaaan iaitu Allah akan mengurniakan Al-Furqan (pemisah) kepada seseorang. Apakah itu Al-Furqan? Ianya adalah cahaya di dalam hati orang yang beriman yang menjadi pemisah dan pembeza bagi mereka antara kebenaran dan kebatilan.
▪️Memperbanyakkan istighfar dan menyebar luaskan amalan ini dalam masyarakat adalah penyebab yang menolak bala dan azab. وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar).
▪️Pada ayat ke-36 terdapat peringatan agar Umat Islam tidak merasa lemah dan takut jika melihat musuh membelanjakan wang dan harta yang banyak serta membuat pelbagai perancangan untuk memerangi Islam kerana segala harta yang dibelanjakan dan perancangan itu akan menjadi sebab kekecewaan mereka di dunia dan akhirat.
▪️ Kisah perang Badar telah disambung pada juzuk ini dengan mimpi yang telah dilihat oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan bagaimana Allah menjadikan mimpi itu sebagai sebab bertambahnya keyakinan dan ketenangan baginda dan para sahabat.
▪️Pada ayat ke 45 menjelaskan bahawa mengingati Allah ketika sedang berada dalam peperangan adalah sebab meraih kemenangan dan kemudahan. Ini bukan khusus untuk peperangan sahaja tetapi merupakan isyarat kepada faedah zikir dalam mempermudahkan urusan kehidupan harian seseorang.
▪️Hari perang Badar dinamakan sebagai hari Al-Furqan kerana ia menjadi titik pemisah dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan.
▪️ Pada ayat ke 45 - 47 terkandung enam seruan dan panduan untuk mencapai kemenangan dan juga mengekalkannya. Juga mengandungi penjelasan terhadap tipu daya syaitan dalam menghalang kemenangan ini dan gambaran tentang sifat pengecut kaum munafik.
▪️Para syaitan sama ada daripada kalangan manusia ataupun jin akan berlepas diri daripada tipu daya dan janji kemenangan yang mereka berikan kepada orang kafir dan munafik tatkala mereka melihat azab Allah. Maka tidak sepatutnya bagi seorang Muslim menyerah kalah kepada mereka.
▪️Pada ayat ke 53 terdapat peringatan bahawa Allah SWT tidak akan mengubah nikmat nikmat yang telah Dia kurniakan kepada sesuatu kaum melainkan jika kaum tersebut menukarnya dengan kekufuran dan maksiat. Pada ayat ini terdapat petunjuk bahawa sesuatu nikmat itu dapat dikekalkan dengan cara sentiasa memperbaharui taubat dan memperbanyakkan ibadah.
▪️Islam menuntut umatnya agar mempersiapkan segala kemampuan untuk menghadapi musuh agar dapat menggerunkan mereka. Persiapan ini tidak terhad kepada kekuatan ketenteraan dah tubuh badan sahaja tetapi juga merangkumi kekuatan ilmu pengetahuan dan juga hujah.
▪️ Penutup surah Al-Anfāl menjelaskan tentang pertalian yang paling kuat dalam menyatukan orang orang Islam iaitu pertalian ukhuwwah islamiah dan bukannya mana mana pertalian yang lain sama ada bangsa atau keturunan dan lain lain.
▪️Surah ini bermula dengan menyebut hasil daripada peperangan iaitu harta rampasan perang dan berakhir juga dengan hasil daripada peperangan iaitu tawanan perang. Ini kerana surah ini memberikan fokus kepada hukum hakam yang berkaitan dengan peperangan dalam Islam.
▪️Topik utama surah ini ada pemutusan hubungan Allah dan RasulNya daripada perjanjian bersama kaum musyrikin dan pembukaan pintu taubat kepada semua golongan.
▪️Antara sebab surah ini dinamakan sebagai Al-Taubah ialah kerana dalam surah ini terdapat banyak seruan kepada amalan bertaubat kepada Allah dan ini mengisyaratkan bahawa taubat itu lebih dicintai oleh Allah SWT berbanding mengazab hamba hambaNya.
▪️Perkataan taubat disebutkan sebanyak 18 kali di dalam surah ini dan ini adalah surah yang paling banyak menceritakan tentang taubat. Ini memberikan isyarat bahawa walaupun surah ini berkisar tentang ancaman terhadap orang musyrikin dan munafiqin tetapi ia tetap memberikan ruang kepada mereka untuk bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Ini menunjukkan kepada keluasan rahmat Allah SWT.
▪️Surah Al-Taubah adalah antara surah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu ketika peristiwa Hajjah Al-Wada' (Haji Perpisahan) iaitu pada tahun ke-9 hijrah. Ini mengisyaratkan kepada kepentingan taubat kepada seorang Muslim dan bahawasanya dirinya memerlukan kepada pengampunan Allah pada permulaan perjalanannya menuju Allah dan pada pertengahannya dan juga pengakhirannya.
▪️Antara nama lain surah ini adalah Al-Fadihah iaitu Pembongkar kerana surah ini banyak membongkarkan tipu daya dan kejahatan orang orang munafik yang tersembunyi daripada pandangan orang orang beriman.
▪️ Surah ini bermula dengan penetapan tempoh perjanjian di antara Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan kaum musyrikin ketika keadaan aman dan juga perang, dan ia merupakan sebuah risalah yang agung dalam membuktikan bahawa Islam menjaga dan menghormati perjanjian dengan golongan bukan Islam.
▪️ Pada awal surah ini dijelaskan kewajipan memenuhi perjanjian dan hukum melanggar perjanjian, dan larangan terhadap orang orang musyrikin daripada memasuki Masjidil Haram dan larangan daripada memberikan kesetiaan kepada mereka.
▪️ Terdapat perintah untuk memerangi Ahli Kitab sehinggalah mereka membayar jizyah dalam keadaan taat dan merendah diri berserta penjelasan terhadap akidah mereka yang batil.
▪️ Tidak ada disebutkan di dalam Al-Quran tentang pengimarahan masjid melainkan di dalam surah ini dan ianya disebutkan berserta dengan syarat keimanan kepada Allah dan hari kiamat. Ini merupakan petunjuk kepada kepentingan ikhlas dan bahawasanya golongan munafik tidak berhak mendapat kemuliaan ini kerana mereka tidak menepati syarat syarat keimanan dan keikhlasan.
▪️ Asas dalam menyusun kalendar adalah dengan berpandukan kepada bulan bulan hijriah. Juga dijelaskan bulan bulan haram (daripada berperang) iaitu Rajab, Zulqaidah, Zulhijjah dan Muharram, serta membatalkan adat ada orang kafir quraisy yang melakukan tipu daya untuk menghalalkan perbuatan yang diharamkan pada bulan bulan ini.
▪️Galakan terhadap orang Islam untuk segera menyahut seruan jihad pada jalan Allah jika diseru oleh pemerintah muslim.
▪️Pada surah ini juga disebutkan tentang lapan golongan yang layak mendapat zakat. Antara hikmah disebutkan pembahagian zakat ini adalah kerana banyaknya disebutkan tentang harta di dalam surah ini dan juga kerana usaha orang orang munafik untuk mendapatkan harta melalui apa sahaja cara sehingga mereka terlupa hak hak Allah SWT pada harta tersebut, seperti mana pendeta pendeta Yahudi dan paderi paderi yang bukan sahaja menghalang pembahagian zakat tetapi menggunakan harta mereka untuk menghalang jalan Allah SWT.
▪️ Golongan munafik sentiasa bermalas malasan dan mencari cari alasan untuk tidak keluar berjihad di jalan Allah SWT tanpa ada sebarang keuzuran.
▪️ Disebutkan juga ciri ciri dan sifat sifat golongan munafik dan azab yang telah Allah sediakan kepada mereka, dan ciri ciri dan sifat sifat orang beriman dan ganjaran yang telah Allah sediakan kepada mereka. Setelah mengetahui sifat sifat ini, nilailah hati dan amalan kita di pihak manakah yang kita lebih dekat dengan mereka.
▪️ Larangan terhadap Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada meminta bantuan orang orang munafik untuk berjihad kerana tindak tanduk mereka adalah sentiasa untuk melemahkan semangat dan melambatkan pergerakan orang orang Islam. Kemudian terdapat larangan memohon keampunan terhadap mereka dan larangan disolatkan jenazah mereka.
▪️Antara ciri ciri hati yang sakit adalah merasa gembira jika terlepas daripada melakukan ibadah dan ketaatan. Seperti mana orang orang munafik mereka gembira jika tidak dapat ikut berperang bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat.
▪️Antara ciri ciri yang membezakan orang orang yang beriman dengan orang orang munafik adalah perbuatan amar makruf (menyuruh kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran). Orang orang munafik mereka menyeru kepada kemungkaran dan mencegah kepada kebaikan.
▪️ Pada ayat yang ke-79 terdapat penjelasan terhadap sifat orang orang munafik iaitu mereka suka mengejek orang yang bersedekah dan mereka (orang munafik) pula tidaklah bersedekah.
Maka selepas mengetahui bahawa sebaik baik manusia selepas Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu para sahabat tidak selamat daripada ejekan mereka bagaimana pula dengan muslim pada zaman ini?
▪️Juga terdapat peringatan kepada orang orang yang beriman agar mereka tidak merasa rendah diri jika hanya dapat menyumbangkan sedikit harta atau tenaga buat perjuangan Islam kerana apa yang penting adalah niat yang ikhlas dan bukan semata mata jumlah yang banyak.
▪️Pada akhir juzuk ini terdapat isyarat kepada ketinggian kedudukan dan kemuliaan peribadi para sahabat iaitu mereka merasa sedih jika tidak dapat menunaikan perintah Allah SWT walaupun pada hakikatnya sebahagian daripada mereka memiliki keuzuran yang dimaafkan.
Ini berbeza dengan orang orang munafik yang mana mereka sentiasa mencari jalan untuk lari daripada tanggungjawab dan ketaatan.
▪️Pada juzuk ini diteruskan dengan penceritaan tentang kepelbagaian lapisan masyarakat di Madinah yang terbina daripada golongan munafiqin dan golongan arab badwi (yang buruk dan baik) kemudian golongan yang beriman -muhajirin dan ansar- Penyebutan secara berturutan dan berperingkat bermula daripada munafiqin -> arab badwi -> orang beriman; seolah olah mengisyaratkan kelebihan orang orang yang beriman di Madinah dan menunjukkan bahawa mereka berada di puncak keimanan dan ketaqwaan.
▪️Pada ayat ke-96 menjelaskan bahawa keredaan Allah SWT mesti lebih diutamakan ke atas keredaan manusia dan jika seseorang mendapat keredaan Allah maka dia akan mendapat keredaan orang yang soleh dan orang yang beriman.
▪️Hidup yang jauh daripada ulama dan pendakwah adalah punca kepada berlakunya kejahilan. Seperti mana yang telah berlaku pada sebahagian orang arab badwi (pendalaman) yang disifatkan oleh Al-Quran sebagai أشد كفرا ونفاقا (lebih kuat kekafiran dan kemunafikan) kerana jauhnya mereka daripada memahami Al-Quran dan Sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم. .
▪️Sepatutnya bagi seorang Muslim untuk tidak memandang sedekah dan zakat yang mereka keluarkan sebagai kerugian seperti mana yang disangka oleh sebahagian golongan arab badwi kerana pada hakikatnya setiap sedekah dan zakat merupakan sebuah 'pelaburan' yang akan memberikan keuntungan di dunia dan juga akhirat.
▪️Pada ayat ke-100 menjelaskan bahawa Allah SWT meredai golongan muhajirin dan ansar, maka barang sesiapa yang membenci golongan yang telah diredai oleh Allah ini maka mereka telah terpesong dari jalan kebenaran.
▪️ Diceritakan juga tentang Masjid Ḍirār -yang dibina oleh kaum munafiqin di Madinah- dan niat buruk mereka di sebalik pembinaan masjid itu. Maka atas sebab itu Allah SWT telah melarang Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan para sahabat daripada bersolat di masjid itu.
▪️Kemudian Allah SWT menyebutkan tentang masjid yang lebih layak untuk didirikan solat padanya iaitu masjid yang telah dibina di atas dasar taqwa. Ini merupakan peringatan bahawa asas bagi penerimaan segala amalan adalah niat yang tersembunyi di dalam hati dan bukannya bentuk dan paras luaran.
▪️Allah SWT juga menyebutkan bahawa Dia mencintai mereka yang menyucikan diri. Penyucian diri ini merangkumi penyucian rohani dan juga jasmani.
▪️ Allah SWT juga menyebutkan tentang sifat sifat orang beriman yang 'menjual' diri mereka untuk berjuang di jalan Allah dan kemudian terdapat larangan pemohonan keampunan terhadap orang orang musyrik.
▪️Untuk melihat nilai sebenar 'transaksi jual beli' ini lihatlah siapakah pembelinya? - Allah SWT, apakah barang yang dijual itu? - jiwa dan harta yang amat disayangi oleh manusia, apakah gantinya? sebesar besar nikmat; syurga yang kekal abadi. Ini adalah jual beli yang tiada kerugian padanya!
▪️Ayat ke-117 -118 menceritakan tentang keampunan dan keredaan Allah terhadap Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan para sahabat yang menyertai Perang Tabuk yang disifatkan sebagai ساعة العسرة (saat saat yang sukar). Kemudian diceritakan tentang tiga orang sahabat yang tidak menyertai peperangan ini dan pengampunan Allah ke atas mereka.
▪️Ketika mana hati merasa berdosa dengan maksiat janganlah berputus asa daripada taubat dan ingatlah kepada kisah tiga orang sahabat yang tidak ikut serta ke Perang Tabuk. Renungi bagaimana kesungguhan mereka dalam bertaubat kepada Allah sehinggalah Dia menurunkan ayat untuk mengampuni mereka.
▪️Pada ayat ke-122 dijelaskan kepentingan untuk sebahagian Umat Islam untuk merantau dan mendalami ilmu agama agar mereka dapat memperingatkan kaum mereka selepas mereka pulang.
▪️ Penghujung surah Al-Taubah berbicara tentang interaksi dan hubungan dua golongan manusia dengan Al-Quran iaitu orang yang beriman dan orang yang kafir. Renungilah ayat ayat ini dan ambillah pengajaran agar kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi.
▪️Disebutkan juga empat sifat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu عزيز عليه ما عنتم (menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu), حريص عليكم (sangat inginkan kebaikan buat kamu), رؤوف رحيم (sangat belas ehsan dan sayang kepada kamu). Selepas mengetahui sifat sifat baginda ini adakah lidah kita masih lagi berat untuk mengucapkan selawat dan salam ke atas baginda صلى الله عليه وسلم?
▪️Topik utama surah ini adalah berkisar tentang keimanan terhadap qada dan qadar yang merupakan salah satu daripada rukun iman.
▪️Dinamakan surah ini dengan Nabi Yunus عليه السلام adalah bersempena dengan umat baginda yang mana mereka adalah satu satunya kaum yang telah beriman kepada Allah SWT keseluruhan mereka tanpa ada pengecualian. Maka dinamakan surah ini dengan nama kaum baginda sebagai isyarat kepada kemuliaan mereka.
▪️Surah ini dimulakan tentang wahyu dan hikmah daripada penciptaan dan diakhiri dengan perintah dan galakan untuk mengikuti wahyu kerana puncak dalam meraih kehikmahan adalah dengan mengikuti wahyu Allah SWT.
▪️Pada permulaan Surah Yunus Allah SWT telah menyebutkan beberapa tanda kekuasanNya pada perciptaan dan ayat ayat ini memberikan perumpamaan dan contoh dalam membuktikan kewujudanNya dan keagunganNya.
▪️Pada hakikatnya surah ini telah memberikan fokus untuk menjawab keraguan keraguan manusia tentang keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan cara menyeru mereka untuk berfikir tentang perciptaan makhluk dan hikmah disebaliknya agar dapat sampai kepada natijah; tiada sesuatu pun yang diciptakanNya dengan sia sia dan setiap perintah dan laranganNya mengandungi pelbagai hikmah.
▪️ Perdebatan dengan kaum musyrikin dan cabaran terhadap mereka dengan Al-Quran ini.
▪️Ketika menyifatkan tentang madu dalam surah Al-Nahl Allah SWT menyebutkan فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ (padanya terdapat penawar). Tetapi ketika menyifatkan tentang Al-Quran dalam surah ini iaitu pada ayat ke-57, Allah mengatakan bahawa ia sendiri merupakan penawar bagi penyakit, وَشِفَاءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ (menjadi penawar bagi penyakit di dalam hati). Sesuatu yang 'merupakan penawar' adalah lebih hebat daripada sesuatu yang 'di dalamnya terdapat penawar'. Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan isyarat kepada ketinggian dan kehebatan Al-Quran.
▪️ Sebaik baik kedudukan bagi seorang hamba adalah dengan menjadi wali Allah. Tetapi bagaimanakah seseorang dapat menjadi wali Allah? Ayat ini menjelaskan sifat pentingnya iaitu : أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ - 10:62 Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ - 10:63 (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. ___ Jika seseorang mendakwa kewalian tetapi tidak bersifat dengan sifat ini iaitu keimanan dan ketaqwaan maka sesungguhnya dia telah berbohong.
▪️Antara ciri ciri wali Allah adalah mereka tidak ada sifat sedih dan dukacita. Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan tidak ada sifat sedih dan duka cita ini? Kata Ibn Asyur, ayat ini bukanlah menafikan terus sifat sedih daripada mereka kerana Nabi صلى الله عليه وسلم sendiri melalui fasa fasa kesedihan dalam hidup baginda tetapi kesedihan ini hanyalah emosi yang tidak bersifat tidak kekal dan berlalu dengan kesabaran. Tetapi baginda tidak sekali sekali ditimpa dengan kesedihan yang berterusan, yang berpunca dari kehinaan dan kekalahan terhadap musuh. Kesedihan seperti inilah yang dinafikan sifatnya daripada wali wali Allah SWT
▪️Disebutkan dalam juzuk ini kisah Nabi Nuh dan kemudian Nabi Musa dan Firaun, dan fokus kisah ini adalah pada saat saat terakhir tenggelamnya firaun ke dalam laut sebagai pengajaran kepada umat yang terkemudian bahawa tidak akan bermanfaat iman ketika waktu kematian bagi mereka yang tidak beriman sebelum itu telah tiba.
▪️Terdapat perintah kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم agar baginda tetap teguh berada di atas iman dan mengikuti wahyu yang diturunkan dan bersabar sehingga Allah SWT memberikan perintahNya yang seterusnya kepada baginda.
▪️Tema utama surah ini adalah kesederhanaan dan keseimbangan dalam pegangan dan ibadah.
▪️Ini terzahir pada perintah agar Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan umatnya beristiqamah di atas apa yang telah diperintahkan dan tidak melampaui batas (ayat 112), tidak cenderung berpihak kepada pihak yang zalim (ayat 113), menjaga solat (ayat 114) dan bersabar (ayat 115). Pada perintah agar terus beristiqamah terdapat penyelesaian bagi masalah kehilangan motivasi dan semangat dalam berdakwah yang akan menghentikan kerja kerja islah. Manakala perintah agar tidak melampaui batas mengubati isu kekerasan yang sering kali disalah gunakan pada bukan tempat dan keadaannya. Pada perintah agar tidak cenderung kepada orang yang zalim adalah perintah agar tidak menyerah kalah kepada musuh dan tidak terpegun dengan apa yang mereka miliki agar orang Islam tidak kehilangan jati diri mereka.
▪️Oleh kerana ketiga tiga perintah ini amat berat untuk dilaksanakan apatah lagi dengan keseimbangan, maka Allah memerintahkan Umat Islam agar mendirikan solat dan melazimi sifat sabar kerana kedua dua ini adalah sebab bagi pertolongan Allah SWT. Kata Hasan Al-Basri, "maha suci Allah yang menjadikan الاعتدال (kesederhanaan) dalam beragama pada 'dua jangan' iaitu لا تطغوا (jangan melampaui batas) dan لا تركنوا (jangan cenderung kepada orang yang zalim).
▪️Dinamakan surah ini bersempena dengan Nabi Hud عليه السلام kerana nama baginda disebut sebanyak 5 kali di dalamnya dan juga kerana kisah yang diceritakan tentang baginda adalah yang terpanjang di dalam surah ini berbanding surah surah yang lain.
▪️Pada permulaan Surah Hud terdapat penjelasan tentang keagungan Allah SWT dan keluasan ilmuNya serta jaminanNya terhadap rezeki setiap makhluk.
▪️Antara tabiat manusia adalah jika dia mendapat nikmat dia akan merasa aman dan selamat daripada ditimpa musibah pada masa akan datang. Andai ditimpa musibah maka dia akan berputus asa daripada mengharapkan kebaikan daripada berlaku.
▪️Antara bukti keagungan Al-Quran adalah ia mencabar setiap mereka yang mendustakannya agar mendatangkan sesuatu yang seperti Al-Quran. Ada cabaran agar mendatangkan sesuatu yang sama dengan Al-Quran, atau yang sama dengan 10 surahnya tetapi mereka tetap tidak mampu walaupun mereka dikenali sebagai bangsa yang mahir dalam seni bahasa.
▪️Dalam surah ini juga terdapat kisah dakwah Nabi Nuh عليه السلام kepada kaum baginda dan perincian kisah mereka. Kemudian terdapat perintah Allah agar baginda membina kapal di atas bukit dan perincian peristiwa taufan dan banjir besar. Pada kisah ini terdapat pengajaran yang amat banyak untuk direnungi dan diamati. Tambahan pula kisah Nabi Nuh yang terpanjang dan terperinci di dalam Al-Quran terdapat pada surah ini.
▪️Pada dialog antara Nabi Nuh عليه السلام dan anak baginda terdapat bukti bahawa cinta kepada Allah di hati orang yang beriman lebih besar daripada apa apa cinta yang lain walaupun terhadap darah keturunan mereka.
▪️Melalui kisah ini kita mendapat banyak pengajaran, antaranya : menjaga adab dalam bergaul dengan kaum kerabat yang kafir -apatah lagi jika beriman- kerana berharapkan semoga Allah SWT akan memberikan hidayahNya kepada mereka.
▪️Juga terdapat mesej bahawa kemulian dan kehinaan seseorang bukan terletak pada harta dan pangkat tetapi pada mengikuti kebenaran. Seperti mana para pemimpin kaum Nabi Nuh yang telah mengejek baginda kerana hanya mereka yang miskin dan lemah sahaja yang menerima dakwah baginda. Akhirnya mereka yang sombong ini telah dihancurkan oleh banjir dan taufan.
▪️Pada kisah Nabi Hud kita memahami bahawa istighfar adalah sumber kekuatan maknawi (spiritual) dan hissi (fizikal) bagi orang yang beriman. Ianya juga merupakan sebab kepada turunnya hujan dan nikmat nikmat yang lain.
▪️Kaum Nabi Hud telah mendustakan baginda dan telah mentohmah baginda dengan sifat gila tetapi baginda bersabar dan bertawakkal kepada Allah. Akhirnya Allah memenangkan baginda ke atas sekalian kaumnya.
▪️Pada surah ini juga diceritakan kisah para nabi yang lain dan apakah ujian yang mereka telah lalui dalam berdakwah kerana Allah. Melalui kisah kisah mereka terzahir bagaimana besarnya kasih sayang dan belas ihsan mereka terhadap kaum mereka yang tidak beriman, tetapi tetap tidak ada jalan keluar dan keselamatan daripada azab dan kehancuran buat mereka yang berdegil dan mengikut hawa nafsu.
▪️Pada kisah Nabi Syuaib عليه السلام terserlah kecaknaan Islam terhadap ekonomi dan terdapat penekanan terhadap pengawasan Allah padanya.
▪️Terdapat isyarat yang ringkas tentang kisah Nabi Musa عليه السلام dan firaun pada surah ini.
▪️Terdapat perkhabaran yang mengerunkan tentang peristiwa hari kiamat dan penjelasan pengakhiran mereka yang sengsara dan seterusnya pengakhiran mereka yang bahagia.
▪️Surah hud bermula dengan perintah agar menyembah Allah semata mata (ayat 2) dan diakhiri juga dengan perintah sama (ayat 123). Ini untuk menjelaskan tujuan daripada perciptaan manusia iaitu untuk beribadat kepadaNya.
▪️Tema surah ini adalah pengakhiran yang baik bagi mereka yang bersabar. Juga mesej bahawa kesakitan pasti akan sembuh, kehilangan pasti akan berganti, kesedihan pasti akan hilang dan kesusahan pasti akan berakhir.
▪️Kisah Nabi Yusuf ini disifatkan oleh Al-Quran sebagai أحسن القصص (sebaik baik kisah). Ini kerana pada kisah ini terdapat pelbagai perubahan daripada satu keadaan ke keadaan yang lain; daripada ujian kepada ujian yang lain, daripada ujian kepada kurniaan, daripada kehinaan kepada kemuliaan, daripada perhambaan kepada menjadi raja, daripada perpisahan dan perpecahan kepada pertemuan dan kesatuan, daripada kesedihan kepada kegembiraan, daripada kesempitan kepada keluasan dan lain lain. Maka sebab inilah kisah Nabi Yusuf adalah sebaik baik kisah.
▪️Pada permulaan surah ini terdapat isyarat kepada kepentingan memberikan perhatian kepada percakapan anak anak kecil.
▪️Juga terdapat kisah kedengkian saudara saudara yusuf terhadap baginda dan ujian terhadap baginda dengan kecantikan paras rupa. Tetapi baginda tabah dan teguh menghadapi ujian ini dan akhirnya pengakhiran yang baik adalah buat baginda.
▪️ Boleh jadi musuh kita ingin menyakitkan kita bahkan sehingga membunuh tetapi ingatlah kepada firman Allah ini : إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.)
▪️ Disebutkan pada kisah ini peristiwa godaan Isteri Al-Aziz terhadap Nabi Yusuf عليه السلام dan perkara yang menyelamatkan baginda daripadanya iaitu keikhlasan dan kejujuran baginda kepada Allah SWT. Di sini menunjukkan kepentingan bersifat ikhlas pada setiap masa.
▪️ Kisah Nabi Yusuf عليه السلام menunjukkan kepada kepentingan berdakwah kepada Allah SWT dan jika dakwah itu telah sebati ke dalam jiwa seseorang, dirinya tidak akan berhenti daripadanya walaupun berada dalam penjara.
▪️ Kisah Nabi Yusuf عليه السلام pada juzuk ini diteruskan lagi dengan permintaan baginda agar dijadikan sebagai orang yang menjaga perbendaharaan negara Mesir. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم melarang daripada meminta minta jawatan. Bagaimana ditafsirkan permintaan Nabi Yusuf عليه السلام ini?
▪️Permintaan Nabi Yusuf عليه السلام terhadap jawatan adalah sebagai satu jalan untuk baginda berdakwah kepada Allah SWT, juga untuk menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman sesama manusia dan juga bagi melaksanakan kebaikan yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain. Maka permintaan jawatan yang dilakukan oleh baginda ini bukanlah untuk kepentingan peribadi baginda sendiri tetapi adalah untuk mencapai maslahah dan menolak mudarat yang lebih besar untuk rakyat dan negara Mesir.
▪️Seterusnya disebutkan tentang peristiwa kedatangan saudara saudara baginda ke Mesir yang datang meminta bantuan makanan dan permintaan baginda kepada mereka agar membawa saudara kandung baginda bersama sama dengan mereka. Hikmah peristiwa ini amat besar iaitu sebagai penambahan ujian kepada Nabi Yaqub عليه السلام bagi mengangkat darjat baginda di sisi Allah.
▪️ Nabi Yaqub عليه السلام berpesan kepada anak anak baginda agar mereka tidak masuk melalui pintu yang sama ketika pergi ke Mesir disebabkan oleh jumlah mereka yang ramai, sebaliknya masuk melalui pintu pintu yang berbeza. Pada peristiwa ini terdapat pengajaran walaupun keyakinan Nabi Yaakub عليه السلام terhadap Allah SWT telah tinggi tetapi baginda masih mengambil asbab atau usaha sebelum berserah kepada Allah SWT. Bagaimana pula dengan kita?
▪️Peristiwa saudara saudara Nabi Yusuf menghadap baginda di istana dan kejadian kehilangan cupak milik raja dan bagaimana melalui peristiwa itu telah dijadikan sebab untuk baginda mengambil saudara kandung baginda agar tinggal bersama baginda.
▪️Terdapat kisah yang amat menyentuh hati tentang kesabaran Nabi Yaqub عليه السلام dan bagaimana tingginya sangka baik baginda kepada Allah SWT. Walaupun semua perkara dalam hidup baginda telah berubah tetapi keyakinan dan kepercayaan baginda terhadap Allah SWT tetap teguh dan kuat. Pada akhirnya Allah SWT telah mengurniakan baginda jalan keluar daripada segala ujian yang dihadapi. Kata Qatadah rahimahullah, ‘’Tidak diturunkan ujian ke atas Nabi Yaqub عليه السلام melainkan baginda akan sentiasa menghadirkan perasaan sangka baik kepada Allah di sebalik semua ujian itu.”
▪️Pada ayat ke 83 Nabi Yakub menyifatkan bahawa kesabaran baginda adalah صبر جميل (sabar yang indah). Apakah yang dimaksudkan dengan sabar yang indah ini? Iaitu sabar yang tidak diiringi dengan keluhan. Semoga Allah mengurniakan kepada kita sifat sabar seperti ini. Ameen.
▪️ Dinyatakan juga apakah kesan memiliki pengetahuan terhadap kesempurnaan sifat dan kesucian nama Allah SWT dalam menghadapi kesusahan dan ujian hidup. Kata Nabi Yaqub عليه السلام : قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ "(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya." [Yusuf : 86] Iaitu Allah SWT Maha Mengetahui setiap satu perkara maka baginda bersangka baik kepadaNya.
▪️ Nabi Yusuf عليه السلام telah menyimpulkan dua perkara yang telah mengangkat darjat baginda ke tahap yang baginda telah sampai iaitu dengan ketakwaan dan kesabaran. Oleh kerana baginda telah merealisasikan dua sifat ini maka baginda telah meraih kejayaan yang besar. إِنَّهُ مَن يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ "Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan." [Yusuf : 90] Pada ayat ini juga terdapat isyarat bahawa dua perkara ini iaitu ketakwaan dan kesabaran adalah sebaik baik amalan yang boleh dilakukan dalam menghadapi hasad para pendengki.
▪️Selepas segala kesabaran yang telah dilakukan oleh Nabi Yusuf عليه السلام dalam menghadapi ujian yang sangat berat dan setelah dikurniakan kedudukan yang tinggi di bumi, baginda tidak lupa untuk mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT dan mengiktiraf kurnianNya serta memperingatkan kepada ayah baginda segala nikmat itu agar baginda ikut sama merasai sifat syukur.
▪️Akhirnya baginda memohon kepada Allah agar dimakbulkan permintaan baginda supaya diwafatkan sebagai orang Islam.
▪️ Di manakah mereka yang memutuskan hubungan dengan saudaranya daripada tindakan Nabi Yusuf عليه السلام? Tidakkah mereka ingin mengambil pengajaran daripada baginda dalam mengekalkan hubungan kekeluargaan.
▪️Pada hari pembukaan kota Mekah baginda juga mengambil tindakan yang sama pada ahli keluarga baginda yang menentang baginda iaitu dengan mengampunkan mereka dan menghubungkan semula silaturrahim dengan mereka.
▪️Sepanjang surah ini berulang kali disebutkan tentang ihsan (berbuat baik) dan ganjaran bagu muhsinin (orang yang berbuat kebaikan). Ini disebutkan pada ayat ke 22, 36, 56, 78 dan 90 pada surah ini.
▪️Pada tindakan dan perbuatan Nabi Yusuf عليه السلام juga terzahir sifat ihsan dalam banyak situasi, iaitu ketika baginda mengajak dua orang permuda yang bersama baginda dalam penjara agar beriman kepada Allah SWT dan tidak hanya sekadar menafsirkan mimpi mereka. Baginda juga tidak berpada dengan hanya menafsirkan mimpi Raja Mesir bahkan mencadangkan kepada baginda langkah langkah menyelamatkan Mesir daripada bencana kemarau. Juga baginda tidak menghukum adik beradik baginda yang telah menzalimi baginda bahkan baginda memaafkan kesalahan mereka. Semua peristiwa ini mengisyaratkan bahawa sifat ihsan adalah semulia mulia akhlak dan dengan ihsan seseorang akan mencapai tahap ketaqwaan dan keimanan yang tertinggi.
▪️ Surah Yusuf ini ditutup dengan menyebutkan tanda kekuasan Allah pada perciptaan makhluk dan perintah untuk mengambil ibrah daripada kisah kisah Al-Quran dan bahawasanya kisah kisah ini bukanlah semata mata kisah yang disebutkan secara kebetulan bahkan dengan bertujuan!
▪️Dinamakan surah ini bersempena dengan al-ra'd iaitu guruh yang mana melalui guruh ini Allah telah menghimpunkan dua perkara yang berlawanan padanya iaitu guruh adalah penyebab kepada kegerunan dan ketakutan kepada manusia dan dalam masa yang sama ia juga membawa kebaikan kepada manusia melalui air hujan yang kebiasaannya turun bersamanya.
▪️Pada permulaan surah ini iaitu ayat yang pertama disebutkan bahawa kebanyakan manusia itu tidak beriman dan ditutup juga dengan pemberitahuan bahawa orang orang kafir tidak beriman kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Ini sebagai peringatan bahawa mereka tidak menerima kebenaran dan tidak pula mampu membawa risalahnya walaupun hujahnya jelas dan kuat.
▪️ Surah Al-Ra’d dimulakan dengan menyebut tentang perciptaan Allah yang merupakan bukti kepada kekuasaanNya. Disebutkan tiga tanda yang membuktikan kekuasaanNya secara berturut turut yang meniupkan ke dalam hati seseorang perasaan takut dan seterusnya mengagungkanNya.
▪️Seterusnya didatangkan peringatan bahawa ibadat hanyalah khusus buat Allah SWT semata mata dan diteruskan pula dengan menyebut tanda tanda kekuasaan Allah pada alam semesta dan diri manusia.
▪️Ayat ke-11 menjelaskan tentang sunnatullah dalam penciptaan yang tetap dan tidak akan berubah adalah; maksiat menghilangkan nikmat nikmat. Maka sesiapa yang ingin agar nikmat yang dimilikinya berkekalan maka janganlah dia bermaksiat kepada Allah SWT dan janganlah mengundang kemurkaan Allah dengan perbuatan dosa.
▪️ Pada firman Allah SWT : وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الْأَرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَىٰ ۗ "Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat." [Al-Ra'd : 31] Disebutkan perkara yang mengagumkan tentang kesan Al-Quran kepada hati dan jiwa yang mentadabburinya dan yang hidup di bawah naungannya.
▪️Pada ayat ke-37 disebutkan tentang Al-Quran yang diturunkan di dalam bahasa Arab. Ini menjadi isyarat kepada galakan untuk mempelajari dan mengambil cakna akan bahasa Arab kerana ianya adalah asas bagi memahami Al-Quran.
▪️Disebutkan sepuluh sifat orang beriman pada ayat 19 - 23. Barang siapa yang mewujudkan sifat sifat ini di dalam dirinya maka ganjarannya adalah syurga yang kekal abadi.
▪️Dinamakan surah ini bersempena dengan Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah sebagai pengabadian terhadap keperibadian baginda yang hebat, yang mana Al-Quran telah menyifatkan baginda sebagai أمة (satu umat) walaupun baginda berseorangan dalam menyampaikan dakwah dan tauhid serta kesyukuran kepada Allah SWT. Maka surah ini memperincikan keperibadian baginda yang agung ini.
▪️Tema surah ini adalah menjelaskan kesatuan risalah yang dibawa oleh para rasul iaitu mereka datang membawa perintah agar manusia mentauhidkan Allah dan tidak menyembah selainNya.
▪️ Permulaan surah Ibrahim mengisahkan tentang Nabi Musa dan para rasul عليهم السلام yang telah diutuskan kepada kaum mereka dan bagaimana mereka bersabar dan bertawakkal ketika mana disakiti dan akhirnya mereka berjaya.
▪️ Disebutkan tentang peistiwa yang menggerunkan yang akan berlaku di hari kiamat dan bagaimana syaitan syaitan akan berlepas diri daripada pengikut mereka. Maka berhati hatilah daripada diperdayakan oleh syaitan ketika di dunia kerana jika kita mengikuti mereka ketika di dunia maka di akhirat kelak mereka akan berlepas diri daripada kita.
▪️Terdapat juga perumpaan tentang kalimah tayyibah (baik) dan kalimah khabithah (buruk) dan perhitungan tentang nikmat nikmat Allah, adakah kita telah mensyukurinya?
▪️Pada ayat ke-42 terdapat peringatan agar manusia tidak rasa lemah dan terpedaya dengan panjangnya tempoh kezaliman yang berlaku kerana Allah SWT telah memberitahu bahawa Dia tidak sekali sekali lalai daripada kezaliman itu dan akan membalasnya dengan azab api neraka.
▪️Pada kisah kedatangan Nabi Ibrahim عليه السلام ke Mekah terdapat pengajaran yang indah tentang tawakkal dan membesarkan dan mengagungkan perintah Allah SWT.
▪️ Pada penutup surah ini disebutkan pengakhiran golongan yang zalim dan keadaan orang yang berdosa pada hari digantikan bumi dan langit dengan bumi dan langit yang lain. Maka kerugianlah bagi orang orang yang zalim pada hari yang menggerunkan itu.
▪️Dinamakan surah ini sebagai Al-Hijr (batu) bersempena dengan kisah kaum Nabi Soleh iaitu Thamud yang mana mereka dikenali dengan kemahiran mengukir batu batu bukit untuk dijadikan rumah. Kisah mereka disebutkan pada ayat ke 80 surah ini. Sehingga kini tinggalan kaum Thamud masih lagi wujud dan dikenali sebagai Madain Soleh yang terletak di Arab Saudi.
▪️Tema surah ini adalah perlindungan dan penjagaan Allah terhadap agamanya. Renungan terhadap surah ini menunjukkan bahawa surah ini berbicara tentang 'perlindungan dan penjagaan' bermula daripada awal surah sehinggalah ke akhir surah.
▪️Pada ayat 9 disebutkan tentang perlindungan Allah SWT terhadap kitabNya iaitu Al-Quran. Pada ayat ke 16-17 dijelaskan tentang penjagaan Allah SWT terhadap langit. Seterusnya pada ayat ke 20-21 berbicara tentang penjagaan Allah SWT terhadap rezeki. Pada ayat ke 22 dijelaskan penjagaan Allah SWT terhadap air hujan yang diturunkan ke bumi.
▪️Seterusnya pada ayat ke 39-40 disebutkan tentang perlindungan Allah SWT terhadap Nabi Adam عليه السلام dan zuriat keturunan baginda. Kemudian diceritakan juga tentang perlindungan Allah SWT terhadap Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Syuaib dan Nabi Soleh عليهم السلام. Akhir sekali disebutkan tentang perlindungan dan penjagaan Allah SWT terhadap Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu pada ayat ke 95.
▪️Pada permulaan surah ini disebutkan tentang Al-Quran iaitu pada ayat yang pertama dan diakhiri dengan perintah agar teguh melaksanakan perintah sehingga tibanya kematian. Ini mengisyaratkan bahawa sebab yang paling besar dalam membantu seseorang dalam keteguhan beragama adalah Al-Quran.
▪️Surah Al-Hijr bermula dengan Allah mengkhabarkan bahawa Dia menjaga dan melindungi kitabNya iaitu Al-Quran dan kemudian menceritakan tentang apa yang berlaku kepada para anbiya sebelum Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai pengubat hati buat baginda.
▪️Terdapat juga peringatan tentang kehebatan penciptaan makhluk yang telah dicipta oleh Allah SWT dan tentang hari kebangkitan dan dalil dalil yang membuktikan ia akan berlaku.
▪️Pada ayat ke-3 terdapat peringatan bahawa terlalu sibuk berada dalam kesenangan dan kemewahan dan lain lain adalah punca yang melalaikan seseorang daripada melakukan amal kebaikan.
▪️Firman Allah SWT : وَالْأَرْضَ مَدَدْنَاهَا وَأَلْقَيْنَا فِيهَا رَوَاسِيَ وَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ شَيْءٍ مَّوْزُونٍ وَجَعَلْنَا لَكُمْ فِيهَا مَعَايِشَ وَمَن لَّسْتُمْ لَهُ بِرَازِقِينَ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ "Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya. Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu. Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya." Ayat ini menghilangkan kegusaran dan kebimbangan seorang insan tentang rezkinya. Bahawanya Allah SWT telah menjamin dan menyediakan segala galanya, hanya tinggal dirinya untuk berusaha dan bertawakkal kepadaNya.
▪️Terdapat kisah penciptaan manusia dan jin, perintah kepada Iblis untuk bersujud kepada Nabi Adam عليه السلام dan keengganan Iblis daripada bersujud dan bagaimana dia dihalau daripada syurga disebabkan oleh sifat sombong dan hasad. Seterusnya bagaimanakah usaha Iblis untuk mengindahkan maksiat agar kita turut binasa seperti mana dia telah binasa. Maka berhati hatilah daripada tipu daya Iblis.
▪️Juga terdapat isyarat bahawa Iblis tidak akan dapat menguasai seseorang manusia melainkan jika manusia tersebut yang membuka peluang kepadanya.
▪️Pada kisah Nabi Ibrahim عليه السلام diulang ulang perkataan البشرى (berita gembira) sedangkan ujian hidup baginda amatlah berat. Ini mengisyaratkan bahawa pada kesusahan pasti akan ada kesenangan.
▪️Pada kisah Nabi Lut عليه السلام pula dijelaskan tentang kesan bergelumang dengan hawa nafsu terhadap kerosakan akhlak dan kehilangan perasaan malu.
▪️Jika seorang mu’min membaca dan memahami ayat ini, نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ "Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh)." وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الْأَلِيمُ "Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya)." Dirinya akan berjalan menuju kepada Allah dengan perasaan harap dan takut yang seimbang, tidak berputus asa daripada rahmat Allah dan tidak pula bermudah mudahan dengan dosa dan maksiat.
▪️Pada akhir Surah Al-Hijr terdapat penawar bagi kegelisahan dan kesusahan hati iaitu dengan memperbanyakkan bertasbih dan beribadah. Renungilah tiga yang terakhir ini : وَلَقَدْ نَعْلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدْرُكَ بِمَا يَقُولُونَ "Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan." فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ "Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud." وَاعْبُدْ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأْتِيَكَ الْيَقِينُ "Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin."
▪️ Surah Al-Nahl ini turut dinamakan surah al-ni’ām (nikmat nikmat) kerana banyaknya disebutkan nikmat nikmat Allah dalam surah ini, maka renungilah isi surah ini dan perbanyakkanlah rasa syukur kepada pengurnianya iaitu Allah SWT.
▪️Walaupun yang dimaksudkan dengan nikmat di dalam surah ini adalah nikmat yang dapat dirasai oleh panca indera iaitu yang berkaitan dengan kenderaan, pakaian dan seumpamanya tetapi surah ini telah mengisyaratkan kepada kita satu nikmat yang paling besar daripada segala nikmat nikmat ini, iaitu nikmat penurunan Al-Quran, dan disebutkan di dalam surah ini tentang penurunan Al-Quran sebanyak tiga kali.
▪️Pada ayat ke 22 surah ini juga dijelaskan sebab kenapa manusia tidak beriman iaitu disebabkan oleh juhud (pengingkaran) dan istikbar (kesombongan).
▪️ Selepas disebutkan nikmat nikmatNya yang banyak, Allah SWT telah menceritakan kisah penduduk kampung yang mengingkari nikmat kurnian Allah dan bagaimana Dia telah menceritakan apakah hukumanNya ke atas mereka agar kita tidak ditimpa dengan apa yang telah berlaku kepada mereka.
▪️Pada surah ini juga disebutkan tentang contoh golongan yang bersyukur iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام dan bagaimana Al-Quran menyifatkan baginda sebagai أمة (sebuah umat) walaupun baginda hanyalah berseorangan.
▪️Allah SWT telah memerintahkan kepada lebah lebah pada ayat 28-29 agar mereka membuat sarang di gunung ganang, pokok pokok dan juga bangunan bangunan, kemudian agar mereka memakan segala jenis buah buahan dan bunga bungaan dan kemudian agar menuruti jalan jalan peraturan Allah SWT.
▪️Lebah telah melaksanakan segala perintah ini maka apakah hasilnya? Hasilnya adalah Allah mengeluarkan daripada perut lebah madu yang amat bermanfaat. Ini menjadi isyarat kepada manusia agar mereka turut mengikuti dan melaksanakan perintah perintah Allah SWT dan Dia SWT pasti akan mengeluarkan kebaikan kebaikan buat mereka.
▪️ Pada penutup surah ini terdapat galakan kepada pendakwah untuk berdakwah dengan hikmah dan mau’iẓah ḥasanah (peringatan yang baik), berdebat dengan cara yang lebih baik dan kemudian bersabar dengan segala ujian yang dihadapi.
▪️Surah ini dinamakan dengan nama Al-Isra' bersempena dengan peristiwa Al-Isra' wa Al-Mi'raj yang berlaku kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebelum hijrah baginda ke Madinah.
▪️Kisah ini merupakan mukjizat yang amat besar kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Pada surah ini terdapat pengumuman bahawa tanggungjawab menyampaikan kitab dan risalah telah berpindah daripada Bani Israel kepada umat Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
▪️Surah ini turut dinamakan sebagai Surah Bani Israel kerana ia menjelaskan kerosakan kerosakan yang telah dilakukan oleh mereka di muka bumi.
▪️Tujuan utama surah ini adalah untuk menjelaskan tentang ketinggian dan kemuliaan kedudukan Al-Quran. Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang Al-Quran : إِنَّ هَٰذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ (Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul) dan diakhiri juga dengan menyebutkan tentang Al-Quran : وَبِالْحَقِّ أَنزَلْنَاهُ وَبِالْحَقِّ نَزَلَ (Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat Kami turunkan Al-Quran).
▪️Ketinggian dan kemuliaan kedudukan Al-Quran diterangkan pada ayat ke 45, 58, 60, 73, 78, 79, 82, 89, 88, 105, 106 dalam surah ini. Berikanlah perhatian ketika membaca ayat ayat ini.
▪️Juga disebutkan tentang keistimewaan Al-Quran iaitu sebagai rahmat dan penawar. Juga terdapat seruan agar beriman kepada Al-Quran dan tidak mengabaikannya iaitu pada ayat ke 107, 108, 109.
▪️Permulaan Surah Al-Isra' berbicara tentang beberapa fakta yang penting tentang Masjid Al-Aqsa dan tentang perpindahan Bani Israel ke Palestin dan kerosakan yang telah mereka lakukan di dalamnya.
▪️Pada akhirnya, ayat ini menegaskan bahawa kekuasaan dan permilikan yang terakhir terhadap bumi yang diberkati ini adalah buat orang orang yang soleh.
▪️Penerangan bahawa Al-Quran ini adalah petunjuk kepada jalan yang paling tepat dan betul dalam semua perkara, sama ada pada ibadat, muamalat dan lain lain.
▪️ Seterusnya ayat surah ini berbicara tentang kehidupan dunia dan akhirat dan perbezaan mereka yang menginginkannya. مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا "Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah. وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُم مَّشْكُورًا Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. كُلًّا نُّمِدُّ هَٰؤُلَاءِ وَهَٰؤُلَاءِ مِنْ عَطَاءِ رَبِّكَ ۚ وَمَا كَانَ عَطَاءُ رَبِّكَ مَحْظُورًا Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun). انظُرْ كَيْفَ فَضَّلْنَا بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ ۚ وَلَلْآخِرَةُ أَكْبَرُ دَرَجَاتٍ وَأَكْبَرُ تَفْضِيلًا Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya."(Ayat 19-21)
▪️Terdapat 20 pesanan yang penting tentang keperibadian dan kehidupan bermasyarakat bermula pada ayat ke-23 sehingga ayat ke-37. Jika direnungi kesemua perintah ini menepati fitrah manusia yang sejahtera.
▪️Terdapat juga penghujahan dengan kaum musyrikin dan pembatalan hujah hujah mereka tentang amalan kesyirikan.
▪️Disebutkan juga dialog Iblis ketika penciptaan Nabi Adam عليه السلام dan penekanan terhadap usaha syaitan untuk menyesatkan kita dan perlindungan daripada godaan syaitan bergantung kepada tahap ubudiyyah (perhambaan) seseorang Insan kepada Allah SWT: إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ ۚ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ وَكِيلًا Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
▪️Terdapat pesanan daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم agar baginda tidak bergantung harap kepada kaum musyrikin walaupun sedikit bahkan agar sentiasa kembali dan bergantung harap kepada Allah SWT, serta disebutkan bersamanya juga pernolakan terhadap permintaan kaum musyrikin dan perdebatan dengan mereka. Dinyatakan juga tanda tanda kekuasaan Allah pada penciptaan.
▪️Pada penutup surah Al-Isra’ diceritakan kisah Nabi Musa عليه السلام yang didustai oleh fir’aun walaupun telah banyak mukjizat ditunjukkan kepada mereka sebagai pengubat jiwa kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
▪️Penutup surah ini juga berbicara tentang beberapa tujuan di sebalik penurunan Al-Quran dan kesan Al-Quran kepada hati ahlinya dan adab ketika membacanya di dalam solat.
▪️Surah ini berbicara tentang empat jenis ujian iaitu ujian terhadap agama, harta, ilmu dan kekuasaan. Disebabkan ujian terhadap agama yang berlaku kepada pemuda ashab al-kahfi adalah ujian yang paling berat maka surah ini dinamakan sempena mereka.
▪️Surah ini bermula dengan menyebut tentang Al-Quran iaitu pada ayat yang pertama dan diakhiri juga pada ayat ke-109 tentang Al-Quran. Oleh kerana surah ini berbicara tentang fitnah dan ujian maka amat sesuailah ia dimulakan dan diakhiri dengan Al-Quran kerana Al-Quran adalah sebaik baik pelindung bagi fitnah.
▪️ Ujian terhadap agama terdapat pada kisah Ashab Al-Kahfi. Kisah ini adalah contoh yang sentiasa relevan pada setiap waktu dan zaman buat mereka yang ingin mengikuti jalan kebenaran; bahawa keselamatan terhadap agama adalah dengan menjauhi tempat tempat yang boleh mengundang fitnah dan dengan bergantung kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan.
▪️Perkara yang akan menyelamatkan seseorang daripada fitnah terhadap agama ini disebutkan pada ayat ke-27 sehingga ayat ke-29 iaitu dengan mencari teman pendamping yang soleh, sentiasa mengingati hari akhirat dan membaca dan merenungi Al-Quran.
▪️Pada kisah Ashab Al-Kahfi ini Allah SWT mengabadikan sebutan keperibadian dan amalan mereka, dan bukannya nama atau bentuk tubuh mereka atau keturunan mereka. Ini menunjukkan kepada kepentingan amalan kebaikan.
▪️ Ujian terhadap harta tersingkap pada kisah seorang pemilik dua kebun yang mengingkari hari kebangkitan dan seorang lelaki yang soleh tetapi miskin dan bagaimana pengakhiran setiap seorang daripada mereka.
▪️Pada kisah ini terdapat isyarat bahawa keselamatan dan perlindungan terhadap harta adalah dengan cara mensyukuri pemberi nikmat itu dan dengan menggunakannya ke arah ketaatan. Juga dengan memahami hakikat dunia dan menyibukkan diri dengan akhirat.
▪️Pada ayat ke-50 diceritakan tentang permusuhan Iblis terhadap Nabi Adam عليه السلام dan anak keturunan baginda. Bahawasanya punca utama dan penggerak bagi fitnah di muka bumi adalah bermula dan berpunca daripada Iblis.
▪️ Ujian terhadap ilmu terdapat pada kisah Nabi Musa bersama Al-Khidr عليهما السلام . Pada kisah ini terdapat pengajaran kepada penuntut ilmu agar beradab, bersemangat tinggi, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar. Serta seorang pelajar hendaklah menyandarkan sesuatu ilmu kepada orang yang mengajarkannya dan beradab dengan gurunya dan tidak tergesa gesa dalam meraih ilmu.
▪️Manakala cara bagi melindungi diri daripada fitnah dan ujian ilmu adalah dengan sentiasa merendah diri dan tidak tertipu dengan ilmu yang dimiliki.
▪️Pada juzuk ini kisah Nabi Musa bersama Khidir عليهما السلام diteruskan dengan menceritakan sebab sebab disebalik perbuatan Khidir yang telah dipersoalkan oleh Nabi Musa.
▪️Iaitu Khidir telah merosakkan perahu milik seorang lelaki miskin (ayat ke-71), membunuh seorang anak muda (ayat ke-74) dan tidak mengambil upah menegakkan dinding yang hampir roboh (ayat ke-77).
▪️Hikmah di sebalik ketiga tiga perbuatan ini dijelaskan pada ayat ke 79, 80 - 81 dan 82. Pada ayat ayat ini menjelaskan bahawa Khidir عليه السلام melakukan kesemua perbuatan ini adalah kerana perintah dan ilham daripada Allah SWT dan bukan atas kehendak baginda sendiri.
▪️Seterusnya diteruskan dengan kisah yang keempat menurut turutan dalam surah ini iaitu kisah Zulqarnain yang menggambarkan ujian melalui kekuasaan. Cara untuk menyelamatkan diri daripada ujian ini adalah sentiasa beramal ikhlas kerana Allah SWT dan mengingati akhirat (ayat ke 103 - 104).
▪️Melalui kisah ini juga terdapat pengajaran kepada mereka yang memegang kuasa agar menggunakan kekuasaan mereka untuk menegakkan keadilan dalam kalangan manusia.
▪️Surah Al-Kahfi diakhiri dengan gambaran peristiwa hari kiamat dan menceritakan pengakhiran bagi orang orang kafir dan pengakhiran orang orang Islam.
▪️Pada ayat ke 109 disebutkan tentang keagungan dan keluasan ilmu Allah SWT yang mana jika lautan yang ada dijadikan dakwat untuk menulis kalam kalam Allah SWT nescaya dakwat itu akan habis terlebih dahulu sebelum selesai penulisan kalam kalamNya meskipun ditambah dengan lautan yang sebanyak itu pula. Ini kerana dakwat akan habis manakala ilmu Allah SWT tiada berpenghujung.
▪️Dinamakan surah ini bersempena dengan Maryam عليها السلام yang merupakan wanita yang paling mulia pada zaman tersebut. Penamaan surah ini dengan nama beliau adalah isyarat kepada kemuliaan beliau di sisi Allah SWT.
▪️Topik utama surah ini adalah kepentingan mewariskan pegangan agama kepada zuriat keturunan. Terdapat tiga contoh tauladan daripada kisah kisah yang disebutkan dalam surah ini.
▪️Contoh tauladan yang pertama (kepentingan mewariskan pegangan agama) adalah pada kisah Nabi Zakariyya عليه السلام pada ayat ke 2-15 daripada surah ini. Bagaimana baginda عليه السلام ingin mendapatkan zuriat bukan agar mendapat manfaat daripada anak tersebut ketika baginda berada di usia senja tetapi agar anak tersebut membawa dan menyebarkan risalah agama. Maka Allah SWT telah menganugerahkan kepada baginda Nabi Yahya عليه السلام.
▪️Contoh kedua adalah pada kisah Maryam bint Imran عليها السلام yang mana beliau merupakan kurniaan Allah SWT kepada ibunya selepas beliau bernazar untuk menjadikan anak ini sebagai khadam untuk Baitul Maqdis (rujuk surah Ali-Imran ayat ke-35). Melalui Maryam عليها السلام Allah SWT telah menganugerahkan Nabi Isa عليه السلام yang menjadi rasul kepada Bani Israel.
▪️Manakala contoh ketiga adalah yang berlawanan kepada dua contoh ini iaitu pada kisah Nabi Ibrahim عليه السلام bersama bapanya, di mana bapanya tidak mewariskan pegangan agama kepada baginda bahkan menentang dakwah yang dibawa oleh baginda. Maka Allah SWT menggantikan ujian ini dengan mengurniakan melalui zuriat baginda dua orang nabi yang mulia; Nabi Ishak dan Nabi Yakub عليهما السلام.
▪️Pada surah ini disebutkan juga tentang kesungguhan para anbiya yang lain untuk mewariskan agama sesama mereka seperti pada kisah Nabi Musa bersama Nabi Harun عليهما السلام.
▪️ Dalam surah ini disebutkan perkataan الرحمن (Yang Maha Pemurah) dan kata terbitannya sebanyak 18 kali. Carilah dimanakah kalimah rahmah ini disebutkan dan sebab ianya disebutkan. Semoga kita dapat meraih sifat pemurah Allah SWT.
▪️Surah ini membicarakan dengan cara yang tidak langsung berkenaan 5 faedah daripada sifat takwa. Ketika membaca surah ini berusahalah untuk mencarinya.
▪️ Surah ini bermula dengan kisah Nabi Zakariyya عليه السلام yang menunjukkan kekuasaan Allah SWT untuk mengurniakan baginda anak selepas telah rambut baginda telah beruban dan isterinya pula mandul. Maka adakah terdapat sebab lagi bagi sesiapa selepas baginda untuk berputus asa?
▪️Perincian kisah Maryam melahirkan Nabi Isa عليه السلام dan mukjizat baginda untuk bercakap ketika masih bayi dan mengatakan bahawa baginda ialah seorang hamba dan rasul. Maka bagaimanakah boleh terdapat golongan yang mendakwa bahawa Nabi Isa عليه السلام itu tuhan atau anak tuhan? Maha suci Allah.
▪️ Perdebatan Nabi Ibrahim عليه السلام bersama dengan ayahnya yang menyembah berhala dan bagaimana baginda berlemah lembut dengan ayah baginda dengan mengulang ulang panggilan يا أبتي (wahai ayahku). Pada kisah ini terdapat pengajaran yang amat besar buat seorang pendakwah agar berlemah lembut dengan kedua ibu bapa mereka ketika berdakwah.
▪️Disebutkan beberapa kisah para anbiya dan setiap daripada mereka terdapat sifat dan kelebihan yang amat baik untuk direnungi dan dicontohi. Ketika membacanya carilah teladan daripada mereka seperti; memenuhi janji, menyuruh ahli keluarga menunaikan solat, menyuruh menunaikan zakat pada kisah Nabi Ismail عليه السلام dan lain lain.
▪️Surah ini bermula dengan menjelaskan tentang sebab Al-Quran diturunkan iaitu untuk membawa kebahagian dan bukannya kesusahan (ayat ke-2) dan diakhiri juga dengan penegasan bahawa sesiapa yang berpaling daripada Al-Quran maka itulah orang yang sengsara dan tidak bahagia (ayat 124).
▪️Tema surah ini adalah Islam agama yang membawa kebahagian dan bukannya kesengsaraan. Ini tergambar antaranya pada kisah ahli sihir firaun yang beriman bagaimana keimanan menjadikan mereka teguh berhadapan dengan ancaman firaun dan juga pada kisah kisah yang lain.
▪️ Permulaan surah ini menceritakan tentang kelahiran Nabi Musa عليه السلام dan pertolongan dan penjagaan Allah buat baginda ketika bayi dan pada waktu waktu yang lemah. Perhatikan bagaimana Allah memelihara dan memperkenankan permohonan baginda serta memudahkan sebab sebab yang menjadi sumber kekuatan dakwah baginda.
▪️ Perasaan takut yang menimpa Nabi Musa عليه السلام ketika diperintahkan untuk berdakwah kepada Firaun dan melawan para ahli sihir telah digantikan dengan pertolongan Allah kepada baginda dan pertolongan saudara baginda iaitu Nabi Harun عليه السلام dan mukjizat mukjizat yang bersama dengan baginda. Maka yakinlah kepada Allah dan janganlah bersusah hati.
▪️ Para ahli sihir firaun pada waktu pagi adalah orang orang yang kafir tetapi pada penghujung hari berubah menjadi orang orang beriman yang taat. Renungilah bagaimana cepatnya kesan keimanan kepada hati dan jiwa mereka.
▪️Diceritakan juga kurniaan Allah kepada Bani Israel dengan mengarahkan mereka agar keluar dari Mesir ke Semenanjung Sinai sebelum menuju ke Syam, dan penenggelaman firaun dan kaumnya di hadapan mata mereka; untuk mengubat hati mereka daripada kekejaman firaun dan kaumnya.
▪️Samiriy telah mengukir patung lembu untuk disembah oleh Bani Israel ketika ketiadaan Nabi Musa bersama mereka dan dia menghias kebatilan yang diciptakannya dengan luaran yang indah untuk memperdayakan orang orang yang jahil. Maka berhatilah daripada penyeru kebatilan walau bagaimana sekalipun mereka mengindahkan kebatilan dan kejahatan mereka.
▪️ Pada penghujung surah taha disebutkan tentang keadaan orang yang mengingkari peringatan hari kiamat dan gambaran kesusahan dan keperitan yang berlaku pada hari tersebut.
▪️ Terdapat peringatan buat manusia tentang permusuhan Iblis kepada manusia pada kisah Nabi Adam dan godaan Iblis kepada baginda untuk kita berhati hati daripada musuh bapa kita yang pertama itu.
▪️ Ditutup surah ini dengan penenang jiwa kepada Nabi Muhamamad صلى الله عليه وسلم atas apa yang dikatakan oleh kaum musyrikin kepada baginda, dan meneguhkan baginda untuk berada di atas agama ini dan antara perkara yang paling penting yang dapat membantu melawan kejahatan musuh adalah dengan mendirikan solat dengan cara yang dituntut.
▪️Surah ini dinamakan Al-Anbiya’ (nabi nabi) adalah kerana di dalam surah ini disebutkan kisah beberapa orang nabi dalam turutan yang sangat indah dan pada kisah mereka ini terdapat penjelasan bahawasanya mereka adalah satu umat yang sama.
▪️Topik utama surah ini adalah untuk membuktikan kebenaran risalah dan penjelasan terhadap kesatuan tujuan perutusan para Nabi dan Rasul iaitu untuk menegakkan tauhid serta perlindungan dan penjagaan Allah SWT terhadap mereka.
▪️Surah ini bermula dengan memperingatkan tentang Hari Kebangkitan yang pasti akan berlaku dan bahawasanya ia telah hampir. Maka selepas mengetahui hakikat ini adakah kita telah membuat persiapan bagi menghadapinya?
▪️Pada ayat ke 10 ditegaskan bahawa segala kemuliaan dan kehebatan terhimpun pada pengikutan terhadap Al-Quran.
▪️Pada ayat ke 7 dan 25 terdapat penjelasan bahawa kesemua rasul diutuskan sebelum Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah dengan tujuan yang sama iaitu untuk menyampaikan ajaran tauhid.
▪️Pada ayat ke 12 -15 dan ayat ke 39 -41 terdapat penjelasan tentang balasan dan azab yang telah menimpa mereka yang mendustakan risalah dan dakwah para nabi dan rasul.
▪️Pada ayat ke 16 – 24 dan ayat ke 30 – 33 merupakan penegakan hujah dari sudut logik akal tentang keesaan Allah SWT iaitu melalui pemerhatian terhadap alam ciptaanNya.
▪️Ujian kesenangan dan kesusahan kepada manusia adalah bertujuan untuk menilai sifat syukur mereka ketika senang dan sifat sabar mereka ketika susah (ayat ke 35).
▪️Manakala pada ayat 46 dijelaskan bahawa jika manusia merasai sedikit sahaja azab Allah nescaya mereka akan terlupa segala nikmat nikmat yang mereka pernah rasai. Semoga Allah melindungi kita daripada azab seksaanNya.
▪️Pada kisah Nabi Ibrahim عليه السلام yang mana baginda telah menghancurkan berhala berhala sembahan kaum baginda terdapat pengajaran tentang kepentingan ketegasan yang disulami dengan hikmah ketika berdakwah, juga tentang kepentingan sentiasa bertawakkal kepada Allah SWT.
▪️Kisah baginda adalah kisah yang terpanjang di dalam surah ini kerana baginda adalah bapa bagi para nabi dan melalui zuriat keturunan baginda lahir ramai para nabi dan rasul عليهم الصلاة والسلام.
▪️Selepas kisah Nabi Ibrahim عليه السلام disebutkan kisah kisah para nabi yang lain. Kesemua kisah ini mengisyaratkan kepada kita bahawa mereka merupakan sebuah umat yang sama dengan akidah dan pegangan yang sama.
▪️Pada kisah kisah mereka ini terdapat contoh teladan yang indah tentang keteguhan mereka bertawakkal kepada Allah SWT yang mana dengan sebab itu Allah SWT telah menyelamatkan mereka ketika waktu sukar dan susah.
▪️Pada kisah Nabi Zakariyya عليه السلام iaitu ayat ke 90 terdapat rahsia kenapa doa baginda dan para nabi yang lain yang cepat dikabulkan oleh Allah SWT iaitu mereka يسارعون في الخيرات (bersegera dalam melakukan kebaikan) dan يدعوننا رغبا ورهبا (sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan dan takut) serta وكانوا لنا خاشعين (sentiasa khusyuk kepada kami).
▪️Pada ayat ke 94 dijelaskan bahawa syarat bagi penerimaan amal kebaikan adalah dengan seseorang itu beriman kepada Allah SWT. Tanpa keimanan amalan kebaikan akan tertolak.
▪️Pada ayat ke 97 – 104 diceritakan tentang beberapa gambaran kejadian yang akan berlaku di hari kiamat kelak.
▪️Manakala pada ayat ke 107 terdapat penjelasan terhadap keistimewaan risalah yang dibawah oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu baginda diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam manakala nabi nabi dan rasul rasul terdahulu diutuskan hanya untuk kaum mereka sahaja.
▪️Surah ini diakhiri juga dengan menyebutkan pengakhiran bagi golongan musyrikin dan tuhan tuhan sembahan mereka yang akan menjadi bahan bahan bakar bagi api neraka dan terdapat seruan agar mentauhidkan Allah SWT.
▪️Surah ini dinamakan sebagai Al-Haj (ibadah haji) kerana ia memperincikan amalan amalan haji dan syiar syiarnya. Topik utama surah ini adalah peranan ibadah haji dalam membina keperibadian Umat Islam.
▪️Surah ini bermula dengan perintah agar bertakwa kepada Allah iaitu pada ayat yang pertama dan diakhiri pads ayat ke 78 dengan penjelasan unsur unsur yang membina ketakwaan iaitu solat, zakat, jihad, amalan kebajikan dan pegangan yang teguh kepada Allah SWT. Ini kerana ketakwaan kepada Allah adalah asas bagi membina umat yang kuat dan juga merupakan asas bagi kejayaan dan kebahagian.
▪️Surah ini bermula dengan peringatan tentang huru hara hari kiamat dan peringatan daripada membantah perkara yang berhubung dengan Allah SWT tanpa ilmu dan mengikuti hasutan syaitan.
▪️Terdapat penghujahan dengan golongan musyrikin yang mengingkari hari kebangkitan iaitu dengan berhujah dengan permulaan perciptaan manusia dan bagaimana Allah SWT menghidupkan bumi yang telah kering kontang dan mereka akan dibangkitkan daripada kubur. Ini disebutkan pada ayat ke 5 – 7 pada surah ini.
▪️Pada ayat ke 18 surah ini dijelaskan bahawa kesemua makhluk di langit dan bumi bersujud kepadaNya dan dikhususkan penyebutan terhadap matahari, bulan dan bintang kerana ia adalah makhluk yang sering disembah selain Allah SWT. Ini menegaskan bahawa kesemua makhluk ini tunduk dan patuh kepada peraturan penciptaan Allah SWT maka bagaimanakah mereka boleh disembah menjadi tuhan?
▪️Seterusnya pada ayat ke 26 terdapat penceritaan tentang pembinaan kaabah oleh Nabi Ibrahim عليه السلام bersama perintah agar tidak disyirikkan Allah SWT dan dibersihkan kaabah untuk mereka yang bertawaf dan bersolat. Kemudian disebutkan tentang seruan mengerjakan haji.
▪️Kemudian terdapat penjelasan tentang tata cara perlaksanaan ibadah haji dan disebutkan beberapa rukun dan perkara sunat di dalamnya dengan fokus diberikan terhadap ketakwaan di dalam hati yang merupakan tujuan bagi ibadah ini. Juga disebutkan beberapa faedah dan kebaikan daripada amalan haji ini.
▪️Pengangungan dan perhomatan kepada syiar syiar haji -antaranya ibadah korban- merupakan pengangungan dan perhomatan kepada Allah SWT dan ini menjadikan sesuatu adat bertukar menjadi ibadat.
▪️Disebutkan juga tentang pengusiran orang orang muhajirin daripada tempat tinggal mereka dan syarat syarat bagi penguasaan dan keteguhan di muka bumi. Manakala keizinan untuk berjihad adalah bagi memelihara syiar syiar Islam dan ibadat serta melindungi umat Islam daripada serangan musuh.
▪️Pada ayat ke 41 dijelaskan sifat mereka yang akan diberikan kekuasaan memerintah di bumi iaitu mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang perbuatan mungkar.
▪️Pada surah ini disebutkan juga tentang contoh contoh kaum yang mendustai para rasul mereka dan pengakhiran mereka (ayat ke 42 – 45).
▪️Juga disebutkan tentang bagaimana Allah menghalang tipu daya dan fitnah syaitan terhadap para rasul dan nabi (ayat ke 52-53).
▪️Disebutkan juga tentang kekuasaan Allah SWT, kejadian hari akhirat dan perdebatan dengan golongan musyrikin yang mengingkarinya.
▪️Pada ayat ke-73 diberikan perumpamaan bahawa apa sahaja yang disembah selain Allah itu tidak mampu untuk menciptakan walau sebesar lalat walaupun mereka berhimpun beramai ramai untuk membuatnya. Dipilih lalat dalam perumpamaan ini untuk menjelaskan kebatilan dan kelemahan syirik serta kejahilan mereka yang menyembah selain Allah SWT.
▪️Surah ini diakhiri dengan seruan untuk berjihad, menegakkan amalan amalan fardu dan berpegang teguh kepada Allah SWT.
▪️Surah ini dinamakan Al-Mu’minun (orang orang yang beriman) kerana ia menjelaskan sifat sifat orang yang beriman dan ganjaran buat mereka.
▪️Tema utama surah ini adalah perbandingan di antara sifat orang yang beriman dan ganjaran mereka dengan sifat orang orang yang kafir dan balasan mereka.
▪️Surah ini dimulakan pada ayat pertama dengan قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ «Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman» dan diakhiri dengan ayat إِنَّهُۥ لَا يُفۡلِحُ ٱلۡكَٰفِرُونَ «Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya» pada ayat ke-117.
▪️Juga dimulakan dengan ayat وَلَقَدۡ خَلَقۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ مِن سُلَٰلَةٖ مِّن طِينٖ «Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;» pada ayat ke 12 dan diakhiri dengan ayat أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا «"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu?"» pada ayat ke-115.
▪️Ini adalah untuk menerangkan hikmah disebalik penciptaan manusia dan bahawasanya tidak ada kejayaan buat mereka melainkan dengan keimanan dan bersifat dengan sifatnya.
▪️Permulaan surah ini menyebutkan tentang sifat sifat orang yang beriman iaitu pada ayat 1-9 dan menyebutkan ganjaran buat mereka iaitu pada ayat 10-11. Persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri kita sendiri adalah adakah kita telah melaksanakan sifat sifat ini agar dapat meraih ganjaran seperti ini?
▪️Antara sifat orang yang beriman adalah mereka menjauhkan diri daripada perkara yang sia sia. Perkara yang sia sia adalah perkataan dan perbuatan yang tidak memberikan faedah kepada seseorang dan juga yang menjadikan jiwa yang sejahtera meninggalkannya.
▪️Seterusnya pada ayat 23-50 diceritakan tentang sejarah kejayaan orang orang yang beriman yang merentasi tarikh dan juga zaman. Antaranya diceritakan kisah Nabi Nuh عليه السلام bersama dengan kaum baginda yang mendustakan seruan dakwah baginda. Bagaimana kisah ini menjadi penguat hati dan jiwa kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk terus berdakwah kepada kaum baginda.
▪️Pada kisah Nabi Nuh iaitu ayat yang ke 24 disebutkan tentang sebab para pemimpin kaum baginda menolak dakwah baginda iaitu kerana mereka merasakan bahawa mustahil seorang manusia boleh menjadi nabi tetapi dalam masa yang sama mereka boleh menerima bahawa batu boleh menjadi tuhan. Alangkah ajaibnya permikiran mereka.
▪️Pada ayat 55-56 menjelaskan bahawa boleh jadi sesuatu nikmat yang dikurniakan itu bukanlah mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan bahkan boleh jadi sebab yang menjauhkan dirinya daripada Allah SWT. Maka seseorang hamba perlu sentiasa bermuhasabah pada setiap nikmat yang dikecapinya.
▪️Pada ayat 51 Allah SWT memerintahkan para Rasul dan semua orang beriman untuk memakan makanan yang halal dan kemudian melakukan amal kebaikan. Didahulukan penyebutan makanan yang halal ke atas amal kebaikan kerana makanan yang halal membantu seseorang untuk mencintai amal kebaikan dan seterusnya melaksanakannya.
▪️Manakala pada ayat 57 – 61 menerangkan ciri ciri tambahan orang orang yang beriman iaitu mereka sentiasa takut akan kemurkaan tuhan mereka, mereka beriman kepada ayat ayat yang diturunkan oleh tuhan mereka, mereka memberikan sedekah dalam keadaan hati mereka gementar dan mereka orang yang bersegera dalam melakukan kebaikan.
▪️Antara tanda tanda hati yang sejahtera dan ikhlas dalam beramal adalah wujudnya perasaan bimbang jika Allah SWT tidak menerima sesuatu amalan kebaikan. Seperti mana yang dijelaskan dalam ayat 60 surah ini.
▪️Pada ayat 71 dijelaskan bahawa jika kebenaran itu menuruti keinginan hawa nafsu manusia maka akan menjadi punah ranah dan binasalah langit dan bumi kerana hawa nafsu manusia itu pelbagai dan saling bertentangan. Maka tugas kebenaran adalah untuk diikuti manakala tugas manusia adalah untuk tunduk kepadanya. Ini juga menjadi isyarat bahawa kebebasan manusia itu ada hadnya di dalam Islam.
▪️Seterusnya pada ayat 78-91 terdapat penegakan hujah ke atas orang orang kafir tentang kebenaran Hari Akhirat dan keesaan Allah SWT dengan hujah hujah logik akal. Juga ditegaskan bahawa Allah SWT tidak mengambil anak dan tidak ada tuhan lain yang bersama denganNya. Andai ada tuhan lain bersama denganNya pasti tuhan tuhan tersebut akan saling mengalahkan antara satu sama lain.
▪️Allah SWT memerintahkan kepada kita untuk menolak keburukan dengan cara yang baik pada ayat 96. Ini jika keburukan tersebut datang daripada sesama manusia. Adapun jika keburukan tersebut berpunca daripada bisikan syaitan maka ayat yang ke 97 menyuruh kita untuk berlindung daripadanya dan tidak menyerah kalah dan tunduk kepadanya.
▪️ Ayat 99-111 pula menjelaskan tentang pengakhiran bagi dua golongan iaitu mereka yang beriman dan mereka yang kafir. Dijelaskan juga di hari akhirat kelak tidak akan bermanfaat segala penyesalan dan seseorang tidak akan dapat pula kembali ke dunia untuk melakukan kebaikan yang dirinya telah abaikan.
▪️Diriwayatkan kisah Rabi’ bin Khatim (pengikut Ibn Mas’ud رضي الله عنه) bahawa beliau menggali sebuah kubur di dalam rumahnya. Tatkala beliau merasakan hati beliau keras dan berat untuk beribadat, beliau akan masuk ke dalam kubur itu dan berbaring di dalamnya untuk beberapa tempoh. Kemudian beliau akan membaca ayat قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ("Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan") dan kemudian beliau akan keluar daripada kubur itu dan berkata, ‘’wahai Rabi’ engkau masih dapat kembali, maka beramal ibadatlah daripada sekarang sebelum tiba waktu yang engkau tidak akan dapat kembali lagi.”
▪️Pada ayat terakhir surah ini iaitu ayat 118 terdapat perintah agar seseorang berdoa dengan memohon keampunan dan rahmat dan ini merupakan tanda kebergantungan seseorang kepada Allah SWT dan juga merupakan ciri terbesar seorang Muslim.
▪️Dinamakan surah ini Al-Nur iaitu cahaya kerana ia mengandungi penjelasan terhadap peraturan peraturan Allah SWT yang berkaitan dengan nilai dan pegangan, interaksi sesama manusia dan juga akhlak yang menjadi cahaya dan petunjuk kepada manusia.
▪️Antara keistimewaan surah ini adalah ia menyebutkan tentang pembebasan Sayyidatina Aisyah رضي الله عنها daripada tuduhan tuduhan keji yang dilemparkan ke atas beliau.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan hukuman mereka yang melanggar perintah Allah SWT pada pengharaman zina dan diakhiri dengan hukuman kepada mereka yang melanggar perintah Rasulullah صلى الله عليه وسلم secara umumnya. Ini kerana perbuatan melanggar cahaya Ilahi (Al-Quran dan Al-Sunnah) akan menyebabkan seseorang ditimpa bala dan juga balasan sama ada di dunia mahupun di hari akhirat.
▪️Tema surah ini adalah menjelaskan tentang kesopanan dan perlindungan diri. Surah ini menjelaskan kekejian perbuatan zina dan perbuatan menuduh wanita yang suci melakukan zina. Hal ini kerana kerana besarnya kesan dua perbuatan ini kepada kestabilan dan keamanan masyarakat. Pada surah ini juga dijelaskan bahawa Sayyidatina Aisyah رضي الله عنها bebas daripada tuduhan tuduhan yang keji yang dilemparkan ke atas beliau.
▪️Surah ini menjelaskan empat langkah yang perlu diambil jika tersebar sesuatu berita keji yang menyentuh keperibadian dan maruah seseorang iaitu dengan bersangka baik sesama ahli masyarakat, menafikan dengan segera berita tersebut, meminta bukti bagi perkara tersebut dan tidak tergesa gesa mengulas perkara tersebut (ayat 12-15).
▪️Pada ayat 22 dijelaskan bahawa balasan bagi sesuatu amalan adalah bersesuaian dengan amalan tersebut. Jika kita inginkan Allah SWT mengampunkan dosa dosa kita maka kita perlu terlebih dahulu mengampunkan dan memaafkan kesalahan dan kesilapan manusia lain ke atas kita.
▪️Pada surah ini dijelaskan juga cara cara untuk melindungi masyarakat daripada perbuatan keji dan mungkar iaitu dengan larangan daripada menyebarkan amalan kekejian dalam masyarakat (ayat 19), perintah agar lelaki dan wanita menundukkan pandangan (ayat 30 & 31), larangan daripada menunjukkan perhiasan melainkan buat mahram (ayat 31), galakan untuk mengahwinkan pemuda pemuda dan pemudi pemudi walaupun mereka miskin (ayat 32), penjelasan adab adab meminta izin (ayat 58 -59) dan amaran daripada mengikuti jejak langkah syaitan (ayat 21).
▪️Allah SWT memerintahkan kepada lelaki dan wanita agar menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka pada ayat 30 & 31. Ini kerana pandangan mata adalah pintu yang terbesar bagi kerosakan hati. Barang siapa yang dapat menjaga kedua dua ini maka dirinya akan lebih mudah untuk menjaga diri daripada perkara haram yang lain kerana kedua dua ini adalah yang paling sukar untuk dijaga.
▪️Seterusnya ayat 32-33 memerintahkan agar dinikahkan lelaki dan wanita manakala Allah SWT menjamin soal rezeki mereka. Andai mereka tidak mampu untuk berkahwin maka hendaklah mereka berusaha bersungguh sungguh untuk menjaga kehormatan diri mereka.
▪️Kemudian ayat اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ (Allah SWT yang menerangi langit dan bumi) datang selepas ayat perintah menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri. Ini memberikan isyarat bahawa sesiapa yang menundukkan pandangannya dan menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menyinari hati dan pandangan hatinya dengan cahayaNya.
▪️Turut dijelaskan bahawa kebaikan dalam masyrakat bermula daripada masjid dan ibadat solat (ayat 36-37).
▪️Dijelaskan juga tentang adab adab dalam menerima tetamu (ayat 61).
▪️Juga dijelaskan tentang sebab sebab penguasaan dan keteguhan di muka bumi ( ayat 55 – 56).
▪️Dinamakan surah ini sebagai Al-Furqan (pembeza di antara hak dan batil) adalah kerana surah ini dimulakan dengan Al-Furqan iaitu Al-Quran dan menerengkanbahawasanya ia diturunkan untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka topik atau tema utama surah ini adalah untuk menjelaskan bahawa Al-Quran menjadi pemisah di antara kebenaran dan kebatilan.
▪️Permulaan surah ini memberikan fokus untuk menjawab syubhat dan keraguan yang dilontarkan oleh kaum musyrikin terhadap Al-Quran dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
▪️Juga dijelaskan perbezaan bagi pengakhiran orang yang beriman dan orang yang kafir di hari akhirat kelak.
▪️Pada juzuk ini diceritakan tentang peristiwa hari akhirat yang akan berlaku kelak dan menjelaskan bahayanya berdampingan dengan mereka yang jahat. Maka kita mestilah berhati hati daripada perkara ini supaya tidak menyesal di hari akhirat kelak.
▪️Pada surah ini dijelaskan bahawa Al-Quran adalah sumber bagi segala kebaikan buat mereka yang menginginkannya. - Sesiapa yang ingin berdakwah dan memperingatkan manusia maka dia akan menjumpainya pada Al-Quran (ayat 1). - Sesiapa yang menginginkan keteguhan dalam agama maka ianya ada pada Al-Quran (ayat 32). - Sesiapa yang ingin memahami hakikat dan penjelasan untuk sesuatu perkara maka ianya akan menjumpainya pada Al-Quran (ayat 33). - Sesiapa yang menginginkan peringatan dan pengajaran maka dia akan mendapatinya di dalam Al-Quran (ayat 50). - Sesiapa yang ingin berjihad maka dia akan mendapati panduannya di dalam Al-Quran (ayat 52).
▪️ Disebutkan juga tentang pengakhiran umat umat terdahulu yang telah dihancurkan oleh Allah SWT. Ini merupakan satu amaran kepada kaum kafir quraisy tentang pengakhiran mereka jika mereka memilih untuk berkeras dan menolak seruan dakwah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
▪️Juga terdapat pembuktian tentang keesaan Allah SWT melalui ciptaan ciptaanNya. Ayat ayat ini jika direnungi akan menjadi sebab untuk seseorang dapat meningkatkan keimanannya kepada Allah SWT.
▪️Pada akhir surah ini disebutkan tentang sifat sifat عباد الرحمن (hamba hamba Al-Rahman). Berusahalah untuk mengamalkan sifat sifat ini dalam kehidupan seharian.
▪️Dinamakan surah ini dengan nama Al-Syua’ara iaitu para penyair adalah kerana mereka memainkan peranan yang penting dan dalam mempengaruhi manusia pada zaman Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . Peranan mereka adalah seperti mana media pada zaman kita ini.
▪️Surah ini dimulakan dengan ayat yang menceritakan tentang Al-Quran (ayat 1) dan diakhiri juga dengan ayat yang menceritakan tentang Al-Quran (ayat 192), juga dimulakan dengan ayat yang memberikan ancaman kepada orang yang zalim (ayat 4) dan diakhiri juga dengan ancaman kepada orang yang zalim (ayat 22).
▪️Ini adalah untuk menerangkan bahawasanya Al-Quran itu benar dari segala sudut; benar dari sudut perkhabarannya, benar dari sudut seruannya, benar dari sudut ayat ayatnya kerana ianya adalah dari Allah SWT.
▪️Manakala para penyair, kebanyakan daripada mereka menggunakan kelebihan penyampaian yang mereka miliki untuk menyebarkan kebatilan dan menyokong kezaliman.
▪️Maka tema atau topik utama surah ini kepentingan dan peranan besar yang dimainkan oleh media penyampaian dalam mempengaruhi pandangan dan tindakan manusia, walaupun media penyampaian ini berbeza pada setiap zaman dan tempat.
▪️Surah ini memperincikan cabaran cabaran yang dilalui oleh para rasul عليهم الصلاة والسلام sebagai pengubat jiwa kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam menghadapi ujian daripada kaum baginda. Surah ini menceritakan cabaran yang dilalui oleh para rasul dengan berperingkat; daripada yang paling tinggi cabaran mereka dan yang paling rendah cabaran mereka.
▪️Nabi Musa عليه السلام ialah rasul yang paling berat cabaran beliau dalam surah ini yang mana baginda berhadapan dengan salah seorang manusia yang paling zalim dan yang paling berkuasa dan mendakwa memiliki sifat ketuhanan iaitu firaun. Di mana firaun telah mengenakan pelbagai hukuman yang keras ke atas mereka yang menentang beliau dengan hukuman yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin yang lain sebelum beliau.
▪️Antara cabaran yang dihadapi oleh Nabi Musa عليه السلام ialah baginda adalah rasul yang paling merasai ketakutan untuk berhadapan dengan firaun (ayat 12), baginda juga adalah yang paling merasa sempit dada dan tidak lancarnya lidah baginda untuk berbicara (ayat 13) dan baginda juga pernah melakukan kesilapan pada kaum firaun (ayat 14).
▪️Allah SWT telah memberikan kepada baginda satu tanggungjawab yang amat berat iaitu untuk membebaskan Bani Israel daripada penghambaan firaun (ayat 15,16,17). Baginda diancam oleh firaun dengan penjara (ayat 29). Firaun juga mengarahkan ahli ahli sihir untuk melawan baginda (ayat 37 – 42). Bukan itu sahaja firaun juga telah menggunakan ‘perang media’ ke atas baginda (ayat 53 -56). Akhirnya firaun telah memutuskan untuk membunuh Nabi Musa dan mereka yang bersama dengan baginda ( ayat 60 – 61).
▪️Selepas Nabi Musa ialah Nabi Nuh yang menerima ujian yang berat. Baginda telah diancam dengan hukuman rejam oleh kaum baginda yang tidak beriman (ayat 116). Selepas Nabi Nuh ialah Nabi Hud yang mana kaum baginda telah mencabar kekuasaan Allah dan kemudian ingkar kepadaNya (ayat 136 – 138).
▪️Seterusnya adalah kisah Nabi Soleh yang mana kaum baginda telah menyembelih unta yang dijadikan bukti kekuasaan Allah SWT buat mereka oleh Allah SWT (ayat 157).
▪️Seterusnya adalah Nabi Lut yang diuji untuk berhadapan dengan kaum baginda yang melakukan kekejian yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk lain sebelum mereka ( ayat 165 – 166). Juga baginda diuji dengan salah seorang ahli keluarga baginda iaitu isteri baginda yang memilih untuk bersama dengan kaum baginda yang ingkar.
▪️Akhir sekali ialah Nabi Syuaib yang berhadapan dengan kaum baginda yang menipu dalam timbangan dan sukatan (ayat 181- 183). Kesemua kisah ini menjadi penguat semangat kepada Nabi Muhamamad صلى الله عليه dalam menghadapi ujian dan cabaran daripada kaum baginda.
▪️Allah SWT juga memperincikan kemudahan kemudahan yang Dia kurniakan secara khusus kepada baginda صلى الله عليه وسلم untuk menghadapi ujian daripada kaum baginda (ayat 192 – 212) dan juga menerangkan tanggungjawab yang diperintahkan kepada baginda صلى الله عليه وسلم (ayat 213-220).
▪️Perkataan مبين (jelas / terang) diulang tiga kali di dalam surah ini pada ayat yang berkaitan dengan Al-Quran / kitab Allah (ayat 2,30,195). Ini adalah untuk mengisyaratkan bahawa Al-Quran adalah hujah dan bukti yang paling jelas dan nyata dalam menerangkan kebenaran.
▪️Juga diulang perkataan لسان (lidah) sebanyak tiga kali dalam surah ini pada ayat 13, 84 dan 195. Ini adalah untuk menerangkan tentang kepentingan lidah atau bahasa yang memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi manusia.
▪️Pada surah ini iaitu pada kisah Nabi Musa عليه السلام kita dapat melihat kesan iman kepada hati dan jiwa seseorang pada waktu sebelum dan selepas iman. Ini terdapat pada peristiwa ahli ahli sihir firaun yang telah beriman. - Sebelum beriman mereka hanya memikirkan tentang balasan dunia dan jawatan dan kedudukan yang dekat kepada firaun (ayat 41), tetapi selepas sahaja mereka beriman sifat mereka berubah dengan serta merta daripada memikirkan balasan dunia kepada memikirkan balasan akhirat dan kedudukan yang dekat kepada Allah SWT. - Bahkan bukan itu sahaja, mereka juga tidak takut dan tidak berganjak daripada pendirian mereka walaupun diancam dengan seksaan dan hukuman bunuh oleh firaun. Betapa hebatnya iman , jika iman telah meresap ke dalam jiwa manusia!
▪️Surah ini dinamakan sebagai Al-Naml (semut) kerana makhluk ini disebutkan dalam surah ini dalam kisah Nabi Sulaiman عليه السلام. Makhluk ini antara makhluk yang istimewa kerana ia adalah makhluk yang berorganisasi dan bersistem walaupun saiznya amatlah kecil. Maka tidakkah manusia yang memiliki akal dan kefahaman sepatutnya menjadi lebih tersusun dan lebih bersistem berbanding makhluk yang kecil ini?
▪️Surah ini dimulakan dengan menyebutkan bahawa Al-Quran adalah jalan bagi menuju petunjuk dan kejayaan (ayat 1-2) dan diakhiri juga dengan menyebutkan bahawa Al-Quran adalah jalan menuju petunjuk dan kejayaan (ayat 92). Ini menegaskan bahawa Al-Quran adalah sumber bagi segala kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat.
▪️Pada ayat kedua surah ini menjelaskan bahawa Al-Quran adalah hidayah dan khabar gembira kepada mereka yang layak untuk meraihnya. Sifat sifat mereka dijelaskan pada ayat ketiga surah ini, maka renungkanlah.
▪️Pada juzuk ini disebutkan kisah Nabi Musa عليه السلام bersama firaun dan dijelaskan akibat bagi kesombongan dan keingkaran kepada bukti bukti kebenaran risalahNya.
▪️ Pada kisah burung Hud Hud terdapat pengajaran bagi orang orang yang beriman agar beramanah dalam melaksanakan tanggungjawab dan mengambil berat tentang akidah serta tidak terpedaya dengan apa apa nikmat yang dimiliki oleh orang orang yang tidak beriman. Juga terdapat pengajaran kepada pemimpin untuk mengambil cakna tentang orang yang berada di bawahnya dan tidak mengabaikan mereka.
▪️Manakala kisah Nabi Sulaiman bersama Permaisuri Saba’ terdapat pengajaran kepada pemimpin bagaimana untuk menggunakan kekuasaan mereka untuk mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.
▪️Pada kisah kaum Nabi Soleh dijelaskan walau bagaimana orang orang kafir cuba merancang tipu daya, Allah pasti akan mengagalkan tipu daya tersebut.
▪️Pada Juzuk ini dimulakan dengan menerangkan sebab penolakan kaum Nabi Lut terhadap seruan dakwah baginda iaitu kerana mereka menganggap baginda ialah orang yang menyucikan diri daripada kemaksiatan dan kekejian dan ini secara tidak langsung mereka mengakui bahawa amalan perbuatan mereka adalah keji. Akibat daripada permikiran seperti inilah yang menyebabkan mereka ditimpa oleh azab Allah SWT.
▪️Juga terdapat pengajaran bahawa jika seseorang berterusan dalam melakukan sesuatu maksiat akan tiba pada suatu saat dia tidak akan melihat maksiat itu sebagai suatu kesalahan lagi bahkan dia akan memandang mereka yang menjauhi maksiat sebagai mereka yang berpura pura menjaga kesucian diri seperti mana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut.
▪️Ayat yang seterusnya menceritakan tentang Isteri baginda yang termasuk dalam kalangan mereka yang dibinasakan dan ini merupakan satu ujian buat Nabi Lut عليه السلام. Kata para ulama tafsir, isteri baginda tidak melakukan perbuatan keji secara langsung tetapi beliau meredai amalan kaum Nabi Luth maka kerana sebab inilah beliau termasuk dalam kalangan mereka yang binasa.
▪️Pada ayat 62 Allah SWT mengkhabarkan bahawa Dia mengabulkan permohonan mereka –sama ada beriman atau tidak- yang berada dalam kesulitan dan kesempitan kerana doa pada keadaan ini lebih memiliki nilai keikhlasan berbanding ketika keadaan senang dan mudah. Maka ini menjadi isyarat kepada ketinggian kedudukan keikhlasan di sisi Allah SWT sehingga Dia mengabulkan permohonan sesiapa sahaja yang berdoa kepadaNya.
▪️Pada ayat 76 – 77 dijelaskan bahawa Al-Quran adalah rujukan dan panduan jika berlaku perselisihan pendapat serta menjadi petunjuk dan rahmat kepada orang orang yang beriman. Walaupun Al-Quran adalah rahmat kepada seluruh alam tetapi dikhususkan rahmat pada ayat ini untuk orang orang beriman adalah kerana mereka sahaja yang benar benar mengambil manfaat daripadanya, iaitu dengan mengamalkan ajarannya mereka meraih kejayaan di dunia dan syurga di hari akhirat.
▪️Surah ini diakhiri dengan peristiwa peristiwa yang akan berlaku pada hari kiamat yang jika direnungi akan menggentarkan jiwa jiwa mereka yang beriman dengannya.
▪️Surah ini dinamakan Al-Qasas (kisah kisah) kerana kisah Nabi Musa عليه السلام dan kisah Qarun telah merangkumi sebahagian besar ayat ayat dalam surah ini.
▪️Surah ini bermula dengan janji Allah kepada ibu Nabi Musa عليه السلام (ayat 7) bahawa Nabi Musa عليه السلام akan pulang semula ke pangkuan beliau sebagai seorang rasul yang berjaya dan diakhiri dengan janji Allah kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bahawa baginda akan pulang semula ke Mekah sebagai seorang yang berjaya ( ayat 75).
▪️Ini adalah agar seorang hamba mengetahui bahawa janji Allah SWT itu benar dan Dia akan membantu hamba hambanya yang beriman. Dengan ini seorang hamba akan reda dengan qada’ dan qadarNya sama ada ianya baik ataupun buruk pada pandangan dirinya.
▪️Maka tema utama surah ini adalah keyakinan kepada janji janji Allah SWT.
▪️Surah ini dimulakan dengan khabar gembira daripada Allah SWT bahawa Dia akan membantu golongan golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi (ayat 5) iaitu melalui kisah Nabi Musa dan firaun.
▪️Terdapat empat topik utama di dalam surah ini. Pertama adalah kisah Nabi Musa عليه السلام dan firaun, seorang pemimpin zalim yang mana dikurniakan kekuasaan dan pemerintahan tetapi menggunakannya untuk menentang mereka yang menyerunya kepada beriman kepada Allah. Akhirnya dia dihancurkan oleh Allah SWT. (ayat 4 -43).
▪️Pada ayat 4 dijelaskan apakah cara yang digunakan oleh firaun untuk mengukuhkan kekuasaannya dan menghalang mereka yang tertindas daripada melawannya iaitu dengan menjadikan mereka berpecah belah dan berpuak puak. Maka perpecahan ini telah dimanfaatkan oleh firaun untuk menghalang sebarang usaha penyatuan untuk meganggu-gugah kekuasaannya.
▪️Janji Allah SWT untuk membantu golongan yang lemah terzahir pada kisah kelahiran Nabi Musa dan baginda dibesarkan di istana firaun dan kemudian menjadi rasul yang diutuskan kepada mereka dan bani Israel.
▪️Pada kisah ini terdapat isyarat kepada peranan wanita dalam berkhidmat dan menyumbang kepada agama Allah iaitu melalui ibu dan kakak Nabi Musa dan juga dua wanita yang dibantu oleh Nabi Musa ketika berada di Madyan.
▪️Ketika mana Nabi Musa عليه السلام membunuh seorang lelaki qibti dengan tidak sengaja baginda mengakui kesilapan tersebut dan bermohon keampunan kepada Allah. Ini mengisyaratkan kepada sifat mulia para nabi; iaitu mereka sentiasa bertaubat kepada Allah dan mengiktiraf kebenaran dan kesalahan (ayat 16-17).
▪️Pada kisah Nabi Musa عليه السلام bersama dua orang wanita Madyan (ayat 25) tidak disifatkan rupa, pakaian atau perhiasan wanita tersebut tetapi disebutkan tentang sifat malu yang dimiliki olehnya. Ini memberikan isyarat tentang kepentingan dan kemuliaan sifat malu bagi seorang wanita.
▪️Nabi Musa عليه السلام disifatkan sebagai seorang yang القوي (kuat) dan الأمين (amanah), dan ini adalah dua sifat yang penting perlu dimiliki oleh sesiapa yang memikul sesuatu tanggungjawab kerana tanpa salah satu sifat ini akan berlakulah kerosakan dalam pekerjaan.
▪️Seterusnya kisah Qarun seorang pemilik harta dan kuasa yang melupai pemberi nikmat iaitu Allah SWT dan tatkala diperingatkan tentang kebenaran, dia memilih untuk mengingkari dan menentangnya serta mengingkari juga nikmat nikmat Allah ke atasnya. Maka dia telah dibinasakan oleh Allah SWT (ayat 76 – 84).
▪️Janji Allah SWT buat Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang akan kembali semula ke Mekah dengan kemenangan (ayat 85) dan perintah untuk mentauhidkan Allah SWT dan bergantung hanya kepadaNya semata mata (ayat 88) kerana Dia ialah Al-Baqi (Yang Maha Kekal) dan selainNya akan hancur musnah.
▪️Surah ini dinamakan Al-Ankabut (labah labah) kerana ia adalah satu satu perumpamaan yang disebutkan dalam surah ini iaitu pada ayat 41.
▪️Tema surah ini adalah ujian merupakan perkara yang telah menjadi sunnatullah dalam kehidupan ini.
▪️Pada surah ini menerangkan pelbagai ujian yang akan menimpa manusia dan pada akhir surah ini dijelaskan jalan untuk menyelamatkan diri daripadanya iaitu pada ayat 69 : "dan orang orang yang jihad untk mencari keredaan kami, kami akan tunjukkan mereka jalan jalan kami."
▪️Pada juzuk ini juga disebutkan beberapa contoh umat umat terdahulu yang telah dibinasakan oleh Allah SWT.
▪️Pada ayat 45 disebutkan bahawa solat dapat mencegah daripada kemungkaran. Ini dapat dicapai oleh mereka yang khusyuk di dalam solat dan menyedari kebesaran dan keagungan Allah SWT.
▪️Permulaan juzuk ini iaitu pada ayat 46 terdapat panduan kepada orang Islam untuk tidak berdebat dengan Ahli Kitab dan mana mana orang yang berbeza pandangan dengannya melainkan dengan التي هي أحسن (dengan cara yang terbaik). Jika ini cara yang dituntut jika berinteraksi dengan ahli kitab maka bagaimana pula jika sesama orang Islam?
▪️Pada juzuk ini diperincikan lagi jenis jenis ujian yang akan menimpa manusia iaitu ujian ilmu (ayat 47, 51), ujian pada kehidupan dunia (ayat 64), ujian dalam keadaan aman dan senang (ayat 65, 66,67).
▪️Ayat 51 surah ini mengisyaratkan bahawa cukup bagi orang orang Islam kemuliaan dengan Allah SWT menjadi mereka sebagai pengikut kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan diturunkan kepada baginda kitab yang paling mulia iaitu Al-Quran.
▪️Pada ayat 60 terdapat penenang jiwa dan jaminan kepada orang orang yang beriman tentang rezeki mereka. Betapa banyak makhluk yang kecil lagi lemah yang tidak mampu menguruskan rezeki maka Allahlah yang memberikan mereka rezeki. Maka selepas mengetahui hakikat ini adakah terdapat lagi rasa takut dan bimbang terhadap rezeki?
▪️Pada penghujung surah ini terdapat seruan untuk merenungi kejadian alam yang membuktikan kepada kekuasaan dan keesaan Allah SWT (ayat 60-63).
▪️Barang siapa yang berterusan dalam bermujahadah mencari keredaan Allah SWT maka Allah SWT pasti akan menunjukkan kepadanya jalan jalan hidayahNya ( ayat 69).
▪️Dinamakan surah ini dengan Al-Rum (bangsa Rom) adalah kerana surah ini dimulakan dengan satu perkhabaran yang akan berlaku di masa hadapan iaitu peperangan antara Rom dan Parsi, dan oleh kerana Rom yang beragama Nasrani lebih dekat kepada orang Islam berbanding Parsi yang menyembah api maka surah ini menyebutkan tentang mereka.
▪️Surah ini bermula pada ayat 2-4 dengan perkhabaran dari wahyu tentang perkara yang akan berlaku di masa hadapan (kekalahan Rom dan kemenangan mereka selepas beberapa tahun) yang memberikan keyakinan bahawasanya Al-Quran ini adalah daripada Allah SWT. Manakala surah ini juga diakhiri pada ayat 60 dengan keyakinan terhadap kebenaran wahyu dan janjiNya. Ini agar seorang Muslim merasa yakin dengan apa yang disampaikan melalui wahyu sama ada ianya adalah perintah, larangan, perkhabaran ataupun janji merupakan kebenaran.
▪️Maka tema surah ini adalah, “keyakinan terhadap kebenaran wahyu dan janji Allah SWT”.
▪️Surah ini menjawab fitnah besar yang menimpa sesetengah orang Islam yang lemah pendirian iaitu mereka merasakan bahawa segala apa yang dikecapi oleh tamadun Rom dari sudut kemajuan ekonomi mahupun kehidupan membuktikan mereka itu berada atas kebenaran, manakala mereka yang mundur dari sudut keduniaan berada atas kebatilan. Ini adalah satu kesilapan dalam permikiran dan pertimbangan. Maka surah ini menjelaskan bahawa hakikat yang sebenarnya bukanlah seperti itu.
▪️Topik topik dalam surah ini : sejarah; peperangan antara Rom dan Parsi (ayat 2-4), ekonomi; kelebihan zakat, pengharaman riba (ayat 39), kemasyarakatan; hikmah perkahwinan (ayat 21), penciptaan; asal kejadian manusia (ayat 20 & 54), penciptaan langit dan bumi (ayat 22), kejadian siang dan malam (ayat 23), penurunan hujan dan guruh (ayat 24).
▪️Kepelbagaian topik dalam surah ini memberikan keyakinan kepada sesiapa yang membacanya bahawa Allah SWT merupakan satu satunya pencipta bagi alam ini dan semua yang dikhabarkan melalui wahyu adalah benar.
▪️Ayat 17,18 menjelaskan tentang satu ibadat yang amat besar tetapi ringan di lidah dan berat di timbangan iaitu berzikir mengingati Allah. Bahkan ibadat zikir ini tidak ada waktu yang khusus dan boleh dilakukan sepanjang waktu.
▪️Ayat 41 menjelaskan bahawa dosa dan maksiat adalah punca bagi segala bala bencana di dunia ini.
▪️Ayat 54 menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan manusia daripada keadaan yang lemah dan kemudian menjadikan mereka kuat dan akhirnya mengembalikan mereka semula dalam keadaan lemah dan beruban. Maka beruntunglah mereka yang memanfaatkan waktu kuat mereka untuk beribadat dan tidak bermaksiat kepadaNya.
▪️Surah ini dinamakan bersempena Luqman Al-Hakeem kerana nama beliau disebutkan dalam surah ini yang mana beliau terkenal kerana memiliki hikmah dan kebijaksanaan dalam berbicara. Jumhur ahli tafsir berpendapat bahawa Luqman Al Hakeem bukanlah seorang nabi tetapi seorang wali yang soleh.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan sifat sifat mereka yang berjaya di hari akhirat (ayat 3-5) dan diakhiri dengan ayat yang memerintahkan bertakwa dan takut kepada hari akhirat (ayat 33). Ini kerana ketakwaan kepada Allah dan beramal untuk hari akhirat adalah sumber bagi segala hikmah.
▪️Tema surah ini adalah kepentingan pendidikan yang berasaskan keimanan. Ini jelas dapat dilihat pada nasihat dan wasiat Luqman kepada anak beliau.
▪️Terdapat empat topik utama dalam surah ini iaitu; pembuktian terhadap sifat hikmah yang terdapat pada Al-Quran yang memberikan isyarat kepada sifat bijaksana Allah SWT yang menurunkannya, wasiat wasiat Luqman kepada anaknya, dalil dalil keesaan Allah SWT dan persedian menghadapi hari kiamat.
▪️Wasiat Luqman kepada anaknya : tidak mensyirikkan Allah (ayat 13), mentaati kedua dua ibu bapa (ayat 14), tidak mentaati mereka dalam maksiat kepad Allah SWT dan dalam masa yang sama tetap menjaga adab dengan mereka (ayat 15), sentiasa peka dengan pengawasan Allah (ayat 16), beribadat dan berdakwah kepada Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian (ayat 17), merendah diri dan berakhlak mulia sesama manusia (ayat 18-19).
▪️Seseorang perlu berhati hati dengan dosa yang dilakukannya secara tersembunyi (ayat 16) kerana ia boleh menjadi sebab kebinasaan dirinya pada hari akhirat kelak.
▪️ Jika seseorang terdetik di hatinya untuk melakukan sesuatu kebaikan dan ketaatan maka hendaklah dia bersegera dalam melakukannya dan tidak menangguhkannya kerana dia tidak tahu bilakah ajal akan menjemputnya dan dimanakah dia akan meninggal dunia (ayat 24).
▪️Diriwayatkan bahawa Luqman Al-Hakeem ditanya bagaimanakah cara beliau sampai ke tahap yang tinggi dalam hikmah dan kebijaksanaan. Beliau menjawab, kerana takdir Allah, kemudian dengan menunaikan amanah, berkata jujur dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.
▪️Dinamakan surah ini dengan nama al-sajdah kerana ianya adalah satu satunya surah yang bermula dengan آلم yang terdapat ayat sajdah di dalamnya.
▪️Surah ini dimulakan dengan ayat yang menjelaskan bahawa Allah SWT ialah pencipta bagi langit dan bumi (ayat 4) dan diakhiri dengan yang menceritakan betapa ramai umat terdahulu yang telah dibinasakan (ayat 26) dan juga diperingatkan kepada manusia (ayat 27) agar memerhatikan bagaimanakah Allah SWT mengarahkan awan yang mengandungi air ke tempat yang tandus agar menurunkan hujan. Ini menjadi isyarat bahawa jika seorang hamba itu merenungi kekuasaan Allah dan nikmat-nikmatNya ke atas mereka, mereka tidak akan sekali sekali menjadi takabbur dan pastinya akan tunduk kepadaNya.
▪️Maka tema surah ini adalah ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT.
▪️Topik surah ini : penjelasan bahawa kaum musyrikin Arab tidak pernah diutuskan kepada mereka mana mana rasul sebelum Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم (ayat 3), pembuktian terhadap keesaan Allah SWT dan dan hanya Dia sahaja yang mentadbir alam ini dengan penuh ketelitian dan keindahan (ayat 4-6).
▪️Terdapat perincian tentang penciptaan manusia dan peringkat yang dilaluinya sehingga diciptakan sempurna (ayat 7-9), pengingkaran manusia terhadap hari kebangkitan selepas diciptakan oleh Allah daripada tiada (ayat 10-11).
▪️Kehinaan yang dilalui oleh orang orang yang zalim di hari akhirat (ayat 12 -14, 20), penjelasan tentang sifat orang orang yang beriman di dunia dan balasan buat mereka di hari akhirat (ayat 15-16, 19), akhir sekali dijelaskan sifat sifat tergesa gesa orang kafir yang meminta hari akhirat disegerakan.
▪️Antara tanda rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hambaNya adalah Dia menguji mereka dengan sedikit ujian dan azab dunia agar mereka kembali bertaubat kepada Allah SWT (ayat 21).
▪️Surah ini dinamakan Al-Ahzab (tentera Al-Ahzab) kerana mereka adalah pakatan ketenteraan yang ditubuhkan oleh Kafir Quraisy untuk menyerang Madinah Munawwarah dan mereka telah dikalahkan dengan penuh kehinaan.
▪️Surah ini dimulakan dengan perintah kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم agar baginda bertakwa kepada Allah (ayat 1) dan diakhiri dengan perintah kepada orang orang yang beriman untuk bertakwa kepada Allah SWT (ayat 70). Ini kerana ketakwaan kepada Allah SWT merupakan tujuan yang tertinggi bagi seorang Muslim. Dengan takwa mereka akan beroleh kebahagian dan ketenteraman hidup di dunia dan akhirat.
▪️Tema utama surah ini adalah penyerahan diri kepada perintah Allah dan syariatnya.
▪️Pada juzuk ini terdapat ayat yang menjelaskan tentang ketinggian kedudukan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم di sisi Allah SWT iaitu: Allah SWT tidak menyeru nama baginda ‘wahai Muhammad’ tetapi dengan seruan ‘wahai Nabi’ (ayat 1, 28) dan baginda juga dijadikan contoh teladan yang baik untuk orang orang orang yang beriman (ayat 21).
▪️Juga terdapat pembatalan terhadap amalan amalan dan adat adat jahiliyyah. Antaranya : membatalkan penasaban anak angkat kepada bapa angkat (ayat 4,5).
▪️Pada ayat 22 dijelaskan antara perkara yang mengukuhkan hati dan jiwa ketika ujian adalah dengan bersangka baik kepada Allah SWT.
▪️Pasa kisah perang Al-Ahzab terdapat perbezaan jelas di antara sifat sifat orang yang beriman dan orang orang munafik.
▪️Pada juzuk ini diperincikan lagi kemuliaan dan ketinggian kedudukan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم di sisi Allah SWT. Iaitu Allah SWT tidak menyeru baginda dengan nama baginda tetapi menyeru dengan panggilan, ‘’wahai nabi’’ (ayat 45,50). Disebutkan tentang selawat Allah dan para malaikatNya ke atas baginda (ayat 56), terdapat perintah agar tidak menyakiti baginda (ayat 53, 69) dan ancaman Allah SWT untuk mengazab mereka yang menyakiti baginda dengan azab yang pedih (ayat 57).
▪️Pada ayat 32 terdapat larangan kepada para isteri isteri Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم –dan seterusnya wanita wanita yang beriman- untuk tidak tunduk (melemah lembutkan suara) ketika berbicara agar tidak bangkit nafsu mereka yang berpenyakit hati mereka. Tetapi dalam masa yang sama bukanlah bermakna mereka mesti bercakap kasar dan keras bahkan mereka tetap diperintahkan untuk berkata kata dengan قولا معروفا (kata kata yang baik).
▪️Ayat 33 terdapat pemberitahuan tentang kelebihan ahli bait Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan pada ayat 34 Allah SWT memperingatkan mereka tentang kelebihan yang dikurniakan kepada mereka iaitu; wahyu Al-Quran dan Al-Sunnah turun di rumah mereka. Ini mengisyaratkan bahawa sesebuah keluarga Muslim itu akan bertambah kebaikan buat mereka jika mereka menghidupkan bacaan Al-Quran dan mengamalkan sunnah baginda صلى الله عليه وسلم dalam kehidupan berkeluarga mereka.
▪️Antara adat jahiliah yang dibatalkan dan dilarang pada surah ini adalah tabarruj al-jahiliyyah (berhias seperti orang jahiliyyah) – ayat 33 dan perbuatan memasuki rumah tanpa izin tuannya dan juga agar tidak berlama lama di rumah seseorang (ayat 53).
▪️Antara sebab penurunan ayat 35 di dalam surah Al-Ahzab ini –HR Ahmad dan Nasaie- adalah para wanita muslim bertanya kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم kenapakah mereka tidak banyak disebutkan di dalam Al-Quran seperti kaum lelaki? Maka Allah SWT menurunkan ayat ini untuk menjelaskan bahawa lelaki dan wanita yang beriman memiliki ganjaran yang sama dari sudut pahala dan kelebihan di sisi Allah SWT. Sesiapa sahaja yang bersifat dengan 12 sifat ini –sama ada lelaki atau wanita- akan diganjari oleh Allah SWT dengan keampunan dan ganjaran pahala yang besar. Renungilah ayat yang indah ini.
▪️Pada ayat 59 terdapat pengsyariatan hijab kepada wanita wanita Muslim dan yang menarik perhatian adalah selepas perintah ini terdapat peringatan tentang bahaya dan ancaman kaum munafiqin (ayat 60 -61). Ini menjadi isyarat yang jelas tentang siapakah yang akan memusuhi wanita wanita Muslim yang mematuhi perintah Allah SWT agar menutup aurat mereka.
▪️ Ayat 64 – 67 pula menceritakan tentang pengakhiran pengikut pengikut dan pemimpin mereka yang kafir di hari akhirat kelak. Iaitu para pengikut akan menyesali keingkaran mereka daripada mentaati Allah SWT dan RasulNya ketika di dunia dahulu dan mereka menyalahkan pemimpin yang telah menyesatkan mereka. Tetapi adakah bermanfaat lagi penyesalan dan perbuatan saling salah menyalahkan di hari akhirat kelak?
▪️Pada ayat 70 terdapat perintah kepada orang orang yang beriman untuk mengucapkan قولا سديدا (kata kata yang jujur dan tidak menyimpang dari kebenaran). Apakah yang akan berlaku jika mereka mengikuti perintah ini? -Allah SWT akan menerima amal kebaikan mereka dan mengampuni mereka dan barang siapa yang mentaati Allah SWT dan RasulNya pada ucapan dan perbuatan maka sesungguhnya mereka telah berjaya di dunia dan akhirat (ayat 71).
▪️Pada akhir surah ini (ayat 72 -73) menceritakan tentang keengganan langit, bumi dan gunung ganang untuk memikul amanah dan kesanggupan manusia untuk memikulnya. Maka adakah kita telah tergolong dalam mereka yang menunaikan amanah?
▪️Dinamakan surah ini dengan nama Saba’ adalah bersempena dengan kisah kerajaan Saba’ yang disebutkan dengan agak panjang tidak seperti pada surah surah yang lain.
▪️Surah ini dimulakan dengan pendustaan orang orang kafir terhadap hari akhirat (ayat 3) dan di akhiri dengan percubaan mereka untuk beriman dengan hari akhirat (ayat 52 – 53). Juga dimulakan dengan ganjaran orang orang yang beriman (ayat 4) di akhiri dengan dengan balasan orang orang yang kafir (ayat 54). Ini mengisyaratkan bahawa mereka yang sentiasa bersedia untuk menghadapi hari akhirat tidak akan cuai daripada melaksanakan perintah Allah SWT walaupun mereka berada dalam kenikmatan dan kesenangan.
▪️Tema surah ini adalah “kurniaan Allah SWT : antara pengingkaran dan pengiktirafan”
▪️Topik surah ini: perbuatan membalas nikmat Allah SWT dengan kesyukuran akan menyebabkan nikmat tersebut berkekalan (ayat 10 – 13,15). Manakala jika nikmat tersebut dibalas dengan pengingkaran dan kesombongan maka ia akan menyebabkan nikmat tersebut bukan sahaja hilang tetapi pemiliknya akan menjadi rugi di dunia dan akhirat (ayat 17,18,34,35).
▪️Terdapat juga tentang keraguan orang orang kafir terhadap hari akhirat ( ayat 3, 7,29,53,54) dan penjelasan bahawa perkara perkara yang ghaib hanya diketahui oleh Allah SWT (ayat 3,14,48). Juga terdapat pengkhabaran tentang pertelingkahan yang berlaku di antara mereka yang takabbur dan mereka yang tertindas di dalam neraka (ayat 31-33).
▪️Ujian dunia (daripada sudut harta – kemajuan hidup – anak anak) adalah antara ujian yang paling bahaya kepada seseorang manusia kerana ia menjadikan mereka leka dengannya dan bersangka buruk kepada Allah SWT ( ayat 35, 34, 17).
▪️Ayat 35 disebutkan tentang sifat bangga orang orang kafir dengan harta yang banyak dan anak anak yang ramai dan mereka menyangka semua itu akan menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Tetapi ayat 36 menjelaskan bahawa Allah SWT melapangkan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang Dia kehendaki –sama ada beriman atau tidak- dan ianya tidak mengisyaratkan kepada kedudukan mereka di sisi Allah SWT dan juga keselamatan mereka di hari akhirat. Ini kerana boleh jadi Allah SWT melapangkan rezeki orang yang zalim dan menyempitkan rezeki orang yang taat. Kesemua ini atas kehendak dan hikmah yang diketahuiNya.
▪️Pada ayat 39 dijelaskan bahawa Allah SWT melapangkan dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan juga terdapat jaminan daripadaNya bahawa Dia akan menggantikan buat mereka yang menginfakkan harta mereka dengan balasan yang lebih baik. Maka selepas membaca ayat ini kita tidak perlu rasa takut dan bimbang untuk bersedekah dan berinfak di jalan Allah SWT.
▪️Pada ayat 47 disebutkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak meminta apa apa ganjaran atau imbalan terhadap dakwah yang baginda sampaikan, bahkan kesemua ini adalah untuk kebaikan kita semata mata.
▪️ Pada ayat 71 dalam Surah Al-Zukhruf disebutkan bahawa ganjaran bagi orang yang beriman di syurga adalah mereka akan mendapat segala apa yang mereka inginkan, manakala dalam ayat 54 surah ini menyebutkan balasan bagi mereka yang tidak beriman adalah mereka akan terhalang daripada segala apa yang mereka inginkan. Perhatikan bagaimana keimanan dan kekufuran akan memberikan kesan yang amat besar perbezaannya terhadap keinginan seseorang di hari akhirat kelak.
▪️Surah ini dinamakan Al-Fatir iaitu salah satu nama Allah SWT yang mana bermaksud: “Yang Maha Mencipta tanpa didahului oleh apa apa” dan surah ini berkisar tentang ketelitian dan ketekunan penciptaannya dan juga keindahan makhluk ciptaannya. Surah ini juga dinamakan surah Al-Malaikah kerana disebutkan tentang malaikat di permulaan surah ini dan juga tugas tugas mereka.
▪️Surah ini dimulakan dengan menyebutkan rahmatNya kepada hamba hambaNya (ayat 2) dan diakhiri juga dengan menyebut rahmat rahmatNya kepada hamba hambaNya (ayat 45). Ini mengisyaratkan bahawa Allah SWT itu adalah yang paling mengasihani hamba hambaNya melebihi yang lain. Maka tema surah ini adalah, “rahmat Allah SWT buat hamba hambaNya.”
▪️Pada surah ini disebutkan kepelbagaian nikmat yang Allah SWT telah kurniakan kepada makhluk makhlukNya di dunia iaitu pada ayat 3,9,11,12,13,27,28,41 dan 45. Maka renungkanlah nikmat nikmat ini dan ucapkanlah lafaz alhamdulillah dengan penuh kesyukuran.
▪️Manakala nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat pengutusan para nabi dan rasul dan ianya merupakan tanda terbesar kasih sayang Allah SWT kepada hamba hambaNya (ayat 24).
▪️Pada ayat 2 dijelaskan bahawa apa sahaja nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia maka tidak ada sesiapa yang dapat menahannya, dan apa sahaja nikmat yang ditahanNya maka tidak ada sesiapa yang dapat melepaskannya. Jiwa seorang Muslim akan menjadi tenang jika dia memahami hakikat ini.
▪️Ayat 10 dijelaskan bahawa kemuliaan hanyalah terdapat pada mentaati Allah SWT. Maka sesiapa yang inginkan kemuliaan hendak dia memohon kepada pemiliknya iaitu Allah SWT.
▪️Disebutkan juga dalil dalil penciptaan yang membuktikan kepada keesaan Allah SWT iaitu pada ayat 9,12,13,27 dan 28.
▪️Ayat 29 menjelaskan bahawa setiap perniagaan di dunia pasti akan ada untung dan pasti akan ada waktunya rugi tetapi ‘perniagaan’ dengan Allah adalah satu perniagaan yang tiada kerugian bahkan akan sentiasa membawa keuntungan.
▪️Pada ayat 32 dijelaskan perbezaan sifat manusia dalam menerima Al-Quran dan mengamalkan ajarannya. Mereka adalah golongan yang menzalimi diri mereka sendiri seterusnya golongan yang pertengahan seterusnya golongan yang banyak melakukan kebaikan. Ketiga tiga mereka adalah jenis jenis manusia dalam kalangan umat Nabi Muhamammad صلى الله عليه وسلم. Apa yang indahnya iaitu pada ayat 33 dijelaskan bahawa kesemua mereka akan diganjari dan dimasukkan ke dalam syurga.
▪️ Pada ayat 33-37 disebutkan tentang balasan terhadap orang orang kafir dan ganjaran terhadap orang orang yang beriman.
▪️Surah ini dinamakan Yasin kerana ianya dimulakan dengannya.
▪️ Surah ini bermula dengan pembangkitan semula mereka yang telah mati (ayat 12) dan diakhiri juga dengan pembangkitan semula mereka yang telah mati (ayat 79). Ini adalah untuk menjelaskan tentang kebenaran hari kiamat dan kebangkitan semula manusia setelah kematian. Maka tema surah ini adalah penjelasan terhadap keimanan terhadap hari akhirat.
▪️Surah ini bermula dengan menceritakan tentang hakikat Al-Quran dan dakwah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم terhadap kaum musyrikin.
▪️Disebutkan kisah penduduk sebuah kampung yang mendustakan rasul rasul mereka dan tentang kisah seorang lelaki dari hujung kampung yang berdakwah kepada mereka.
▪️Pada kisah beliau ini terzahir betapa besar kasih sayang beliau kepada kaumnya sehinggakan selepas memasuki syurga beliau masih teringat akan mereka (ayat 26-27). Bagaimana beliau berharap jika kaumnya mengetahui nikmat Allah SWT yang telah dikurniakan kepadanya.
▪️Pada kisah ini juga terdapat isyarat tentang kepentingan berdampingan dengan orang yang soleh kerana seorang mukmin akan menjadi kuat jika disokong dan dibantu oleh saudara mukminnya yang lain (ayat 14).
▪️ Juzuk ini bermula dengan menerangkan kelemahan manusia iaitu jika Allah ingin menurunkan azab kepada mereka, Dia SWT hanya perlu menurunkan seorang malaikat sahaja untuk membawakan azab kepada mereka. Tidakkah manusia menyedari hakikat ini?
▪️Seterusnya terdapat ayat yang mengarahkan pandangan manusia terhadap bukti bukti kekuasaan Allah SWT pada penciptaan makhluk (ayat 33 – 42, 71-73, 80) dan seruan kepada orang orang kafir agar beriman serta peringatan kepada mereka agar tidak menyembah syaitan (ayat 60).
▪️ Dimaksudkan dengan ‘penyembahan terhadap syaitan’ adalah semua jenis kekufuran dan kemaksiatan kerana ianya adalah ketaatan kepada mereka dan pengingkaran kepada Allah SWT.
▪️Pada ayat 70 disebutkan bahawa peringatan peringatan yang terdapat di dalam Al-Quran hanya akan dapat dimanfaatkan oleh mereka yang beriman dan hidup hati mereka. Adapun mereka yang ingkar dan telah mati hati mereka, tidak akan mendapat manfaat daripada Al-Quran. Maka perhatikanlah bagaimanakah keadaan hati kita, adakah layak untuk menerima kebaikan Al-Quran?
▪️ Pada surah ini juga terdapat hujah dan penegasan tentang kekuasaan Allah SWT untuk menghidupkan dan mematikan manusia dengan hujah hujah logik akal (ayat 33, 78, 79, 81).▪️ Al-Saffat ialah malaikat malaikat yang berbaris. Dinamakan surah ini bersempena dengan mereka adalah kerana Allah SWT bersumpah dengan mereka.
▪️Surah ini bermula dengan ayat yang menerangkan kemuliaan wali wali Allah SWT daripada kalangan malaikat (ayat 1-3) dan diakhiri juga dengan kemuliaan wali wali Allah dalam kalangan malaikat yang sentiasa beratur menunggu arahan Allah SWT dan bertasbih kepadaNya (ayat 165 -166).
▪️ Ini adalah untuk menerangkan kemuliaan kedudukan wali wali Allah SWT sama ada dalam kalangan malaikat ataupun manusia dan bahawasanya Dia adalah penolong mereka ke atas musuh musuh mereka. Maka tema surah ini adalah, “kemuliaan wali wali Allah SWT dan kehinaan musuh musuh Allah SWT”.
▪️ Permulaan surah ini membuktikan keesaan Allah SWT melalui penciptaan makhluk makhluknya yang hebat yang tidak mampu diciptakan oleh selainNya (ayat 1-7).
▪️Kemudian disebutkan tentang hari kebangkitan dan pembalasan dan nikmat nikmat yang akan dikecapi oleh orang orang yang beriman (ayat 41 -49) dan azab azab yang akan dikenakan kepada orang orang yang kafir (ayat 50-68).
▪️Pada surah ini diperincikan sebab sebab kehancuran orang orang kafir iaitu : mereka mengejek ayat ayat Allah SWT dan mengingkari hari kebangkitan (ayat 12 -17), berpaling daripada nasihat (ayat 35), mendakwa perkara perkara yang batil terhadap risalah (ayat 35), menyifatkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebagai penyair dan orang gila (ayat 36) dan taklid buta terhadap amalan nenek moyang mereka (ayat 69 -70).
▪️ Terdapat juga ayat ayat yang memperincikan bantuan bantuan Allah SWT kepada wali waliNya daripada kalangan nabi dan pengikut mereka iaitu bermula pada ayat 75 – 148. Bermula dengan kisah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Harun, Nabi Ilyas, Nabi Lut, dan Nabi Yunus. Kisah kisah ini menjadi penguat jiwa kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan pengikut baginda dan bahawasanya bantuan Allah SWT itu dekat kepada mereka.
▪️ Allah SWT adalah sebaik baik yang mengabulkan permintaan, maka adakah kita telah bersungguh sungguh berdoa dan bermohon kepadaNya seperti yang dilakukan oleh Nabi Nuh عليه السلام? (ayat 75).
▪️Penyerahan diri yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail عليهما السلام kepada perintah Allah SWT adalah contoh terindah terhadap kesan kesan pendidikan yang baik terhadap seseorang dan diterangkan pengakhiran yang baik pada kisah mereka ini. (ayat 101 – 111).
▪️Tidak ada amalan yang paling baik untuk dibawa menghadap Allah SWT selain daripada memiliki قلب سليم (hati yang sejahtera). Allah SWT telah memuji Nabi Ibrahim kerana sifat ini pada ayat 84. Sementara itu pada ayat 88 – 89 surah Al-Syuaara’ dijelaskan tidak ada manfaat lagi pada harta dan anak anak pada hari akhirat melainkan mereka yang datang bertemu dengan Allah SWT dengan qalbun salim. Maka berusahalah untuk tidak meninggalkan dunia yang sementara ini melainkan dengan memiliki sifat ini.
▪️Orang yang paling berat ujian mereka adalah para nabi dan rasul. Nabi Ibrahim عليه السلام diuji untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail untuk diperlihatkan cinta kepada siapakah yang lebih besar di hati baginda, cinta kepada Allah SWT atau cinta kepada manusia?
▪️Pada ayat 143 dijelaskan sebab yang menyelamatkan Nabi Yunus عليه السلام daripada terus berada dalam perut ikan iaitu baginda adalah dalam kalangan orang yang banyak bertasbih kepada Allah ketika dalam keadaan senang. Maka perbanyakkanlah ibadat dan ketaatan ketika dalam keadaan senang supaya ianya menjadi sebab untuk kita diselamatkan ketika keadaan susah. Kata para ulama, تعرف إلى الله في الرخاء يعرفك في الشدة (berkenalanlah kamu dengan Allah SWT ketika senang, Dia akan mengenalimu ketika susah).
▪️Dijelaskan juga pada ayat 171-182 janji janji kemenangan dan pertolongan Allah SWT yang bersifat kekal dan abadi kepada para wali waliNya.
▪️Pada surah ini juga disebutkan dengan berulang ulang kali sifat orang yang ikhlas (ayat 40, 74, 128, 160, 169), sifat orang yang berbuat baik (ayat 80, 105, 110, 121, 131) dan sifat orang yang beriman (ayat 81, 111, 122, 132). Ini sebagai isyarat kepada orang yang beriman untuk mewujudkan sifat sifat ini dalam diri mereka agar mereka mendapat pertolongan dan bantuan Allah SWT.
▪️ Penutup surah ini menyangkal keraguan keraguan yang ditimbulkan oleh orang orang musyrikin dan penjelasan bahawa tentera Allahlah yang akan menang pada pengakhirannya.
▪️Dinamakan surah ini bersempena huruf ص adalah kerana surah ini dimulakan dengannya. Allah SWT lebih mengetahui apakah yang maksud sebenar huruf ini.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang Al-Quran (ayat 1) dan diakhiri juga dengan penyebutan terhadap Al-Quran (ayat 87). Ini kerana Al-Quran adalah kebenaran yang diturunkan daripada Allah SWT. Maka sesiapa yang inginkan kebenaran hendaklah kembali kepada Al-Quran. Maka tema surah ini adalah, “kembali kepada kebenaran.”
▪️ Surah ini bermula dengan menyebutkan sifat sifat sombong orang orang kafir daripada mengikuti kebenaran dan usaha mereka melawannya dengan kebatilan (ayat 2 -8). Seterusnya disebutkan tentang pengakhiran mereka yang sombong dan mendustai kebenaran daripada kalangan umat terdahulu (ayat 12-15) dan disebutkan juga tentang kedegilan mereka dan sikap mereka meremehkan azab Allah SWT (ayat 16).
▪️ Seterusnya surah ini memperincikan tentang contoh golongan yang beriman yang kembali kepada kebenaran dan bertaubat kepada Allah SWT. Iaitu Nabi Daud عليه السلام (ayat 17 -25), Nabi Sulaiman عليه السلام (ayat 30- 35) dan Nabi Ayub عليه السلام (ayat 41 – 44).
▪️Perbezaan pendapat dan pertelingkahan dalam sesuatu perkara tidak sepatutnya melupakan seseorang tentang hubungan ukhuwwah sesama mereka. Pada kisah dua orang lelaki yang bertelingkah di hadapan Nabi Daud عليه السلام, salah seorang lelaki tersebut menyifatkan lelaki yang seorang lagi sebagai هذا أخي (ini ialah saudaraku). (Ayat 23).
▪️Renungi bagaimanakah Allah SWT mempermudahkan pelbagai perkara buat Nabi Sulaiman عليه السلام yang mana tidak dikurniakan kepada sesiapa seperti baginda. Nikmat nikmat ini sekali kali tidak menjadikan baginda takabbur, bahkan baginda bersykur dan menggunakan nikmat ini untuk mencapai keredaan Allah SWT.
▪️Renungi adab para anbiya’ dalam berdoa pada Allah SWT seperti yang dicontohkan oleh Nabi Ayub عليه السلام pada ayat 41. Baginda berdoa dengan penuh kerendahan hati dan tidak menyandarkan penyakit itu kepada Allah SWT kerana beradab denganNya.
▪️ Kisah kisah ini menjadi pengubat jiwa dan penguat semangat bagi kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan menjadi seruan kepada baginda agar mencontohi rasul rasul sebelum baginda dalam kesabaran mereka ketika menghadapi ujian dan cabaran.
▪️Turut diperincikan ganjaran ganjaran yang disediakan untuk orang orang yang beriman (ayat 49 – 54) dan balasan yang disediakan untuk orang orang yang kafir (ayat 55-58).
▪️Manakala pada ayat 59 – 64 diceritakan tentang pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku sesama ahli neraka. Semoga Allah lindungi kita daripada menjadi dalam kalangan mereka.
▪️Kemudian diceritakan kisah keengganan Iblis mematuhi perintah Allah SWT untuk bersujud kepada Nabi Adam عليه السلام disebabkan oleh sifat sombong dan meninggi diri daripada mengikuti kebenaran, dan dijelaskan pengakhiran Iblis dan mereka yang mengikutinya (ayat 71 – 85). Maka kita perlu berhati hati daripada mencontohi sifat ini.
▪️Surah ini dinamakan Al-Zumar yang bermaksud ‘rombongan’ kerana dalam surah ini disebutkan keadaan orang orang yang beriman yang akan dimasukkan ke dalam syurga dan orang orang yang kafir yang akan dimasukkan neraka dalam rombongan beramai ramai.
▪️Tema surah ini adalah “tauhid yang penuh dengan keikhlasan”. Surah ini bermula dengan perintah untuk mengikhlaskan ibadat hanya kepada Allah dan menerangkan bahawa hanya milik Allah sahaja agama yang murni (dari syirik) (ayat 2-3).
▪️Seterusnya dijelaskan tanda tanda keesaan Allah SWT melalui penciptaannya (ayat 4-6) dan dijelaskan juga tentang sifat manusia yang berdoa kepada Allah SWT ketika waktu susah dan melupakanNya dan kembali mensyirikkanNya selepas hilang kesusahan tersebut (ayat 8).
▪️Antara sifat hamba hamba Allah SWT yang akan diberikan petunjuk oleh Allah adalah mereka mendengar perkataan perkataan dan memilih untuk mengikut yang terbaik daripadanya (ayat 18). Kata Ibn Abbas, mereka ialah golongan yang mendengar perkara yang baik dan buruk, kemudian mereka memilih untuk bercakap tentang perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk. Juga mereka mendengar Al-Quran dan perkara yang lain dan mereka memilih untuk mengikuti Al-Quran.
▪️Pada ayat 23 Allah menyifatkan Al-Quran sebagai أحسن الحديث (sebaik baik perkataan) kerana pada Al-Quran terdapat sebaik baik pengkhabaran yang merangkumi makna makna yang memberikan manfaat dan asas asas keimanan, terdapat sebaik baik pengsyariatan dan pendalilan, terdapat peringatan tentang kehebatan penciptaanNya. Juga merangkumi adab adab dan akhlak akhlak yang mulia, seruan untuk berfikir, dan keindahan bahasa yang sampai ke tahap menjadi mukjizat.
▪️Juzuk ini diteruskan lagi dengan ayat ayat yang memerintahkan keikhlasan dan tauhid serta pembuktian keesaan Allah SWT melalui dalil dalil aqli (ayat 38 & 42).
▪️ Juga terdapat ayat ayat yang mengingkari perbuatan kaum musyrikin; iaitu mereka menjadikan selain Allah SWT sebagai pemberi syafaat (ayat 43), apabila disebutkan tentang mengesakan Allah SWT hati mereka menjadi gelisah dan apabila disebutkan sembahan selain Allah SWT mereka bergembira (ayat 45), dan jika ditimpa bencana mereka berdoa kepada Allah SWT dan selepas diberikan nikmat mereka mengingkarinya (ayat 49).
▪️ Ayat 45 juga memberikan isyarat kepada kita tentang sifat hati yang sejahtera iaitu; merasa tenang dan gembira jika disebutkan tentang Allah SWT. Manakala tanda hati yang sakit adalah merasa gelisah jika disebutkan tentang Allah SWT dan merasa tenang jika disebutkan selainNya.
▪️ Pada ayat 53 dijelaskan bahawa pintu taubat itu terbuka buat semua hambaNya sama ada beriman atau tidak. Maka tidak sepatutnya mereka berputus asa daripada rahmatNya.
▪️Turut terdapat peringatan tentang bahaya syirik; iaitu sesiapa yang mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu maka Allah SWT akan membatalkan amalannya dan jadilah dia dalam kalangan mereka yang rugi (ayat 64 – 65).
▪️ Pada ayat 65 juga menjelaskan bahawa Allah SWT memperingatkan tentang bahaya kesyirikan dan akibat buruknya kepada kesemua para nabi dan rasul. Jika mereka yang merupakan sebaik baik manusia diperingatkan tentang bahaya syirik, maka bagaimana dengan selain mereka?
▪️Ayat 71-72 menceritakan keadaan orang orang yang kafir di hari akhirat kelak iaitu mereka akan dibawa ke neraka dalam rombongan dan disambut oleh malaikat penjaga neraka dan ditegakkan ke atas mereka hujah yang melayakkan mereka untuk dimasukkan ke dalam neraka. Semoga Allah memelihara kita daripada menjadi dalam kalangan golongan ini.
▪️ Manakala ayat 73 – 74 menceritakan keadaan orang orang yang beriman di hari akhirat kelak iaitu mereka akan dibawa masuk ke dalam syurga dalam rombongan dan pintu syurga telah tersedia terbuka buat mereka daripada jauh dan mereka disambut dengan salam oleh para malaikat dan mereka berada di dalam syurga yang penuh kenikmatan buat selama lamanya. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan golongan ini.
▪️Surah ini dinamakan Ghafir (Yang Maha Pengampun) kerana ianya adalah sifat Allah SWT yang pertama disebutkan dalam surah ini. Selain itu surah ini juga dinamakan Ha Mim Al-Mu’minin (HR Tirmizi) kerana surah ini menceritakan tentang kisah seorang ahli keluarga firaun yang beriman yang mana tidak disebutkan dalam surah yang lain.
▪️Surah ini jugak dinamakan الطول (nikmat dan kurniaan) untuk memperingatkan kepada hamba hambaNya akan nikmat nikmat yang banyak dikurniakan kepada mereka.
▪️Surah ini dimulakan dengan menyebutkan perdebatan orang orang kafir dan pengakhiran buruk buat mereka (ayat 5) dan diakhiri dengan sifat bangga diri orang orang kafir dan pengakhiran mereka yang buruk (ayat 83). Ini agar golongan selepas mereka mengambil pengajaran terhadap apa yang telah menimpa mereka akibat daripada keingkaran mereka terhadap kebenaran yang telah dibawa oleh para rasul.
▪️Maka tema surah ini adalah, “kepentingan dakwah kepada Allah dan kepelbagaian uslubnya.
▪️Surah ini memperincikan tentang dakwah Nabi Musa عليه السلام kepada kaum baginda dan dakwah ahli keluarga firaun kepada firaun. Pada kisah ini terdapat kepelbagaian dalam uslub berdakwah.
▪️Pada kisah Nabi Musa عليه السلام (ayat 26 – 27) diperlihatkan kepada kita bagaimana baginda menghadapi ancaman bunuh oleh firaun kerana dilihat sebagai menyebarkan kerosakan di muka bumi dan bagaimana baginda telah berserah diri dan berlindung kepada Allah daripada golongan yang sombong dan tidak beriman kepada hari akhirat.
▪️Manakala pada kisah salah seorang ahli keluarga ahli firaun yang beriman terzahir beberapa uslub yang digunakannya dalam berdakwah iaitu dengan menggunakan hujah logik akal; iaitu jika Nabi Musa عليه السلام itu berbohong maka kebohongan itu hanya akan ditanggung oleh baginda sendiri dan tidak menjejaskan sesiapa, tetapi jika baginda ternyata benar maka firaun akan ditimpa sebahagian azab yang dijanjikan oleh baginda (ayat 28). Dapat difahami daripada hujah ini adalah bagaimana kesungguhan beliau untuk menasihati firaun agar berfikir sejenak tentang kebenaran dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa عليه السلام.
▪️Hujah logik yang kedua adalah pada ayat 41 beliau mempersoalkan tindakan kaumnya yang menyeru dirinya agar ke neraka sedangkan beliau menyeru mereka agar selamat di dunia dan di akhirat. Maka siapa sebenarnya yang patut mengikuti siapa?
▪️Seterusnya beliau memperingatkan mereka bahawa pada hari ini kekuasaan di bumi memang milik mereka tetapi andai Allah SWT ingin mengazab mereka maka siapakah yang akan dapat menyelamatkan mereka? (ayat 29). Tetapi malangnya peringatan ini tidak diendahkan sama sama sekali oleh firaun.
▪️Selepas itu beliau memperingatkan mereka pula dengan ancaman yang diiringi dengan sifat kasih sayang dan keperihatinan. Iaitu beliau menyatakan kebimbangan beliau kepada mereka pada hari yang akan ditimpakan bencana seperti yang berlaku ke atas kaum Nuh, ‘Ad dan Thamud sedangkan Allah SWT tidak sama sekali ingin menzalimi mereka. (ayat 30-31).
▪️Beliau juga memperingatkan mereka dengan sejarah kaum terdahulu yang telah mendustakan rasul mereka (ayat 34).
▪️ Bukan itu sahaja beliau memperingatkan mereka pula dengan hari akhirat dan pertemuan dengan Allah SWT dan andai tiba waktu tersebut tidak ada sesiapa pun yang dapat melarikan diri daripada azab Allah SWT (ayat 32 – 33).
▪️ Akhir sekali setelah nasihat demi nasihat telah diberikan dan kaum beliau masih lagi degil dan ingkar beliau telah berserah diri kepada Allah SWT dan memperingatkan kepada mereka bahawa kelak mereka akan mengingati nasihat nasihat ini tetapi pada waktu tersebut tidak ada manfaat lagi segala penyesalan (ayat 44).
▪️ Seterusnya pada ayat 45 dijelaskan sesiapa yang menyerahkan diri kepada Allah SWT maka Allah SWT akan menyelamatkannya daripada bala dan ujian.
▪️ Pada ayat 60 terdapat ayat yang memerintahkan kepada hamba-hambaNya untuk berdoa kepadaNya dan Dia menjanjikan buat mereka pengabulan. Tidakkah selepas mengetahui ini kita menjadi semakin bersungguh sungguh dalam berdoa?
▪️Pada surah ini juga banyak disebutkan tentang nikmat nikmat Allah SWT kepada manusia agar mereka menjadikannya sebagai bukti kebenaranNya dan kemudian agar menyembahNya. Ini disebutkan pada ayat 13, 57, 61 – 65, 79-81. Renungkanlah.
▪️Surah ini dinamakan Fussilat (Yang diperincikan) kerana Allah menyebutkan pada permulaan surah ini bahawa Dia menjelaskan dan memperincikan ayat ayat Al-Quran (ayat 3).
▪️Surah ini dimulakan dengan menyebutkan tentang Al-Quran yang mana ianya diperincikan daripada Allah SWT buat hamba hambaNya (ayat 2- 3) dan diakhiri dengan menyebutkan tentang mereka yang berpaling daripada Al-Quran yang telah diperincikan ini (ayat 52). Ini adalah untuk menerangkan kelebihan Al-Quran yang diturunkan daripada Allah SWT yang menjadi penerang dan penjelas kepada semua perkara.
▪️Tema surah ini adalah penegakan hujah hujah dan dalil dalil tentang keesaan Allah SWT dan kekuasaanNya melalui ayat ayat Allah yang terperinci dan jelas.
▪️Permulaan surah ini menjelaskan hakikat bahawa Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم ialah seorang manusia yang dimuliakan kerana dikurniakan wahyu (ayat 6).
▪️Seterusnya terdapat ayat ayat yang menjelaskan keesaan Allah SWT melalui penciptaanNya iaitu pada ayat 9-12, 37, 39 & 53. Renungilah ayat ayat ini ketika membacanya.
▪️ Turut dijelaskan pada juzuk ini adalah sejarah mereka yang telah mendustakan wahyu dan pengakhiran buruk yang menimpa mereka. Mereka ialah kaum ‘Ad dan Thamud (ayat 13 -17).
▪️ Ayat 21 -23 menjawab beberapa pegangan kaum musyrikin yang salah dan tersasar daripada kebenaran terhadap Allah SWT iaitu mereka menyangka bahawa kulit kulit mereka tidak akan menjadi saksi ke atas mereka (padahal ini amatlah mudah bagi Allah SWT) dan mereka juga menyangka bahawa Allah SWT tidak mengetahui dengan terperinci setiap perbuatan mereka.
▪️Diterangkan juga kelebihan golongan yang beristiqamah dalam melaksanakan perintah perintah Allah SWT iaitu; malaikat malaikat akan turun dengan berpesan kepada mereka agar tidak takut dan tidak bersedih hati, dan bergembira dengan syurga yang telah dijanjikan buat mereka (ayat 30).
▪️Seterusnya para malaikat akan menjadi pelindung bagi mereka di dunia dan di akhirat sehinggalah mereka dimasukkan ke dalam syurga (ayat 31). Penurunan malaikat ini adalah tanda rahmat dan kasih sayang Allah SWT (ayat 32).
▪️Seterusnya ayat 33-35 menjelaskan bahawa amalan mereka dalam menyeru manusia kepada Allah SWT adalah amalan yang terbaik dan tidak akan sama kebaikan dengan kejahatan, dan sifat sifat yang baik akan dikurniakan kepada mereka yang bersabar.
▪️Pada penghujung surah ini yang juga merupakan permulaan juzuk 25 dijelaskan tentang tabiat manusia ketika dalam beradaan keadaan senang dan susah iaitu bermula pada ayat 49-51.
▪️Pada ayat ayat ini disebutkan tentang sifat manusia yang tidak mampu untuk bersabar sama ada dalam kebaikan ataupun keburukan.
▪️Iaitu mereka tidak jemu untuk memohon kebaikan tetapi jika ditimpa keburukan dia akan berputus asa dan hilang harapan. (ayat 49).
▪️Manakala jika dia dikurniakan rahmat daripada sisi Allah SWT dia akan melupai Allah SWT yang memberikan nikmat dan kelebihan kepadanya dan dirinya akan tertipu dengan menyangka bahawa dirinya layak untuk menerima nikmat tersebut. (ayat 50)
▪️Kemudian dirinya akan mengingkari hari kebangkitan dan menyangka andai dibangkitkan dia akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah SWT. (ayat 50).
▪️Seterusnya andai dikurniakan nikmat nikmat daripada sisiNya dia akan berpaling sombong daripada Allah SWT dan andai ditimpa kesusahan dia akan berdoa bersungguh sungguh kepadaNya (ayat 51).
▪️Kesemua ini mengisyaratkan kepada sikap tidak sabar manusia dalam kebaikan mahupun keburukan. Hanya mereka yang diberi petunjuk oleh Allah SWT sahaja yang akan selamat daripada ini.
▪️ Surah ini diakhiri dengan seruan untuk merenungi segenap penjuru alam dan diri manusia dan melalui kedua dua ini mereka akan menjumpai tanda tanda kebesaran Allah SWT yang menunjukkan bahawa Al-Quran itu adalah daripadaNya (ayat 53).
▪️ Surah ini dinamakan Al-Syura (mesyuarat) kerana ini adalah wasilah buat orang Islam untuk meneguhkan penguasaan mereka di bumi dan mencapai kebaikan kebaikan dalam kehidupan mereka. Tema surah ini adalah, "kewajipan untuk bersatu bagi umat Islam dan kepentingan syura buat mereka."
▪️Surah ini bermula dengan penyebutan tentang wahyu iaitu ianya diturunkan dari sisi Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana (ayat 3) dan diakhiri juga dengan penyebutan tentang wahyu, iaitu ia menjadi sebab kepada hidayah dan juga taufiq (ayat 52). Ini adalah untuk menjelaskan kurniaan Allah SWT yang amat besar kepada hamba hambanya yang terdapat melalui wahyu Al-Quran ini.
▪️ Pada ayat 7 dijelaskan bahawa Al-Quran ini diturunkan dalam bahasa Arab dan untuk menjadi peringatan kepada penduduk Makkah yang dinamakan sebagai Ummul Qura (Ibu Kota) dan penduduk sekitarnya. Dinamakan Makkah sebagai ummul qura kerana di sana terdapat Kaabah yang menjadi tempat ibadat pertama bagi umat manusia dan ia menjadi kiblat dan tempat tujuan bagi sekalian manusia. Juga kerana kemuliaan tempat ini yang menjadikan ianya seolah olah asas dan tempat lain mengikutinya.
▪️Pada ayat 13 Allah SWT menyebutkan kelima lima orang rasul ulul azmi dalam satu ayat. Mereka ialah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa عليهم الصلاة والسلام dan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم . Mereka ialah rasul yang paling berat ujian mereka dan paling tinggi sifat kesabaran mereka.
▪️Ayat 14 menjelaskan bahawa sifat hasad dan perbuatan zalim adalah sebab kepada perpecahan dan kehancuran bagi sesebuah masyarakat.
▪️ Ayat 20 pula menjelaskan tentang kepentingan memiliki niat niat yang baik dan ikhlas ketika beramal. Iaitu jika seseorang berniat (dengan amalannya) untuk mendapat faedah di hari akhirat maka Allah SWT akan mengurniakan apa yang diniatkannya dan bukan itu sahaja bahkan dengan tambahan tambahan yang lain di sisiNya. Manakala sesiapa yang berniat (dengan amalannya) mendapat faedah dan kebaikan dari dunia semata mata, maka dia akan dikurniakan kebaikan di dunia pada sekadar yang ditentukan, dan di akhirat dia tidak akan beroleh apa apa kebaikan.
▪️Allah SWT menjelaskan bahawa jika Dia melapangkan rezeki kepada hamba hambaNya nescaya mereka akan melampaui batas di bumi tetapi Allah SWT menurunkan kadar tertentu daripada rezeki sebagaimana yang dikehendakiNya. Ini merupakan satu rahmat dan juga tanda kasih sayang Allah SWT kepada hamba hambaNya.
▪️Pada ayat 28 dijelaskan bagaimana Allah SWT menurunkan hujan selepas manusia telah merasa berputus asa. Ini mengisyaratkan kepada sunnatullah bahawa bantuanNya akan tiba selepas berlakunya ujian dan kesusahan. Maka andai kita ditimpa ujian dan musibah, yakinlah bahawa bantuan Allah SWT itu sudah amat dekat.
▪️ Maksiat dan dosa adalah penyebab kepada kesusahan atau bala bencana di dunia ini tetapi dalam pada ini Allah SWT masih memaafkan sebahagian besar dari dosa dosa kita (ayat 30).
▪️Dijelaskan juga tentang cara cara wahyu disampaikan kepada para Nabi dan Rasul iaitu sama ada melalui ilham atau mimpi, atau disebalik hijab atau diutuskan kepada mereka malaikat. (ayat 51)
▪️Pada surah ini juga dijelaskan apakah sifat sifat yang sepatutnya ada bagi seorang Muslim yang ingin menegakkan agama Allah SWT iaitu; perlu memiliki akidah yang sejahtera (ayat 36), menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak yang mulia khususnya suka memaafkan (ayat 37), menyahut seruan Allah SWT dan beristiqamah melaksanakannya dan menjaga solat yang merupakan hak Allah dan menunaikan zakat yang merupakan hak manusia serta melaksanakan syura sesama mereka (ayat 38).
▪️ Pada ayat 49-50 dijelaskan bahawa anak anak adalah kurniaan daripada Allah SWT. Jika seseorang dikurniakan anak lelaki maka ianya adalah kurniaan Allah dan jika seseorang jika dikurniakan anak perempuan maka ianya adalah juga kurniaan Allah SWT, dan jika dikurniakan kedua duanya maka ianya adalah kurniaan Allah SWT. Bahkan jika seseorang tidak dikurniakan anak maka itu adalah kerana hikmah yang diketahui olehNya. Maka tidak sepatutnya seseorang itu untuk berterusan rasa bersedih.
▪️ Surah ini diakhiri dengan menerangkan keadaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم sebelum didatangi oleh wahyu Al-Quran iaitu baginda tidak pernah mengetahui apakah perincian syariat dan kitab dan Al-Quran ini merupakan satu kurniaan yang besar kepada baginda. (ayat 52)
▪️Disebutkan juga salah satu nama Al-Quran iaitu Al-Ruh kerana Al-Quran ini seperti ruh bagi jasad. Tanpa ruh jasad tidak ada apa apa makna. Dengan Al-Quran juga ruh manusia menjadi hidup seperti mana badan hidup kerana makanan. (ayat 52).
▪️Dinamakan surah ini Al-Zukhruf (perhiasan) kerana surah ini berbicara tentang kenikmatan di dunia dan bagaimana dengan segala perhiasan dan keindahan yang terdapat padanya menjadi sebab kepada manusia untuk bergantung kepadanya dan tertipu dengannya.
▪️Surah ini dimulakan dengan penjelasan bahawa Allah SWT merupakan pencipta bagi langit dan bumi (ayat 9) dan diakhiri dengan penjelasan bahawa Allah SWT merupakan pemilik bagi segala apa yang ada di langit dan bumi (ayat 58). Ini adalah sebagai seruan kepada manusia untuk mentauhidkan Pencipta dan Pemilik sebenar bagi alam ini. Maka tema surah ini adalah; "peringatan daripada tertipu dengan keindahan dan perhiasan dunia."
▪️Surah ini bermula dengan amaran dan ancaman terhadap kaum musyrikin akibat keengganan mereka untuk beriman kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, dan memperingatkan mereka tentang pengakhiran buruk umat umat yang mendustakan rasul sebelum mereka. (ayat 5-8).
▪️Seterusnya surah ini memperincikan dalil dalil kekuasaan Allah SWT pada alam ini dan pada penciptaanNya; langit, bumi, hujan, kapal kapal yang berlayar di lautan dan haiwan ternakan di bumi. Dijelaskan bahawa kesemua ini adalah nikmat nikmat Allah SWT kepada manusia (ayat 9-13).
▪️Disebutkan juga tentang beberapa kepercayaan syirik dan khurafat masyarakat jahiliah seperti dakwaan mereka bahawa Allah SWT memiliki anak anak perempuan (Maha Suci Allah SWT daripada dakwaan seperti ini) dan juga jika mereka dikurniakan anak perempuan maka mereka akan menjadi muram dan bersedih kerana merasakan nasib mereka menjadi malang dan celaka. (ayat 15-19).
▪️Juga dijelaskan bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام bebas daripada penyembahan berhala dan amalan kesyirikan dan bahawasanya baginda menjadikan kalimah tauhid sebagai ajaran yang kekal untuk zuriat keturunan baginda. Ini supaya jika ada dalam kalangan zuriat keturunan baginda yang mensyirikkan Allah SWT agar mereka mengingati kisah moyang mereka ini dan kembali semula kepada ajaran tauhid. (ayat 26-28).
▪️Turut dinyatakan pada surah ini adalah bahawa Allah SWT memberikan kelebihan kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki olehNya dan harta serta kedudukan bukanlah neraca menentukan kelebihan dan kemuliaan di sisiNya. (ayat 31 & 32).
▪️Pada kisah Nabi Musa عليه السلام bersama firaun disebutkan tentang sifat firaun yang terpedaya dan tertipu dengan harta, kedudukan dan kekuasaan yang dimilikinya. (ayat 46 - 56).
▪️Disebutkan juga tentang kelebihan Nabi Isa عليه السلام dan perselisihan manusia tentang baginda dan dijelaskan bahawa penurunan semula baginda adalah salah satu tanda hari kiamat. (ayat 57 -65).
▪️Pada ayat 67 terdapat isyarat agar seseorang membina persahabatan atas dasar ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT kerana pada hari akhirat sahabat sahabat karib sebahagiannya akan menjadi musuh kepada sebahagiannya yang lain melainkan persahabatan yang terbina atas keimanan dan ketakwaan.
▪️Diperincikan juga nikmat nikmat hari akhirat dan apa yang telah disediakan oleh Allah SWT buat mereka yang beriman (ayat 69 -73), dan dijelaskan juga pengakhiran bagi mereka yang ingkar kepada iman (ayat 74 -80). Pada ayat 77 disebutkan nama penjaga neraka iaitu Malik.
▪️ Surah ini dimulakan dengan ancaman (ayat 6-8) dan diakhiri dengan kemaafan (ayat 89) kerana rahmat Allah SWT mendahului kemurkaanNya.
▪️Surah ini dinamakan Al-Dukhan (asap kemarau) kerana Allah telah menjadikan peristiwa ini sebagai balasan kepada kafir quraisy yang mendustakan Nabi Muhammad صلى الله عليه السلام, yang mana pada peristiwa ini mereka ditimpa dengan kemarau dan kebuluran yang amat dasyat sehinggakan jika mereka mendongak ke langit mereka akan melihat ianya seolah olah seperti asap.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang Al-Quran dan bahawa ia adalah pemberi peringatan (ayat 2-3) dan diakhiri juga dengan menyebutkan Al-Quran dan bahawa ianya adalah pemberi peringatan (ayat 58). Ini merupakan rahmat daripada Allah SWT kepada manusia iaitu diturunkan kepada mereka sebuah kitab yang memberikan kepada peringatan dan menunjukkan mereka jalan jalan hidayah dan kejayaan.
▪️ Tema surah ini adalah; "peringatan agar tidak terpedaya dengan kekuasaan dan kekuatan."
▪️ Pada permulaan surah ini dijelaskan peluang kepada mereka yang mengingkari risalah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk bertaubat dan bahawasanya bala akan terus menimpa mereka yang mendustai baginda sehinggalah mereka beriman dan bertaubat ataupun sehinggalah Allah SWT menghancurkan mereka (ayat 10-16).
▪️Ayat 16 juga menjelaskan bahawa Allah SWT akan memberikan peluang kepada setiap mereka yang zalim dan ingkar untuk bertaubat tetapi jika sudah berakhir peluang itu maka tidak ada lagi keselamatan buat mereka daripada azabNya.
▪️ Seterusnya pada kisah Nabi Musa عليه السلام dan firaun diceritakan tentang keterperdayaan firaun dengan kekuatan dan kekuasaan yang dimilikinya yang menyebabkan Allah SWT telah membalas perbuatannya. Sehingga disebutkan bahawa kehancuran mereka tidak ditangisi oleh mana mana penduduk langit mahupun bumi. (ayat 17-31).
▪️Surah ini kemudiannya memperincikan pengakhiran bagi golongan yang beriman dan golongan yang tidak beriman.
▪️Surah ini dinamakan Al-Jathiyyah (berlutut) kerana setiap manusia akan berlutut di hari akhirat kerana bimbang akan amalan mereka. Selain itu surah ini juga dinamakan Al-Syariah kerana kalimah ini disebutkan pada ayat 18 pada surah ini.
▪️ Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang mereka yang berpaling daripada ayat ayat Allah SWT kerana sifat sombong (ayat 8) dan diakhiri dengan menyebutkan sifat Allah SWT iaitu الكبرياء (kemegahan). Ini adalah sebagai peringatan kepada manusia agar menyedari hakikatnya diri mereka yang merupakan hamba yang tidak layak untuk bermegah megah.
▪️Tema surah ini adalah peringatan daripada sifat takabbur dan sombong dan mengikuti hawa nafsu.
▪️Surah ini memperincikan tanda tanda kekuasaan Allah SWT pada muka penciptaan dan nikmat nikmatNya ke atas makhluknya; ayat 3-5, 12, & 13. Seterusnya dijelaskan pengakhiran bagi mereka yang mengingkari dan berlaku sombong daripada ayat ayat dan syariatNya (ayat 7-11, 21, 31-35).
▪️Dijelaskan juga bahaya mengikuti hawa nafsu yang akan menyebabkan diri seseorang dibiarkan terus sesat oleh Allah SWT dan dikunci pendengaran dan hatinya, serta ditutup penglihatannya daripada kebenaran. (ayat 23)
▪️ Pada ayat ini juga terdapat isyarat bahawa jika kita melihat seseorang memiliki ilmu mengikuti kesesatan maka ianya adalah kerana dirinya memilih untuk mengikuti hawa nafsu.
▪️Disebutkan juga nikmat nikmat Allah SWT kepada Bani Israel dan bagaimana nikmat nikmat tersebut dibalas oleh mereka dengan pengingkaran dan kekufuran (ayat 16-17).
▪️Juga disebutkan tentang keraguan golongan atheist dalam pegangan mereka dan ketidakpastian mereka dalam menganut kepercayaan. (ayat 24 & 25).
▪️Juzuk ini bermula dengan Surah Al-Ahqaf yang mana Al-Ahqaf adalah nama tempat kaum ‘Ad yang kini terletak di Yaman. Pada surah ini diceritakan kisah kehancuran mereka akibat mendustakan Nabi Hud عليه السلام.
▪️ Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang penciptaan langit dan bumi (ayat 3) dan diakhiri juga dengan penciptaan langit dan bumi (ayat 33), dan dimulakan juga dengan menyebutkan tentang Al-Quran (ayat 2) dan diakhiri juga dengan Al-Quran (ayat 29). Ini mengisyaratkan bahawa; sesiapa yang merenungi Al-Quran dan juga alam ciptaan Allah SWT maka Allah SWT akan membuka pintu hatinya untuk menerima hidayah.
▪️Maka tema surah ini adalah; “pengurniaan hidayah oleh Allah SWT buat mereka yang menginginkannya.”
▪️ Pada permulaan surah ini diperingatkan kepada manusia agar memerhatikan perciptaan langit dan bumi yang mana dengan memperhatikannya seseorang akan dapat sampai kepada hakikat kebenaran. (ayat 3-4).
▪️Surah ini memperincikan beberapa contoh manusia yang menyahut seruan Allah SWT dan juga mereka yang berpaling daripada seruanNya. Golongan yang menyahut seruan dan perintah Allah SWT dalam surah ini ialah; Abdullah bin Salam رضي الله عنه yang menerima dakwah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan meninggalkan agama Yahudi. (ayat 10).
▪️ Contoh yang kedua pula terdapat sekumpulan jin yang telah mendengar Al-Quran kemudian beriman dengannya dan menyeru kaum mereka untuk untuk turut sama sama beriman. (ayat 29-32).
▪️ Manakala contoh mereka yang berpaling daripada perintah Allah SWT ialah; anak yang berpaling daripada seruan kedua dua ibu bapanya agar dia beriman (ayat 17) dan kaum ‘Ad yang berpaling daripada seruan iman dan ingkar kepada Allah SWT (ayat 21-26).
▪️Terdapat juga wasiat berkenaan dengan kedua dua ibu bapa dan khususnya ibu yang telah mengandungkan anak dengan kesusahan dan melahirkan anak juga dengan kesusahan. Kemudian terdapat perintah agar seseorang berdoa supaya dapat mensyukuri nikmat nikmat yang telah dikurniakan dan agar dapat melaksanakan amalan soleh yang diredhaiNya. (ayat 15).
▪️Seterusnya dijelaskan tentang keadaan orang orang kafir di hari akhirat; kelayakan mereka untuk diazab dengan api neraka kerana kesombongan, kejahatan dan kekufuran mereka. (ayat 20 -34). Semoga Allah memelihara dan melindungi kita daripada menjadi kalangan mereka.
▪️ Surah ini diakhiri dengan perintah untuk berdakwah dan bersabar dengan kerenah dan kesakitan yang dilalui ketika bersama dengan orang yang didakwahkan.
▪️Surah ini dinamakan dengan nama baginda yang mulia صلى الله عليه وسلم dan nama baginda hanya disebutkan empat kali di dalam Al-Quran dan antaranya adalah pada surah ini.
▪️Surah ini juga dinamakan surah Al-Qital (peperangan) kerana terdapat hukum hakam yang berkaitan dengan peperangan dan suruhan untuk melaksanakannya.
▪️Perkaitan nama surah Muhammad صلى الله عليه وسلم dan Al-Qital adalah dengan pengutusan baginda kaum musyrikin menjadi lemah di tangan baginda dan pengikut baginda.
▪️Selain dalam surah Muhammad nama baginda disebutkan pada tiga tempat lain lagi di dalam Al-Quran iaitu pada ayat 144 surah Ali-Imran, ayat 44 surah Al-Ahzab dan ayat 29 surah Al-Fath. Apakah persamaan yang terdapat pada keempat empat tempat ini?
▪️Kata Sheikh Dr Solah Al-Khalidi; keempat empat ini adalah surah surah yang disebutkan peristiwa jihad di dalam Islam. Perhatikan; surah Ali-Imran terdapat kisah perang Uhud, surah Al-Ahzab berbicara tentang perang Al-Khandaq, Surah Muhammad berbicara tentang hukum yang berkaitan Al-Qital (peperangan) dan surah Al-Fath menyentuh tentang peristiwa perjanjian Al-Hudaibiyyah / Bai’ah Al-Ridhwan.
▪️Apa yang difahami daripada ini? Kata Sheikh Dr Solah Al-Khalidi; ini merupakan isyarat bahawa kemuncak bagi kehidupan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم adalah ketika baginda berjihad dan berperang untuk menegakkan agama Islam kerana pada kisah kisah jihad dan peperangan ini terlalu banyak ‘ibrah dan pengajaran yang dapat dimanfaatkan oleh umat baginda.
▪️Manakala daripada sudut yang lain pula mengisyaratkan bahawa baginda صلى الله عليه وسلم ialah seorang mujahid yang seluruh kehidupan baginda صلى الله عليه وسلم adalah pada perjuangan untuk menegakkan agama Islam.
▪️Seterusnya penting untuk diketahui adalah terdapat perbezaan di antara jihad dan qital. Jihad itu lebih luas dan umum daripada qital kerana jihad bermaksud, “pencurahan segala usaha dan tenaga untuk membela agama Allah SWT” manakala qital adalah, “peperangan melawan musuh dengan senjata.” Kesemua qital adalah jihad tetapi tidak kesemua jihad adalah qital.
▪️ Maka seseorang Muslim perlu mencontohi baginda صلى الله عليه وسلم untuk berjihad dengan sepenuh tenaga, usaha, masa, idea dan harta untuk membela dan menegakkan agama Islam dalam kemampuan dan bidang masing masing. Ini juga menjelaskan kepada kita bahawa medan untuk berjihad terbuka luas untuk semua Muslim!
▪️Surah ini bermula dengan perintah untuk memerangi kaum musyrikin (ayat 4) dan diakhiri dengan perintah untuk tidak meninggalkan perintah memerangi mereka (ayat 35), dan dimulakan juga dengan kehinaan kaum musyrikin dan pembatalan amalan mereka (ayat 1 & 7) dan diakhiri dengan perkara yang sama (ayat 32 & 34). Ini menjadi isyarat kepada kepentingan peperangan untuk melindungi dakwah Islam dan untuk menegakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi.
▪️Tema surah ini adalah; “penjelasan hukuman terhadap mereka yang berpaling daripada dakwah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan penjelasan bahawa ketaatan kepada baginda adalah neraca bagi penerimaan amal.”
▪️Surah ini memperincikan hukuman dan kehinaan daripada Allah SWT buat orang orang kafir dan menjelaskan ketinggian kedudukan orang orang Islam, dan seruan terhadap orang Islam agar tidak meninggalkan peperangan sehingga orang orang kafir menjadi lemah dan hina di tangan mereka.
▪️Pada surah ini juga diperincikan perkara perkara yang membatalkan amal baik seseorang iaitu; kekufuran dan berpaling daripada jalan Allah SWT (ayat 1), mengikuti kebatilan (ayat 3), membenci apa yang diturunkan daripada Allah SWT (ayat 9), permusuhan terhadap baginda (ayat 32), perbuatan riya’ dan nifak (ayat 30), murtad (ayat 25) dan mati dalam kekufuran (ayat 34). Disebutkan juga bahawa sifat bakhil adalah seburuk buruk sifat kehinaan bagi seseorang (ayat 37).
▪️ Dinamakan surah Al-Fath (pembukaan) kerana Allah SWT menyebutkan kurniaan dan pembukaan nikmat yang amat banyak dalam surah ini kepada baginda صلى الله عليه وسلم dan sahabat sahabat baginda رضي الله عنهم.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang perkhabaran gembira daripada Allah SWT kepada orang orang yang beriman iaitu mereka akan dimasukkan ke dalam syurga (ayat 5) dan diakhiri juga dengan berita gembira bahawa dosa dosa dan kesalahan mereka akan diampunkan oleh Allah SWT dan mereka akan dimasukkan ke dalam syurga (ayat 29). Kedua dua ini merupakan sebesar besar pembukaan dan kurniaan buat mereka.
▪️Maka tema surah ini adalah; "kurniaan dan pembukaan Ilahi kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan umat baginda."
▪️Kesemua yang disebutkan dalam surah ini adalah berkisar tentang kemenangan, pembukaan dan kurniaan Allah SWT iaitu; keampunan buat baginda dan penyempurnaan nikmat Allah kepada baginda (ayat 1 & 2), pertolongan Allah SWT buat baginda (ayat 3), penurunan ketenangan ke atas baginda dan sahabat baginda (ayat 4), janji Allah SWT buat orang orang yang beriman untuk memasukkan mereka ke dalam syurga (ayat 5 & 29), keredhaan Allah SWT buat mereka (ayat 17), kurniaan dunia kepada mereka (ayat 19 & 20) dan ketenangan hati mereka di Mekkah (ayat 25), berita gembira pembukaan kota Mekah (ayat 27) dan janji kemenangan Islam di muka bumi (ayat 28).
▪️ Memadai untuk mengetahui kemuliaan dan ketinggian kedudukan sahabat baginda صلى الله عليه وسلم adalah dengan Allah SWT menyebutkan tentang mereka di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran (ayat 29).
▪️Surah ini dinamakan Al-Hujurat (bilik) untuk memperingatkan orang orang yang beriman tentang mereka yang menyeru baginda dengan suara yang tinggi di luar bilik baginda, dan bahawa perbuatan ini tidak sesuai dengan kedudukan dan ketinggian baginda صلى الله عليه وسلم. Maka surah ini memberikan panduan kepada mereka untuk beradab dengan baginda صلى الله عليه وسلم pada setiap keadaan dan suasana.
▪️ Maka tema surah ini adalah; “akhlak yang mulia dan adab yang tinggi adalah asas kepada pembinaan masyarakat”.
▪️Surah ini bermula dengan menyebut dua sifat Allah SWT iaitu Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Mengetahui (ayat 1) dan diakhiri dengan menyebut sifat Ilmu bagi Allah SWT (ayat 18). Ini adalah isyarat kepada orang yang beriman agar hati mereka menjadi tenang dalam menerima apa apa sahaja perintah dan panduan daripadaNya kerana Dia bersifat dengan sifat Yang Maha Mengetahui. Maka setiap arahan dan perintah adalah untuk kebaikan manusia sejagat di dunia dan akhirat.
▪️Perkara penting yang disentuh di dalam surah ini adalah; kewajipan untuk beradab kepada Allah dan RasulNya dan larangan meninggikan suara dan menyakiti baginda ketika berbicara (ayat 2-5), kewajipan berhati hati ketika menerima berita dan amaran daripada menerima sesuatu yang disampaikan oleh orang yang fasik (ayat 6-8).
▪️Juga langkah langkah menghadapi fitnah dan cara pendamaian hubungan dua orang yang berselisih dengan merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah (ayat 9), kewajipan dan hak persaudaraan Islam dan obligasi akhlak akhlak yang menjaga maruah dan memelihara hak manusia (ayat 10-12), penerangan tentang kesatuan umat manusia dari sudut penciptaan (ayat 13), penerangan hakikat iman dan islam (ayat 14) yang membawa seseorang untuk mentaati rasul dan berjihad dengan harta dan jiwa (ayat 15).
▪️Pada akhir surah ini dijelaskan kesyumulan ilmu dan pengetahuan Allah SWT terhadap segala perkara yang wujud di alam ini supaya seorang mukmin sentiasa berhati hati dengan pemerhatian Allah ke atas setiap perbuatan dan kata katanya.
▪️Dalam Al-Quran neraca penilaian kemuliaan dan kehinaan seseorang adalah berdasarkan keimanan dan ketakwaan إن أكرمكم عند الله أتقاكم dan bukannya keturunan atau warna kulit atau harta seseorang.
▪️Surah ini dinamakan Qaf kerana ianya dimulakan dengan huruf ini.
▪️Surah ini bermula dengan menceritakan tentang Al-Quran (ayat 1) dan diakhiri juga dengan menceritakan tentang Al-Quran yang menjadi peringatan kepada mereka yang takutkan azabNya (ayat 45). Ini kerana surah ini berkisah tentang isu kebangkitan semula daripada kubur maka ayat ayat yang memberikan ancaman adalah lebih banyak daripada galakan.
▪️Maka tema surah ini adalah; “kebangkitan manusia pada hari akhirat”.
▪️ Surah ini bermula dengan menjelaskan dalil dalil yang membuktikan kebenaran kebangkitan hari akhirat (ayat 6-11) dan peringatan tentang pengakhiran golongan yang telah mendustakannya (ayat 12-13).
▪️Seterusnya disebutkan tentang keluasan dan kesempurnaan ilmu Allah pada segala perkara merangkumi yang nyata dan tersembunyi, yang mana semuanya akan dipersoalkan ke atas manusia di hari akhirat (ayat 16-18).
▪️Diceritakan juga tentang peristiwa hari akhirat yang pada waktu tersebut akan berlaku banyak pergaduhan, permusuhan dan balasan terhadap amal perbuatan buruk (ayat 20 -30). Seterusnya dikhabarkan juga janji janji buat orang beriman dengan balasan syurga (ayat 31-35).
▪️Solat dan zikir adalah amalan terbesar yang membantu seseorang untuk terus bersabar menghadapi ujian dalam dakwah dan kehidupan. (ayat 39 -40).
▪️Pada surah ini juga disebutkan tiga perkara yang boleh membinasakan seseorang manusia iaitu nafsu yang menyuruh melakukan kejahatan yang terdapat pada bisikan was was (ayat 16), hasutan syaitan (ayat 23) dan kelekaan daripada mengikuti perintah agama (ayat 37).
▪️Dinamakan surah ini al-zariyat (angin) kerana Allah SWT memulakan sumpah dengannya pada permulaan surah ini.
▪️ Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang malaikat malaikat yang membawa rezeki dan membahagikannya dengan perintah Allah SWT (ayat 2-4) dan diakhiri dengan ayat yang menyebutkan bahawa rezeki itu di tangan Allah SWT sahaja (ayat 58). Ini adalah agar hati orang orang yang beriman itu hanya bergantung dan berharap kepada Tuhan Yang Maha Pemurah dan tidak berharap kepada selainNya.
▪️ Tema surah ini adalah; "rezeki dan pemberian adalah hak mutlak Allah SWT."
▪️Pada ayat 15 – 19 disebutkan sifat sifat orang yang beriman yang mana telah melayakkan mereka untuk meraih ganjaran syurga iaitu; sedikit tidur pada waktu malam kerana beribadat (ayat 17), banyak beristighfar pada waktu sahur (ayat 18) dan pada harta mereka ditunaikan hak orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta (ayat 19).
▪️Pada ayat 22 – 23 dijelaskan bahawa rezeki itu berada pada tangan Allah SWT semata mata dan dibahagikan menurut perintah dan arahanNya. Disebutkan juga dua jenis rezeki iaitu makanan (ayat 26) dan zuriat (ayat 28).
▪️ Pada juzuk ini diteruskan lagi dengan kisah pengutusan malaikat kepada kaum Nabi Lut. Mereka mendapati bahawa pada kaum Nabi Lut hanya terdapat satu rumah sahaja yang beriman kepada Allah SWT dan mereka akan diselamatkan daripada azab yang akan ditimpakan ke atas kaum mereka yang lain. Ini mengisyaratkan kepada ketinggian dan kemuliaan iman di sisi Allah SWT yang mana menjadi penyebab kepada keselamatan dan kesejahteraan seseorang.
▪️ Seterusnya pada ayat 50 terdapat perintah kepada orang yang beriman agar kembali kepada Allah SWT. Apa yang indahnya adalah perbuatan “kembali kepada Allah” pada ayat ini dinamakan الفرار (mencari perlindungan) kerana perbuatan berlindung kepada selainNya adalah tanda tanda ketakutan dan kegelisahan, tetapi berlindung kepada Allah SWT adalah ketenangan, kegembiraan dan keamanan. ففروا إلى الله!
▪️Surah ini diakhiri dengan perintah untuk memberikan peringatan kepada orang orang yang beriman kerana mereka sahaja yang dapat mengambil manfaat daripada peringatan tersebut (ayat 55) dan penjelasan hakikat penciptaan jin dan manusia iaitu untuk beribadat kepadaNya (ayat 56).
▪️Dinamakan surah ini Al-Thur (Thursina) kerana Allah SWT telah bersumpah dengannya pada ayat yang pertama.
▪️Surah ini bermula dengan sumpah bahawa azab Allah SWT pasti akan berlaku (ayat 7) dan diakhiri dengan penegasan bahawa azab Allah SWT akan menimpa orang yang zalim (ayat 45-47). Ini adalah kerana peringatan, amaran dan ancaman dapat memberikan kesan yang besar kepada jiwa manusia untuk melakukan perubahan.
▪️ Tema surah ini adalah, “menjawab keraguan orang orang musyrikin berkaitan hari akhirat.”
▪️Topik utama surah ini adalah; ancaman azab terhadap mereka yang mendustakan kebenaran dan bahawa tiada keraguan ianya akan berlaku (ayat 7-16), seterusnya disebutkan tentang janji ganjaran syurga buat orang yang beriman (ayat 17-28, 44-47).
▪️Juga membatal dan menjawab hujah hujah mereka yang mendustakan kebenaran (ayat 29-43) dan diakhiri dengan pengubat hati kepada baginda صلى الله عليه وسلم agar tidak bersedih dengan keingkaran kaum baginda serta perintah untuk menunaikan solat dan berzikir pada setiap waktu (ayat 48-49).
▪️Pada ayat 21 terdapat janji daripada Allah untuk memasukkan zuriat keturunan orang orang yang beriman ke dalam syurga bersama mereka dengan syarat mereka turut beriman. Ini mengisyaratkan bahawa kasih sayang ibu bapa bukan terhad untuk di dunia tetapi tersedia juga di hari akhirat kelak. Semoga Allah menghimpunkan kita bersama sama ibu bapa kita di syurga kelak.
▪️Surah ini dinamakan Al-Najm (bintang) kerana Allah SWT menyebutkan tentangnya pada permulaan surah ini, iaitu bagaimana bintang tunduk dan patuh kepada arahan Allah SWT untuk terbenam.
▪️Surah ini dimulakan dengan ayat yang menyebutkan tentang terbenamnya bintang (ayat 1) dan diakhiri dengan perintah bersujud (ayat 62). Ini adalah untuk menerangkan kewajipan untuk tunduk dan menyerah diri kepada wahyu yang diturunkan daripada Allah SWT.
▪️ Tema surah ini adalah kebenaran dan keagungan wahyu Allah SWT.
▪️ Pada surah ini terdapat tazkiah (purification) / pembersihan Allah SWT kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم daripada sifat sifat tercela : pada permikiran baginda – tidak menyelewang dan tidak sesat (ayat 2), pada percakapan baginda – tidak menurut hawa nafsu dan kehendak diri sendiri (ayat 3), pada malaikat yang menyampaikan wahyu kepada baginda (ayat 5 & 6), pada hati baginda – yang tidak berdusta (ayat 11) dan penglihatan baginda – tidak menyimpang dan tidak melampaui apa yang dilihat (ayat 17).
▪️Dijelaskan juga bahawa akidah dan kepercayaan orang orang musyrikin pada hakikatnya terbina atas sangkaan, hawa nafsu, kejahilan dan taklid buta (ayat 21, 23, 28, 34).
▪️Kesepakatan dan persamaan kitab kitab yang diturunkan daripada langit tentang asas asas akidah yang sama – kekuasaan Allah – kebangkitan dan hari akhirat – perhitungan dan balasan- (ayat 38 – 48).
▪️Diterangkan juga hikmah disebalik penciptaan langit dan bumi (ayat 31) serta penerangan kehancuran orang orang yang mendustakan 7 rasul daripada kalangan umat terdahulu.
▪️Surah ini dinamakan Al-Qamar (bulan) kerana peristiwa bulan terbelah pada zaman baginda yang berlaku kerana permintaan daripada kaum musyrikin agar baginda menunjukkan kekuasaan Allah SWT.
▪️Tema surah ini adalah sunatullah buat mereka yang mendustakan tanda tanda kekuasaanNya. Topik surah ini secara umum adalah untuk menerangkan contoh contoh pengakhiran umat terdahulu yang telah mendustakan rasul mereka dan tujuannya adalah untuk memperingatkan manusia akan kesesatan yang diri mereka berpegang kepadanya dan bahawasanya Allah SWT pasti akan menilai setiap amal perbuatan mereka.
▪️Pada ayat 17, 22 & 32 dijelaskan bahawa Allah telah mempermudahkan Al-Quran ini untuk peringatan bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran. Kata Al-Qusyairi: dipermudahkan bagi sesetengah orang untuk menghafal Al-Quran, manakala bagi sesetengah orang yang lain dipermudahkan untuk membacanya dan sebahagian orang yang lain dipermudahkan untuk memahaminya dan kesemua mereka ialah ahli Al-Quran.
▪️Surah ini dinamakan Al-Rahman kerana Allah memulakan surah ini dengan namaNya.
▪️ Tema surah ini adalah seruan terhadap hamba hambaNya untuk beriman kepadaNya dan memperingatkan mereka tentang nikmat nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka di dunia dan di akhirat.
▪️Oleh kerana surah ini bercerita tentang nikmat nikmat Allah maka ianya telah dimulakan dengan satu nikmat yang paling tinggi kedudukannya, paling besar manfaatnya dan paling sempurna faedahnya iaitu nikmat pengajaran Al-Quran (ayat 2).
▪️Bahkan nikmat Al-Quran ini didahulukan ke atas nikmat penciptaan manusia kerana asas bagi nikmat terdapat pada Al-Quran dan berpunca daripadanya.
▪️Topik surah ini: penjelasan nikmat nikmat Allah SWT kepada hamba hambaNya di dunia (ayat 2 – 11, 22, 24), kedudukan ahli syurga yang berbeza mengikut darjat (ayat 46, 62) dan penerangan bahawa jin dan manusia dituntut untuk beriman dan mentauhidkan Allah SWT dan mereka sama sama akan menerima ganjaran atau azab.
▪️Dinamakan nama surah ini Al-Waqiah adalah kerana Allah SWT memulakan surah ini dengannya yang mana ianya adalah salah satu nama bagi hari akhirat.
▪️Surah ini bermula dengan menerangkan perbezaan darjat manusia pada hari akhirat (ayat 8-10) dan diakhiri dengan menyebutkan juga tentang perbezaan kedudukan manusia pada hari akhirat (ayat 88-93). Ini agar menjadi galakan kepada hamba hambaNya untuk bersegera dan bersungguh sungguh dalam melakukan kebaikan agar mereka dapat mencapai darjat yang tertinggi di syurga.
▪️Topik utama surah ini adalah; kegoncangan bumi dan kehancuran gunung ganang ketika peristiwa hari kiamat, jenis jenis manusia ketika hari perhitungan (muqarrabun – ashab al yamin – ashab al-syimal), penegakan hujah tentang kewujudan pencipta dan keesaanNya, isyarat tentang ketinggian kedudukan Al-Quran dan bahawasanya ia adalah kebenaran yang tidak diragukan.
▪️Surah ini dinamakan Al-Hadid (besi) kerana Allah menyebutkan tentang besi pada surah ini yang mana ia menjadi asas ketamadunan manusia dan kekuatan mereka.
▪️ Surah ini dimulakan dengan perintah agar beriman dan mengaitkannya dengan perintah bersedekah (ayat 7) dan diakhiri dengan penjelasan bahawa Allah SWT memiliki limpah kurnia yang besar (ayat 29). Ini adalah untuk menjelaskan bahawa Allah SWT itu Maha Pemurah, maka sesiapa yang menginfakkan harta mereka Allah SWT pasti Allah akan menambahkan kurniaanNya kepada mereka dan menggantikan buat mereka dengan yang lebih baik.
▪️Tema surah ini adalah; “menyumbangkan harta di jalan Allah SWT adalah penawar yang paling mujarab bagi hati yang keras.”
▪️Topik surah ini; tasbih para makhluk kepada Allah SWT dan penjelasan tentang kekuatan dan ilmuNya yang maha luas (ayat 1 – 6), manusia hanya dipertanggungjawabkan dengan harta kerana Allah SWT ialah pemilik yang hakiki (ayat 7), peringatan tentang janji janji orang beriman dengan Allah SWT (ayat 8), kelebihan bersedekah sebelum pembukaan Mekah dan selepasnya (ayat 10), penjelasan tentang keadaan orang orang munafiq di hari akhirat (ayat 13 -15).
▪️Turut dijelaskan lagi adalah kelebihan dan keberkatan bersedekah (ayat 18) dan hakikat dunia yang akan hancur, keimanan terhadap qadha’ dan qadar dapat meneguhkan hati orang beriman ketika menerima musibah dan melindunginya daripada kesombongan (ayat 22-24), dan penjelasan hikmah perutusan para rasul dan penurunan kitab; iaitu untuk menegakkan kebenaran dan keadilan (ayat 25).
▪️Pada surah ini banyak disebutkan tentang manfaat amalan sedekah untuk mengubati hati yang keras dan banyak terdapat perintah untuk bersedekah pada surah ini sama ada secara jelas atau isyarat kepada kehinaan dunia dan keburukan sifat bakhil. Iaitu pada ayat; 7,10,11,18,20,23 & 24.
▪️Ayat 25 menjelaskan bahawa untuk menegakkan agama memerlukan dua perkara iaitu pertama Al-Kitab dan Al-Mizan yang menjadi hidayah dan petunjuk bagi manusia dan menjelaskan kebenaran kepada mereka dan menghukum dengan keadilan buat mereka. Perkara kedua adalah 'besi' yang menjadi isyarat kepada kekuatan yang dapat melindungi agama daripada penyelewengan yang gemar bermain main dan penindasan orang orang zalim.
▪️Nama lain surah ini adalah Al-Mujādalah dan Qad Sami’a (قد سمع).
▪️Di namakan surah ini sebagai Al-Mujādilah (wanita yang bersoal jawab) kerana ianya dimulakan dengan kisah Khaulah binti Tha’labah رضي الله عنها yang telah pergi berjumpa dengan Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم dan mengadu kepada baginda tentang suami beliau Aus bin Al-Ṣāmiṭ رضي الله عنه dan beliau telah bersoal jawab dengan baginda tentang peristiwa yang telah berlaku antara mereka.
▪️Surah ini dinamakan dengan dengan nama قد سمع (Allāh SWT telah mendengar) kerana ianya dimulakan dengan ayat ini.
▪️ Surah ini bermula dengan ayat yang menerangkan keluasan ilmu Allāh SWT (ayat 1) dan diakhiri dengan menyebutkan tentang ilmu Allāh SWT yang bersifat azali (ayat 21). Ini adalah supaya seorang hamba sentiasa memerhatikan amalan dirinya dan sentiasa menuntut ilmu pengetahuan.
▪️ Permulaan surah ini terdapat penjelasan tentang hukum ẓihār (menyamakan bahagian tubuh isteri atau seluruh tubuhnya dengan orang yang haram untuk dinikahi) di dalam Islām (ayat 1-4).
▪️ Terdapat perintah untuk berbisik bisik hanya pada perkara kebaikan dan tidak berbisik bisik pada perkara yang haram dan juga maksiat seperti yang telah dilakukan oleh golongan yahudi (ayat 8-10).
▪️Diterangkan juga kelebihan orang yang berilmu ke atas orang lain sehingga diutamakan tempat buat mereka di dalam sesuatu majlis (ayat 11).
▪️Terdapat juga larangan daripada membebankan Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم dengan perbualan perbualan (ayat 12 &13).
▪️Perintah untuk memberikan walā’ (taat setia) kepada Allāh SWT, RasulNya dan orang orang yang beriman, serta barā’ (melepaskan diri) daripada ketaatan kepada musuh musuh Allāh walaupun mereka adalah sedekat dekat manusia kepada seseorang.
▪️Surah ini adalah satu satunya surah di dalam Al-Quran yang terdapat nama Allāh SWT pada setiap ayatnya.
▪️Dinamakan surah ini Al-Ḥasyr (pengumpulan) kerana Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم telah mengumpulkan kabilah yahudi untuk diusir ke bumi Shām setelah mereka melanggar perjanjian demi perjanjian yang telah dimetrai bersama baginda صلى الله عليه وسلم dan mereka juga berpihak kepada kaum Musyrikin Mekah yang memusuhi umat Islam.
▪️Nama lain surah ini adalah surah Bani Al-Naḍīr kerana terdapat peristiwa pengusiran mereka daripada tempat tinggal mereka di dalam surah ini.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allāh SWT (ayat 1) dan diakhiri dengan menyebutkan bahawa Dia memiliki nama nama yang mulia (ayat 24). Ini adalah untuk menerangkan ciri ciri kekuasaan Allāh SWT dan hikmahNya.
▪️ Maka tema surah ini adalah menjelaskan kekuasaan Allāh SWT untuk memuliakan dan memenangkan orang orang Islām dan menghinakan dan mengalahkan orang orang kafir.
▪️Pada surah ini disebutkan tentang tasbīḥ para makhluk kepada Allāh SWT dan kesucian zatNya dan sifatNya dan perbuatanNya daripada kekurangan, dan menerangkan kekuatanNya dan kemampuanNya serta kebijaksanaanNya. (ayat 1,22 – 24).
▪️Dijelaskan tentang keadaan orang orang Yahudi dan munafiqin dan bagaimana Allāh SWT telah menghina mereka dan membongkarkan kejahatan mereka (ayat 2-5, 11-17).
▪️Disebutkan juga tentang keadaan orang orang yang beriman daripada kalangan Al-Muhajirīn dan Al-Anṣār dan kenapakah mereka layak mendapat pujian daripada Allāh serta doa orang orang yang beriman selepas mereka (8-10).
▪️Turut dijelaskan tentang hukum Al-Fai’ (harta yang diperolehi tanpa melalui peperangan) dan bagaimanakah cara pembahagiannya (ayat 5-7).
▪️Dijelaskan perbezaan antara orang Islām dan orang orang kafir (ayat 20) dan kehebatan kesan Al-Quran kepada makhluk (ayat 21).
▪️Surah ini turut dinamakan Al-Mumtahānah (wanita yang diuji) kerana disebutkan ayat tentang pengujian keimanan wanita wanita muslimah yang berhijrah ke Madīnah.
▪️ Surah ini dimulakan dengan larangan memberikan muwālāh (sokongan & kesetiaan) kepada orang orang kafir (ayat 1) dan diakhiri dengan perintah yang sama (ayat 13). Ini kerana sebesar tanda tanda ketulusan iman adalah cinta dan benci kerana Allāh SWT, serta memberikan kesetiaan dan permusuhan kerana Allāh SWT.
▪️Surah ini bermula dengan menerangkan larangan memberikan kesetiaan kepada orang orang musyrikin dan sebab di sebalik larangan ini iaitu kerana mengingkari kebenaran Islam dan mengeluarkan orang orang Islam dari Mekah (ayat 1-3).
▪️Disebutkan juga dalam surah ini contoh teladan orang yang telah berlepas diri daripada orang orang musyrikin iaitu Nabi Ibrahīm عليه السلام yang telah berlepas diri daripada kekufuran ayah dan kaum baginda. (ayat 4 – 6).
▪️Terdapat perintah untuk baginda صلى الله عليه وسلم menguji keimanan wanita wanita yang berhijrah ke Madinah dan larangan untuk menghantar mereka pulang semula ke Mekah. (ayat 10.
▪️Disebutkan tentang cara bai’ah untuk wanita wanita muslimah di negara negara Islam (ayat 12) dan terdapat penjelasan bahawa Allāh tidak melarang seseorang Muslim untuk berlaku baik dan adil kepada orang yang tidak memerangi mereka kerana agama dan tidak mengeluarkan mereka dari kampung halaman mereka (ayat 7-8).
▪️ Oleh kerana surah ini berbicara tentang pertolongan untuk agama maka disebutkan tentang Al-Ṣaf (barisan) sebagai lambang kepada kesatuan umat Islām dan juga lambang kepada jihad dan kemenangan mereka. Maka tema surah ini adalah pertolongan untuk agama.
▪️ Surah ini bermula dengan perintah untuk berjihad di jalan Allāh SWT dan membantu agamaNya (ayat 4) dan diakhiri dengan perintah untuk membantu agamaNya (ayat 14). Ini untuk menjelaskan kepentingan jihad dan membantu agama Allāh dalam kehidupan seorang Muslim dan tidak sepatutnya kita mengabaikannya dan cuai daripada melaksanakannya.
▪️ Pada ayat 2 & 3 dijelaskan tentang celaan Allah SWT terhadap mereka yang tidak beramal seperti apa yang mereka ucapkan. Juga pengingkaran terhadap baginda صلى الله عليه وسلم adalah punca kepada kehancuran seseorang (ayat 5).
▪️ Nabi Isa عليه السلام telah menyampaikan khabar gembira akan pengutusan nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم kepada pengikut pengikut baginda.
▪️Sebaik baik amalan di sisi Allāh SWT ialah beriman kepadaNya dan kemudian berjihad pada jalanNya dan ini adalah ‘perniagaan’ yang akan membawa keuntungan (ayat 10-13). Dijelaskan juga tentang kewajipan untuk menolong agama Allah SWT (ayat 14).
▪️Dinamakan surah ini Al-Jum’ah kerana ia adalah satu satunya surah yang menyebutkan tentang solat jumaat di dalam Al-Quran.
▪️Dimulakan surah ini dengan menjelaskan tentang pengutusan baginda صلى الله عليه وسلم yang mana Al-Quran dan Al-Hikmah yang diberikan kepada baginda adalah kurniaan daripada Allāh SWT (ayat 2-4) dan diakhiri dengan menjelaskan apa yang ada di sisi Allāh SWT daripada ganjaran akhirat itu lebih baik daripada dunia (ayat 11). Ini adalah untuk menerangkan bahawa apa yang ada di sisi Allāh SWT itu lebih baik dan lebih kekal maka seseorang perlulah berusaha untuk meraih keredhaanNya.
▪️Tema surah ini adalah pemeliharaan terhadap ciri ciri dan syiar agama.
▪️Surah ini menjelaskan kesucian Allāh SWT yang memiliki segala kemuliaan dan ilmu daripada kekurangan (ayat 1) dan menjelaskan nikmat Allāh ke atas arab (dan seterusnya manusia yang lain) melalui pengutusan rasul daripada kalangan mereka (ayat 2-4).
▪️Dijelaskan juga kecuaian dan ketidak amanahan bani Israel dalam melaksanakan perintah agama serta sifat takut mati dan cinta kepada dunia (ayat 5-8) dan diakhiri dengan perintah untuk memelihara syiar solat jumaat dan hukum hakam yang berkaitan dengannya (ayat 9-11).
▪️Dinamakan surah ini Al-Munāfiqūn kerana keseluruhan surah ini menceritakan tentang sifat sifat mereka dan memperingatkan tentang keburukan amal perbuatan mereka. Maka tema surah ini adalah peringatan tentang bahaya golongan munafiq.
▪️Surah ini bermula dengan penjelasan bahawa Allāh SWT mengetahui pembohongan orang orang munafiq dalam keimanan (ayat 1) dan diakhiri dengan pemberitahuan bahawa Allah SWT mengetahui segala perbuatan seseorang (ayat 11). Ini adalah isyarat kepada orang orang yang beriman agar sentiasa memerhatikan niat niat dan amalan amalan mereka dan juga peringatan kepada orang orang munafiq bahawa Allāh SWT mengetahui segala rahsia rahsia mereka.
▪️Surah ini menjelaskan tentang sifat sifat orang munafiqin (berbohong, pengecut, sumpah palsu, membenci orang orang beriman dan kebaikan untuk mereka, meremehkan dan memperlekehkan nabi dan sombong) dan amaran tentangnya (ayat 1-8).
▪️Terdapat galakan kepada orang orang yang beriman untuk bersedekah kerana kelebihan besar yang terdapat padanya di dunia dan akhirat (ayat 10) dan peringatan tentang fitnah harta dan anak anak (ayat 9).
▪️Surah ini dinamakan Al-Taghābun (saling menipu) kerana di dalam surah ini disebutkan tentang keadaan orang orang kafir di hari akhirat yang berada dalam kekurangan, kelemahan dan ketertipuan. Maka tema surah ini adalah penjelasan terhadap ketertipuan orang kafir di hari akhirat.
▪️Surah ini bermula dengan tasbih para makhluk terhadap Allāh SWT dan menjelaskan keluasan ilmuNya (ayat 1-2) dan diakhiri dengan perkara yang sama (ayat 18). Ini adalah kerana Allāh SWT mengetahui sejak azali siapakah ahli syurga dan ahli neraka dan siapakah mereka yang tertipu dalam kalangan mereka.
▪️Surah ini menyebutkan tentang keteperdayaan dari sudut keimanan iaitu orang beriman akan bahagia manakala orang kafir akan rugi (ayat 9 &10). Seterusnya menjelaskan keteperdayaan dari sudut ketaatan iaitu orang yang rajin melakukan ketaatan akan bahagia manakala orang yang malas akan rugi (ayat 12 &14). Akhirnya dijelaskan keteperdayaan dari sudut infaq iaitu orang yang bersedekah akan bahagia manakala orang yang bakhil akan rugi (ayat 17).
▪️Surah ini dinamakan Al-Ṭalaq kerana ia menjelaskan hukum hakam talaq dengan terperinci berbanding surah surah yang lain. Surah ini juga dinamakan Al-Nisa’ Al-Quṣrā (Al-Nisa’ yang ringkas) kerana perincian tentang hukum talaq hampir merangkumi keseluruhan surah ini.
▪️Surah ini bermula dengan perintah untuk bertakwa (ayat 1) dan diakhiri dengan perintah yang sama (ayat 10). Ini adalah jika seseorang bertakwa kepada Allāh maka segala perintah perintahNya akan menjadi mudah untuk dilaksanakan.
▪️Tema surah ini adalah ketakwaan kepada Allāh SWT adalah sebab kepada kesejahteraan dan kestabilan rumah tangga, masyarakat dan negara.
▪️Pada ayat 1-6 dijelaskan hukum hakam talaq, iddah dan nafkah kepada isteri. Dijelaskan juga tentang hasil taqwa dan kebaikannya buat individu dan masyarakat (ayat 2-5). Dijelaskan juga pengakhiran buruk kepada maksiat dan tidak bertaqwa kepada Allāh SWT (ayat 8 &9) dan ganjaran terhadap iman dan amalan soleh (ayat 11).
▪️Dinamakan surah ini Al-Taḥrīm (pengharaman) kerana pada permulaan surah ini dan juga sebab bagi penurunan surah ini adalah kerana baginda Nabi صلى الله عليه وسلم telah mengharamkan ke atas diri baginda madu kerana untuk meredhakan sebahagian isteri baginda رضي الله عنهن.
▪️Surah ini bermula dengan menyebutkan tentang isteri isteri baginda رضي الله عنهن (ayat 3 & 4) dan diakhiri dengan menceritakan tentang dua orang isteri nabi yang terdahulu iaitu Nabi Nuh dan Nabi Lut عليهما السلام (ayat 10), wanita yang solehah iaitu isteri firaun (ayat 11) dan penghulu bagi wanita pada zaman tersebut iaitu Maryam عليها السلام (ayat 12). Ini untuk mengisyaratkan kepentingan peranan wanita dalam keluarga dan kesannya terhadap masyarakat dan umat.
▪️Tema surah ini adalah pesanan untuk mendidik dan membentuk keluarga menurut acuan Islam.
▪️Surah ini bermula dengan teguran Allāh kepada baginda dan keampunan Allah SWT buat baginda (ayat 1). Terdapat juga penerangan tentang akibat membocorkan rahsia dalam keluarga (ayat 2-5). Tanggungjawab mendidik anak anak dengan acuan agama adalah tanggungjawab syar’ie (ayat 6).
▪️ Pada kisah kisah umat yang terdahulu terdapat pelbagai pengajaran dan faedah (ayat 10-12) dan kewajipan untuk bertaubat pada setiap waktu (ayat 8).
▪️Surah ini dinamakan Al-Mulk kerana ia berbicara tentang tadbir dan pemeliharaan Allāh SWT terhadap kekuasaanNya. Dinamakan juga surah ini Tabārak kerana Allāh SWT memulakan surah ini dengan kalimah ini. Selain itu surah ini juga dinamakan Al-Māni’ah (penghalang) dan Al-Munjiyah (penyelamat) kerana surah ini menyelamatkan dan melindungi pembacanya daripada azab kubur (HR Al-Hākim & Al-Tirmizī).
▪️ Tema surah ini adalah; pengurusan dan pentadbiran alam adalah di tangan mutlak Allāh SWT.
▪️Surah ini menceritakan tentang hikmah di sebalik penciptaan makhluk (ayat 2, 23 &24), keindahan susun atur dan peraturan alam yang tidak terdapat padanya cacat cela dan kekurangan (ayat 4 &3). Dijelaskan juga tentang hikmah penciptaan bintang bintang di langit (ayat 5), keadaan orang orang kafir pada hari akhirat (ayat 7-11, 27) dan seruan kepada mereka untuk merenungi dan menggunakan akal akal fikiran agar sampai kepada kebenaran (ayat 16 – 22 & 28-30).
▪️Surah ini dinamakan Al-Qalam (pena) kerana Allāh SWT telah bersumpah dengannya pada permulaan surah ini dan surah ini turut dinamakan Nun kerana surah ini dimulakan dengan huruf ini.
▪️ Tema surah ini adalah; seruan untuk mengamalkan akhlak akhlak yang mulia dan meninggalkan akhlak akhlak yang buruk.
▪️ Surah ini bermula dengan memuji akhlak Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم (ayat 4) dan mencela akhlak akhlak yang buruk seperti mengumpat, berbohong, kebiadaban dan banyak bersumpah dengan perkara batil (ayat 10-13).
▪️Juga disebutkan tentang kisah pemilik pemilik kebun yang bersifat bakhil dan kedekut serta balasan ke atas mereka (ayat 10-13), terdapat juga celaan terhadap penyakit hasad dengki (ayat 50).
▪️ Surah ini dinamakan Al-Ḥāqqah (yang pasti terjadi) -yang juga merupakan nama bagi hari akhirat- kerana ia adalah hari yang pasti akan tiba. Pada hari tersebut mereka yang berhak mendapat ganjaran akan memperolehnya manakala mereka yang layak mendapat balasan akan mendapatnya. Maka tema surah ini adalah; kepastian dan kebenaran peristiwa Hari Kiamat.
▪️Surah ini bermula dengan menceritakan kehancuran umat umat terdahulu kerana keingkaran mereka kepada para rasul (ayat 1-12). Seterusnya dijelaskan ganjaran golongan yang beriman pada hari akhirat (ayat 19-24) dan ganjaran orang yang kafir (ayat 25-37).
▪️ Akhirnya surah ini menegaskan kebenaran Al-Quran dan bahawa ianya adalah wahyu daripada Allāh SWT (ayat 38-43).
▪️Dinamakan surah ini Al-Ma’ārij (tempat tempat naik) kerana Allāh SWT menyebutkan tentang para malaikat yang naik ke langit, atau untuk menyeru orang orang yang beriman agar berusaha untuk meraih kedudukan yang tertinggi di syurga. Maka tema surah ini adalah; kesungguhan dalam peningkatan sudut keimanan.
▪️ Surah ini menjelaskan beberapa keadaan yang akan berlaku di hari akhirat (ayat 8-10) dan menyifatkan juga beberapa azab yang terdapat di dalam neraka (ayat 15-18), seterusnya surah ini juga menerangkan sifat sifat yang baik bagi manusia agar mereka darjat mereka dalam keimanan dapat meningkat (ayat 22-24).
▪️ Terdapat juga ancaman kepada orang orang kafir dengan disebutkan beberapa azab yang akan mereka rasai pada hari akhirat (ayat 40-44).
▪️Pada ayat yang menceritakan tentang sifat sifat orang mukmin disebutkan pada permulaannya tentang solat (ayat 23) dan diakhiri juga dengan solat (ayat 34), ini adalah untuk mengisyaratkan kepada kepentingan solat dan sesiapa yang menjaganya maka dirinya akan lebih mudah untuk mencapai akhlak akhlak yang mulia kerana solat adalah kunci kebaikan yang paling besar.
▪️Surah ini dinamakan Nūḥ kerana ia menyebutkan tentang kisah Nabi Nūḥ عليه السلام dengan terperinci dan tidak disebutkan kisah nabi dan rasul lain selain baginda di dalam surah ini.
▪️Tema surah ini adalah; kesungguhan dalam berdakwah. Perkara pertama yang diseru oleh Nabi Nūḥ kepada kaum baginda adalah agar mereka mentauhidkan Allāh (ayat 3), baginda juga menyeru mereka dengan ancaman dan juga galakan (ayat 4), baginda juga menyeru mereka pada setiap waktu; siang dan malam (ayat 5) dan menyeru mereka secara individu atau berkumpulan (ayat 8 &9).
▪️ Kemudian baginda menyeru mereka dengan galakan agar memperbanyakkan istighfar dan menerangkan faedah istighfar di dunia dan akhirat (ayat 10-12), juga mereka diseru oleh baginda agar memerhatikan dan merenungi penciptaan alam ini (ayat 13-20) dan akhir sekali baginda berdoa untuk orang orang yang beriman kepada baginda dan mendoakan kehancuran buat mereka yang ingkar (ayat 26-28).
▪️Surah ini dinamakan Al-Jin kerana surah ini menyebutkan tentang Jin dengan terperinci dan tidak disebutkan tentang selain mereka di dalam surah ini. Tema surah ini adalah penjelasan bahawa jin seperti mana manusia turut dituntut untuk beriman.
▪️Surah ini bermula dengan menceritakan iman jin kepada Al-Quran (ayat 1-5). Pada ayat ini terdapat teguran halus kepada golongan kafir quraisy yang tidak beriman dengan Al-Quran sedangkan jin yang dikenali dengan sifat suka memberontak turut beriman kepadanya setelah mengetahui bahawa ia adalah mukjizat daripada Allah SWT. Seterusnya perbuatan meminta pertolongan kepada jin adalah kemudaratan yang amat besar dan akan menyebabkan manusia bertambah sesat (ayat 6).
▪️ Dijelaskan juga bahawa masjid masjid kesemuanya adalah milik Allāh SWT dan tidak sepatutnya berlaku kesyirikan di dalamnya (ayat 18) dan tidak ada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib –antaranya hari kiamat- melainkan Allāh SWT sahaja (ayat 25).
▪️Surah ini dinamakan Al-Muzzammil (orang yang berselimut) kerana Allāh SWT menyeru baginda صلى الله عليه وسلم dengan panggilan ini pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah; amalan qiyamullail merupakan perkara yang penting bagi seorang pendakwah.
▪️ Perintah Allāh SWT kepada baginda dalam surah ini adalah; agar baginda berqiamullail 1/3 malam atau ½ malam atau 2/3 daripada malam (ayat 2-3) - pada ketika ini qiyamullail adalah amalan fardhu kepada baginda dan juga para sahabat. Juga terdapat perintah untuk membaca Al-Quran dengan tartīl (perlahan lahan) untuk memudahkan tadabbur (ayat 4). Juga terdapat perintah agar memperbanyakkan zikir dan ibadat kepada Allāh SWT pada setiap masa (ayat 8).
▪️Juga terdapat perintah agar sentiasa bertawakkal kepada Allāh SWT dan bersabar dengan apa yang dikatakan oleh mereka yang menentang dakwah baginda dan meninggalkan pembalasan terhadap mereka (ayat 10-11).
▪️Surah ini diakhiri dengan menjelaskan keringanan daripada melakukan qiyamullai kepada umat baginda dengan pengekalan hukum wajib ke atas baginda صلى الله عليه وسلم (ayat 20). Pada ayat ini juga terdapat isyarat kepada kepentingan amalan istighfar sebagai penutup bagi sesuatu amalan kebaikan.
▪️ Qiyamullail adalah madrasah bagi pendidikan jiwa, tadabbur terhadap Al-Quran, membina keikhlasan kepada Allah dan untuk mencapai sifat sifat yang mulia. Maka kerana inilah Allah SWT telah memfardhukan amalan qiyamullail ini ke atas para sahabat selama setahun agar hati mereka menjadi kuat dan lebih berpaut kepada Allāh SWT dan dengan itu mereka akan mampu menanggung bebanan dan tanggungjawab dakwah.
▪️Dinamakan surah ini Al-Muddaththir (orang yang berselimut) kerana Allāh SWT menyeru baginda dengan panggilan ini pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah; usaha yang bersungguh sungguh dalam berdakwah.
▪️ Permulaan surah ini terdapat perintah kepada baginda untuk bangkit dengan melaksanakan tugasan tugasan dakwah (ayat 1-7) dan disebutkan juga tentang ancaman yang telah dijanjikan kepada orang orang kafir (ayat 8-10).
▪️ Seterusnya disebutkan tentang contoh golongan yang berpaling daripada dakwah serta sebab mereka berpaling daripadanya (ayat 11-25) dan sifat sifat neraka yang telah Allāh janjikan kepada orang orang kafir dan sifat penjaga neraka tersebut (ayat 31-36).
▪️Dinamakan surah ini Al-Qiyāmah kerana ia berbicara tentang hari kiamat daripada permulaannya sehingga ke akhirnya berserta kesusahan yang berlaku pada hari tersebut dan pengakhiran manusia sama ada ke syurga atau ke neraka. Topik dan tema surah ini adalah hari kiamat.
▪️Hari kiamat adalah antara perkara yang sering diragui oleh manusia maka kerana inilah surah ini bermula dengan seruan; adakah manusia menyangka bahawa Allāh tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulangnya (ayat 3) dan diakhir dengan seruan; adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja taxnpa pertanggungjawaban? (ayat 36). Seruan ini adalah agar manusia berfikir dan merenung dengan sedalam dalamnya tentang hari kebangkitan dan perhitungan, seterusnya berwaspada dengannya.
▪️ Surah ini juga menyentuh tentang penciptaan manusia yang menjadi bukti kukuh kepada kebenaran hari kebangkitan (ayat 37-40).
▪️Surah ini dinamakan Al-Insān kerana ia berbicara tentang asal penciptaan manusia; bagaimana masa lalunya dan bagaimana masa hadapannya. Tema surah ini adalah; peringatan kepada setinggi tinggi makhluk iaitu manusia kepada setinggi tinggi tujuan iaitu syurga.
▪️Surah ini menceritakan tentang asal penciptaan manusia dan bagaimana ia diciptakan (ayat 1-2) dan persediaan bagi manusia untuk menanggung taklifan (ayat 2-3). Dijelaskan juga nikmat nikmat ahli syurga dengan terperinci (ayat 5-6 & ayat 11-22) dan amalan amalan yang melayakkan mereka ke syurga (ayat 7-10).
▪️Seterusnya disentuh juga tentang keadaan orang orang kafir (ayat 14) berserta sebab sebab keengganan mereka terhadap iman (ayat 27) dan diakhiri dengan ayat yang menguatkan semangat baginda untuk terus berdakwah.
▪️ Surah ini memperincikan nikmat nikmat ahli syurga dalam 14 ayat tetapi hanya menyebutkan satu ayat sahaja tentang azab ahli neraka. Ini adalah bagi menguatkan azam dan membetulkan fokus orang orang yang beriman kepada satu tujuan sahaja iaitu syurga Allāh SWT.
▪️ Dijelaskan juga bahawa Al-Quran, sifat sabar, zikir kepada Allah pada pagi dan petang dan qiyamullail adalah perkara yang membantu seseorang untuk teguh dalam berdakwah dan menyampaikan agama (ayat 23- 26).
▪️ Walaupun baginda melalui pelbagai urusan dan kesibukan seharian tetapi baginda tetap diperintahkan untuk bangun berqiyamullail dan bertasbih kepada Allāh kerana ia adalah sumber kekuatan bagi baginda صلى الله عليه وسلم.
▪️Surah ini dinamakan Al-Mursalāt (malaikat yang diutuskan) kerana Allāh SWT telah memulakan surah ini dengan bersumpah dengan mereka. Mereka ialah malaikat yang diutuskan untuk membawa kebaikan dan kurniaan kepada manusia.
▪️Surah ini adalah surah yang terakhir dibaca oleh baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dalam hidup baginda iaitu baginda membacanya ketika solat maghrib yang juga merupakan solat terakhir baginda sebelum diwafatkan oleh Allāh SWT (HR Al-Bukharī dan Muslim).
▪️ Surah ini menegaskan tentang hari akhirat yang akan berlaku dan memberikan ancaman kepada orang orang kafir tentang apa yang akan menimpa mereka seperti mana yang telah ditimpa oleh golongan yang terdahulu. Juga terdapat celaan terhadap mereka kerana mengingkari nikmat nikmat Allāh yang terdapat pada diri mereka dan alam ini. Disifatkan juga azab bagi orang orang kafir di hari akhirat dan nikmat bagi orang bertakwa.
▪️ Pada ayat 43 terdapat isyarat bahawa amalan kebaikan di dunia adalah sebab kepada seseorang untuk mendapatkan nikmat dan ganjaran di syurga.
▪️Surah ini dinamakan Al-Naba’ (perkhabaran) & juga Al-Tasaul (bertanya tanya) kerana persoalan dan perbincangan orang orang kafir quraisy tentang hari kebangkitan selepas kematian amatlah banyak.
▪️ Tema surah ini adalah pembuktian dan pendalilan hari kebangkitan. Surah ini dimulakan dengan persoalan dan perbezaan pendapat orang orang musyrikin tentang hari akhirat (ayat 1-6), kemudian surah ini menarik perhatian mereka agar memerhatikan tanda tanda kekuasaan Allah yang menjadi bukti kebenaran kebangkitan selepas kematian (ayat 6-16).
▪️Seterusnya disifatkan peristiwa yang akan berlaku pada hari akhirat (ayat 17-19) dan balasan bagi orang orang yang kafir (ayat 20-30) dan ganjaran bagi mereka yang bertakwa (ayat 31-40).
▪️Dinamakan surah ini Al-Nazi’at (malaikat yang mencabut nyawa) kerana Allah SWT telah bersumpah dengan mereka pada awal permulaan surah ini. Tema surah ini adalah peringatan daripada huru hara hari akhirat.
▪️Surah ini bermula dengan menerangkan beberapa suasana yang akan berlaku pada hari akhirat (ayat 1-14) dan menceritakan tentang mereka yang ingkar kepada kebenaran (ayat 15-26) dan mengalih pandangan orang orang kafir quraisy untuk memerhatikan tanda tanda kekuasaan Allah SWT (ayat 27-33).
▪️Juga disebutkan tentang pembezaan antara manusia di hari akhirat – orang yang beriman dan orang yang ingkar – serta perbezaan pengakhiran mereka (ayat 34 -41) dan diakhiri dengan menjelaskan Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang hari akhirat.
▪️Jalan bagi menuju ke syurga adalah takut kepada Allah SWT dan melawan hawa nafsu (ayat 40-41).
▪️Surah ini dinamakan ‘Abasa (berwajah masam) kerana ianya diturunkan bersempena peristiwa yang melibatkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bersama Abdullah ibn Ummi Maktum yang buta. Pada waktu tersebut baginda sedang sibuk berdakwah kepada pemimpin Quraisy dan Abdullah datang kepada baginda untuk mendengar pengajaran. Maka baginda صلى الله عليه وسلم mengutamakan pemimpin Quraisy berbanding Abdullah dan Allah SWT telah menegur baginda dengan menurunkan surah ini.
▪️Pada hakikatnya apa yang dilakukan oleh baginda dengan mengutamakan pemimpin Quraisy bukanlah satu dosa atau kesalahan (baginda ma’sum) kerana dengan baginda memberikan fokus kepada pemimpin Quraisy; andai mereka beriman maka manfaatnya lebih besar buat umat Islam kerana jika seorang pemimpin beriman maka ianya akan diikuti oleh para pengikut pengikut mereka. Maka atas sebab inilah baginda berpaling daripada Abdullah bin Ummi Maktum dan terus memberikan fokus kepada pemimpin Quraisy.
▪️ Tetapi Allah SWT memberikan peringatan kepada baginda dan seterusnya kepada umat baginda untuk memberikan perhatian kepada golongan yang lemah dalam kalangan umat Islam dan tidak mengabaikan mereka. Maka tema surah ini adalah perlindungan dan pemberian perhatian kepada golongan yang lemah dalam kalangan orang yang beriman.
▪️ Surah ini bermula dengan teguran dan peringatan Allah SWT kepada baginda صلى الله عليه وسلم (ayat 1-10), kemudian dijelaskan tentang Al-Quran sebagai sebaik baik peringatan dan pemberi pengajaran buat mereka yang memahami dan merenunginya (ayat 11-16). Terdapat juga penegakan hujah tentang keesaan Allah SWT dengan cara memerhatikan makanan dan minuman (ayat 17-32), kesusahan hari akhirat (ayat 33-37) & keadaan manusia pada hari tersebut (ayat 38-42).
▪️Surah ini dinamakan Al-Takwir (pergulungan) kerana Allah SWT mengkhabarkan tentang pergulungan matahari yang menjadi tanda berlakunya hari kiamat pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah kesejahteraan hidup pada mengikuti perintah Allah SWT.
▪️ Surah ini menceritakan tentang hakikat hari akhirat dan huru hara hari tersebut; ketika di dunia (ayat 1-6) dan selepas kebangkitan (ayat 7-14). Juga dijelaskan tentang hakikat wahyu; sumpah dengan bukti bukti penciptaan (ayat 15-18), dalil kenabian Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم (ayat 19-24), dalil kebenaran Al-Quran (ayat 25-28) dan dijelaskan diakhiri dengan penjelasan bahawa kehendak manusia tidak akan lari daripada kehendak Allah SWT (ayat 29).
▪️Surah ini dinamakan Al-Infitar (keterbelahan) kerana Allah SWT memulakan dengan kejadian langit dan bumi yang akan terbelah ketika hari akhirat berlaku. Tema surah ini adalah peringatan daripada tertipu dengan dunia yang sementara.
▪️ Surah ini bermula dengan menceritakan beberapa suasana huru hara hari kiamat (ayat 1-4), ketertipuan manusia dengan dunia dan kelalaian mereka daripada pemberi nikmat (ayat 6-9), perhitungan dan catatan para malaikat terhadap amalan manusia (ayat 10-12) dan pengakhiran bagi orang yang beriman dan orang yang kafir (ayat 13-16).
▪️Surah ini dinamakan Al-Mutaffifin (orang yang menipu dalam timbangan) kerana Allah SWT memulakan surah ini dengan menyebutkan tentang jenayah mereka dan betapa besarnya dosa yang mereka lakukan itu. Maka tema surah ini adalah nilai nilai akhlak dalam Islam.
▪️Surah ini bermula dengan ‘pengisytiharan perang’ terhadap mereka yang menipu dalam timbangan (ayat 1-6), ancaman neraka terhadap mereka yang kufur dan penjelasan tentang sebab sebab kekufuran mereka(ayat 7-17), janji ganjaran syurga buat orang orang yang beriman dan seruan untuk berlumba lumba ke arah kebaikan (ayat 18-28) dan penjelasan tentang ujian dan kesusahan yang dilalui oleh golongan beriman serta pengakhiran mereka yang baik (ayat 29-36)
▪️Surah ini dinamakan Al-Insyiqaq (keterbelahan) kerana ia adalah tanda tanda berlakunya hari akhirat. Tema surah ini adalah pendedahan amalan pada hari akhirat.
▪️Dijelaskan pada surah ini kepentingan beramal dan keikhlasan niat padanya (ayat 6), diceritakan tentang ganjaran bagi orang orang yang bertakwa dan balasan bagi mereka yang ingkar (ayat 7-13), penjelasan tentang sunnatullah dalam perubahan kehidupan manusia (ayat 19) dan penjelasan tentang kekuasaan Allah SWT dan pengetahuanNya terhadap apa yang tersembunyi di dalam hati (ayat 23).
▪️Dinamakan surah ini Al-Buruj (gugusan bintang) kerana Allah memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah keteguhan dalam akidah.
▪️Pada permulaan surah ini diceritakan kisah Ashab Al-Ukhud iaitu kaum beriman yang lemas dan tertindas tetapi mereka teguh berpegang dengan iman dan telah dibunuh oleh raja mereka dan ini adalah kemenangan yang terbesar buat mereka. (ayat 1-9). Dijelaskan juga tentang jenayah mereka yang mendatangkan cubaan (membunuh, menyeksa) kepada orang beriman kerana akidah mereka dan ancaman keras Allah SWT buat mereka (ayat 10).
▪️Cara untuk mencapai kejayaan yang hakiki adalah dengan beriman dan beramal soleh (ayat 11), dijelaskan contoh mereka yang ingkar dan pembalasan Allah SWT terhadap mereka (ayat 12-20) dan ketinggian kedudukan Al-Quran serta pemeliharaan Allah SWT terhadapnya (ayat 21-22).
▪️Surah ini dinamakan Al-Thariq yang merupakan bintang yang bersinar di langit. Tema surah ini adalah dalil keesaan Allah SWT melalui penciptaan insan.
▪️ Terdapat penjelasan tentang perhitungan Allah terhadap amalan manusia (ayat 4), penjelasan kebenaran hari kebangkitan dengan dalil penciptaan manusia (ayat 5-8), peringatan tentang ketinggian kedudukan Al-Quran (ayat 13 &14) dan ancaman Allah SWT terhadap orang orang kafir (ayat 15-17).
▪️ Surah ini dinamakan Al-A’la (yang maha tinggi) kerana Allah SWT memerintahkan hamba hambaNya untuk bertasbih dengan namanya yang maha tinggi pada permulaan surah. Tema surah ini adalah peringatan kepada orang yang beriman tentang hari akhirat.
▪️Topik surah ini; penciptaan makhluk dan penyempurnaannya (ayat 2), penentuan kadar dan pengurniaan hidayah (ayat 3), contoh bagi permulaan dan pengakhiran makhluk (ayat 4-5), khabar gembira penjagaan Al-Quran buat Nabi صلى الله عليه وسلم (ayat 6), perintah untuk memberi peringatan (ayat 9), jalan jalan menuju kejayaan iaitu dengan menyucikan diri, mengingati Allah dan bersolat (ayat 14-15).
▪️Surah ini dinamakan Al-Ghashiyah yang bermaksud bencana kerana Allah SWT menceritakan tentang hari kiamat pada permulaan surah ini, antara nama lain hari akhirat adalah Al-Ghashiyah. Tema surah ini adalah peringatan tentang ganjaran mereka yang taat dan balasan bagi mereka yang ingkar.
▪️ Surah ini dimulakan dengan menjelaskan balasan bagi mereka yang ingkar (ayat 2-7) dan ganjaran bagi mereka yang beriman (ayat 8-16). Kemudian surah ini mengarahkan pandangan manusia untuk memerhatikan dalil dalil kekuasaan Allah SWT melalui penciptaan makhluk (ayat 17-20) dan peringatan tentang hari perhitungan yang amat besar (ayat 21-26).
▪️Surah ini dinamakan Al-Fajr (waktu fajar) kerana Allah SWT bersumpah dengannya pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah; Allah SWT benar benar mengawasi manusia.
▪️Surah ini menjelaskan tentang golongan yang mengingkari wahyu dan pengakhiran mereka yang buruk (ayat 6-14), penjelasan tentang keadaan manusia ketika senang dan susah di dunia (ayat 15-16), kecintaan manusia terhadap harta yang menghalang mereka daripada bersedekah (ayat 17-20), peristiwa hari akhirat yang menakutkan dan penyesalan orang kafir dan orang yang melakukan maksiat pada hari tersebut (ayat 21-24) dan balasan bagi orang yang beriman dan orang yang kafir (ayat 25-30).
▪️Dimaksudkan dengan Al-Balad di dalam surah ini adalah Makkah Al-Mukarramah dan Allah SWT telah memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah dunia merupakan tempat ujian dan kesusahan.
▪️Pada surah ini terangkum kesemua unsur wahyu iaitu; tempat wahyu (ayat 1), rasulullah صلى الله عليه وسلم (ayat 2), mereka yang ditujukan seruan wahyu iaitu insan (ayat 3) dan risalah iaitu iman dan amal soleh (ayat 17).
▪️ Pada ayat 4 dijelaskan bahawa manusia ini diciptakan dengan tabiat yang susah payah. Jika seseorang menyedari hakikat ini dia akan mengetahui bahawa dunia ini adalah tempat untuk ujian dan kesusahan, hanya di hari akhirat tempat berehat dan bersenang lenang.
▪️Dinamakan surah ini Al-Shams (matahari) adalah kerana Allah SWT memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah; kejayaan bagi mereka yang menyucikan jiwa dan kerugian bagi mereka yang mengotorkannya.
▪️Pada permulaan surah ini Allah SWT telah bersumpah dengan 11 perkara dan ianya adalah yang terbanyak di dalam satu surah. Ini adalah kerana kepentingan perkara yang menjadi sumpah ini iaitu; kejayaan bagi mereka yang menyucikan jiwa dan kerugian bagi mereka yang mengotorkannya. Penyucian jiwa adalah perkara yang menjadi tujuan dan hikmah bagi penciptaan manusia maka sepatutnya bagi mereka untuk sentiasa membersihkan hati dan jiwa mereka.
▪️ Surah ini dinamakan Al-Lail (malam) kerana Allah SWT memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah; perbezaan sedekah dan sifat kedekut.
▪️Sesiapa yang menginginkan syurga dan kebahagian maka hendaklah dia melakukan sebab sebabnya iaitu menyumbangkan hartanya di jalan Allah, bertakwa dan membenarkan kewujudan pahala dan syurga (ayat 5-7) dan sesiapa yang ingin dijauhi daripada neraka dan kesengsaraan maka hendaklah dia menjauhkan diri daripada sebab sebabnya iaitu bersifat bakhil, merasa tidak memerlukan pertolongan Allah dan mendustakan kewujudan pahala yang baik (ayat 8-10).
▪️Dinamakan surah ini Al-Dhuha (waktu dhuha) kerana Allah SWT memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah pemeliharaan dan perlindungan Allah SWT terhadap Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.
▪️Surah ini memperincikan perlindungan dan pemeliharaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم iaitu Allah SWT tidak meninggalkan baginda dan tidak pula membenci baginda (ayat 3), Allah SWT mengurniakan kepada baginda nikmat sehingga baginda menjadi puas dengannya (ayat 5).
▪️Seterusnya Allah SWT memperingatkan kepada baginda tidakkah baginda itu yatim dan Allah SWT melindungi baginda (ayat 6), Dia mendapati baginda bingung dan memberikan baginda petunjuk (ayat 7) dan Dia mendapati baginda miskin dan mengkayakan baginda (ayat 8).
▪️Diakhiri surah ini dengan perintah untuk memelihara golongan yang lemah (ayat 9-10) dan perintah untuk menyebut nikmat-nikmatNya (ayat 11).
▪️Surah ini dinamakan Al-Syarh (kelapangan) kerana surah ini mengingatkan kepada baginda tentang nikmat Allah SWT yang amat besar kepada baginda iaitu nikmat kelapangan jiwa. Nikmat ini adalah nikmat yang terbesar selepas nikmat iman kerana seseorang tidak akan merasa sedih dengan apa yang terlepas daripada dirinya dan tidak merasa susah dengan apa yang menimpa dirinya dan tidak akan risau dengan apa yang akan berlaku pada masa hadapannya.
▪️Nikmat lain yang disebutkan dalam surah ini adalah Allah SWT telah meringankan beban yang ditanggung oleh baginda dalam menyampaikan dakwah dan sebutan nama baginda telah diangkat di dunia dan akhirat (ayat 2-3). Juga pada kesulitan ada kemudahan (ayat 5-6).
▪️Juga terdapat perintah untuk berterusan melakukan amalan kebaikan (ayat 7) dan sentiasa berharap kepada Allah SWT (ayat 8).
▪️ Surah ini dinamakan Al-Tin kerana Allah SWT bersumpah dengannya pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah manusia adalah sebaik baik ciptaan.
▪️ Dijelaskan bahawa seindah indah dan sebaik baik ciptaan Allah SWT adalah manusia dan fitrah manusia adalah Islam. Sesiapa yang beramal dengan amal soleh akan kekal berada di atas fitrahnya dan sesiapa yang tidak beramal dengan amal soleh akan jatuh ke martabat yang rendah lebih daripada haiwan (ayat 4,5,6).
▪️Allah SWT ialah hakim yang paling adil (ayat 8). Seorang hamba jika mengetahui hakikat ini akan meyakini segala qadha’ dan qadarnya dan bersegera dalam mentaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya.
▪️Dinamakan surah ini Al-‘Alaq (segumpal darah) untuk menjelaskan asal kejadian manusia dan kelemahan mereka. Tema surah ini adalah; perkara yang paling bermanfaat bagi seorang manusia adalah ilmu tentang akhirat.
▪️Surah ini bermula dengan sumpah kepada wasilah ilmu iaitu pembacaan dan pena yang menjadi sumber kekuatan dan kehebatan umat Islam (ayat 1 & 4). Surah ini adalah wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT maka kita adalah umat ilmu dan umat membaca dan Allah SWT telah memuliakan kita dengan wahyu yang menjadi sumber ilmu bagi dunia dan akhirat.
▪️Surah ini dinamakan Al-Qadr kerana ia berkisar tentang Lailatul Qadar dan kelebihannya. Tema surah ini adalah kelebihan Lailatul Qadar.
▪️Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan ianya adalah malam yang menjadi titik permulaan kepada hubungan bumi dan langit kerana ianya adalah malam yang diturunkan Al-Quran.
▪️ Lailatul Qadar adalah malam yang dipenuhi dengan cahaya. Pertama adalah cahaya Allah SWT yang daripadaNya berasal segala cahaya. Kedua adalah cahaya Al-Quran yang diturunkan pada malam itu. Ketiga adalah cahaya para malaikat yang bertebaran pada malam itu dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan keempat cahaya fajar yang terbit pada pagi itu. Maka beruntunglah mereka yang berusaha mencari cahaya ini untuk menerangi kehidupan mereka.
▪️Surah ini dinamakan Al-Bayyinah (bukti) kerana risalah Islam adalah bukti jelas buat mereka yang merenunginya dan ingin mencari kebenaran. Tema surah ini adalah agama di sisi Allah SWT hanyalah satu iaitu Islam.
▪️ Surah ini menjelaskan bahawa kesemua rasul diutuskan dengan Islam yang bermaksud ketundukan dan kepatuhan yang mutlak kepada Allah SWT. Dijelaskan juga bahawa keikhlasan kepada Allah SWT adalah asas bagi akidah yang terdapat pada setiap risalah para rasul (ayat 5). Juga Allah SWT tidak menerima apa apa agama terdahulu selepas kebangkitan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم melainkan Islam yang dibawa oleh baginda (ayat 6 & 7).
▪️Surah ini dinamakan Al-Zalzalah (gegaran) kerana surah ini menceritakan tentang gempa dan goncangan terhadap bumi pada hari akhirat. Tema surah ini adalah perhitungan amal pada hari akhirat.
▪️Surah ini memberikan peringatan bahawa sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah maka dia akan melihat hasilnya dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah maka dia akan melihat juga hasilnya. (ayat 7&8).
▪️Surah ini dinamakan Al-‘Adiyat (kuda perang) kerana Allah SWT telah memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya. Tema surah ini adalah sebab sebab kebinasaan manusia.
▪️Sebab sebab kebinasaan manusia ialah pengingkaran dan cinta terhadap harta yang berlebih lebihan (ayat 6-8).
▪️Surah ini dinamakan Al-Qari’ah kerana ianya adalah salah satu nama bagi hari kiamat. Tema surah ini adalah penjelasan tentang huru hara hari kiamat.
▪️Pada surah ini diceritakan beberapa keadaan pasa hari akhirat (ayat 4-5) dan penjelasan tentang pengakhiran mereka yang berat timbangan amal kebaikannya dan yang ringan timbangan amal kebaikannya (ayat 6-9).
▪️ Surah ini dinamakan Al-Takhathur (berlumba lumba memperbanyakkan harta dan anak) yang merupakan sebab kebinasaan yang terbesar bagi seorang manusia. Maka tema surah ini adalah peringatan daripada menjadi leka daripada hari akhirat.
▪️ Tidak ada perkara yang lebih menyedarkan manusia melainkan kematian (ayat 2). Pada hari akhirat manusia akan dipersoalkan dengan segala nikmat yang pernah dirasainya di dunia (ayat 8).
▪️Surah ini dinamakan Al-‘Asr (masa) kerana Allah SWT memulakan surah ini dengan bersumpah dengannya dan ini menjadi isyarat kepada kepentingan masa. Tema surah ini adalah penjelasan terhadap kejayaan yang hakiki dan kerugian yang hakiki.
▪️Waktu memiliki kemuliaan dan kepentingan kerana ia adalah ladang bagi akhirat (ayat 1). Walau bagaimana hebat sekalipun manusia dia akan tetap berada dalam kerugian melainkan jika beriman dan beramal soleh. Ini adalah kejayaan yang hakiki.
▪️Al-Humazah ialah celaan dan umpatan. Dinamakan surah ini Al-Humazah kerana Allah mencela perbuatan ini pada permulaan surah ini. Tema surah ini adalah ketertipuan terhadap harta.
▪️Jika surah Al-Mutafifin berbicara tentang perlindungan terhadap harta manusia manakala Surah Al-Humazah adalah tentang perlindungan terhadap maruah manusia. Terdapat juga celaan terhadap mereka yang menghitung hitung harta mereka kerana sifat kedekut dan menyangka bahawa harta mereka dapat menyelamatkan mereka daripada azab api neraka.
▪️Surah ini dinamakan Al-Fil (gajah) kerana ia berkisar tentang peristiwa serangan tentera bergajah milik Abrahah ke atas Mekah untuk menghancurkan Kaabah. Tema surah ini adalah kurnian Allah ke atas Quraisy.
▪️Surah ini memberikan isyarat kepada kemuliaan Kaabah di sisi Allah SWT sehingga Dia menghancurkan mereka yang ingin menghancurkannya. Juga terdapat isyarat tentang bahayanya sifat hasad dengki kepada seseorang seperti mana Abrahah yang dengki kepada kemuliaan Kaabah.
▪️Surah ini dinamakan Quraisy kerana Allah menceritakan tentang mereka dalam surah ini dan tidak menceritakan tentang selain mereka. Tema surah ini adalah kurniaan dan kemulian ke atas Quraisy.
▪️Pada surah ini terdapat isyarat kepada hamba hambaNya untuk sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan dan tidak menggunakannya untuk mengingkariNya. Juga terdapat isyarat bahawa keamanan selepas ketakutan dan makanan selepas kelaparan adalah nikmat yang amat besar buat manusia.
▪️Dinamakan surah ini Al-Ma’un (pertolongan) sebagai isyarat kepada kepentingan tolong menolong di antara orang Islam dan pemberian pertolongan kepada orang lain merupakan sebab kepada pengekalan kebaikan dan kasih sayang sesama mereka.
▪️Pada surah ini disebutkan tentang sifat sifat tercela yang mesti dijauhi oleh seorang Muslim iaitu; mengabaikan dan mengherdik anak yatim, tidak mendorong memberi makan kepada orang miskin, mengabaikan solat, berlaku riyak dan enggan memberikan bantuan.
▪️Surah ini dinamakan Al-Kauthar yang merupakan sebuah telaga yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم di hari akhirat. Tema surah ini adalah kurniaan Allah SWT kepada baginda dan penjagaanNya buat baginda.
▪️Surah ini berbicara tentang pembalasan nikmat dengan kesyukuran dan beribadat kepada pemberi nikmat. Pada surah ini Allah mengabungkan antara dua ibadat yang paling besar iaitu ibadat badan iaitu dan ibadat harta iaitu qurban.
▪️ Surah ini dinamakan Al-Kafirun kerana Allah SWT menyebutkan tentang mereka dan perlepasan daripada kesyirikan yang mereka lakukan. Maka tema surah ini adalah kelepasan diri daripada syirik.
▪️Pada ayat ini terdapat isyarat bahawa kekufuran dengan pelbagai agama dan aliran adalah ibarat seperti satu agama dan termasuk dalam istilah al-kafirun. Terdapat penegasan bahawa orang orang kafir tidak mahu menyembah Allah yang disembah oleh orang Islam (ayat 3 &5).
▪️Pada ayat kedua; “aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah” adalah isyarat kepada seorang Muslim untuk berpegang teguh kepada agamanya walau bagaimana suasana persekitarannya.
▪️ Dinamakan surah ini Al-Nasr (kemenangan) kerana Allah SWT menyebutkan pada permulaan surah ini kejayaan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan agama Islam. Tema surah ini adalah; ajal Rasulullah صلى الله عليه وسلم semakin menghampiri.
▪️ Surah ini mengisyaratkan kepada ajal baginda yang semakin menghampiri kerana baginda telah berjaya mendapatkan al-nasr (kemenangan) dan al-fath (pembukaan) melalui peristiwa pembukaan Kota Mekah.
▪️ Dinamakan surah ini Al-Masad (tali tali yang dipintal) kerana disebutkan dalam surah ini azab yang dikenakan ke atas isteri Abu Lahab. Tema surah ini adalah; balasan terhadap orang kafir yang ingkar iaitu kerugiaan di dunia dan juga akhirat.
▪️Pada surah ini terdapat amaran dan pengajaran buat mereka yang menentang Islam tentang pengakhiran golongan yang sebelum mereka.
▪️ Dinamakan surah ini Al-Ikhlas kerana padanya terdapat perintah untuk mengikhlaskan tauhid hanya kepada Allah SWT. Tema surah ini adalah tauhid.
▪️Surah ini menjelaskan lima sifat Allah SWT iaitu; esa dan tidak memiliki sekutu, yang menjadi tumpuan setiap makhluk dan tidak berhajat kepada sesiapa, tiada miliki permulaan , tiada pengakhiran dan tidak ada yang serupa denganNya.
▪️Surah ini dinamakan Al-Falaq (subuh) kerana Allah SWT menyebutkan tentangnya pada permulaan surah. Tema surah ini adalah permohonan perlindungan daripada kejahatan dunia.
▪️Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk memohon perlindungan dengan satu sifat iaitu Tuhan Yang Menguasai Subuh daripada empat kejahatan; iaitu kejahatan pada masa khususnya yang terdapat pada waktu malam (ayat 3), kejahatan pada amalan khususnya sihir (ayat 4), kejahatan jiwa khususnya sifat dengki dan kejahatan makhluk (ayat 2).
▪️Surah ini dinamakan Al-Nas (manusia) kerana diulang kalimah ini di dalam surah ini. Tema surah ini adalah permohonan perlindungan daripada perkara yang merosakkan agama.
▪️ Jika permohonan perlindungan dalam surah Al-Falaq adalah dengan satu sifat untuk empat kejahatan, surah Al-Nas adalah permohonan perlindungan dengan tiga sifat (tuhan manusia, raja manusia, sembahan manusia) untuk satu kejahatan sahaja iaitu kejahatan bisikan syaitan yang tersembunyi (ayat 1-4). Ini mengisyaratkan kepada musibah dunia walaupun banyak tetapi ianya adalah kecil berbanding dengan musibah terhadap agama walaupun sedikit ianya amat besar.